Ketiadaan penyata audit terbaru sukarkan PAC teruskan siasatan 1MDB - Nur Jazlan
OLEH KUMARA SABAPATHY DI KUALA LUMPUR - 11 JUN 2015 (1 DAY AGO)
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) masih tidak tidak berpuas hati dengan penjelasan oleh Deloitte & Co berhubung penyata akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi tahun kewangan sehingga 31 Mac 2014 yang telah diaudit dan disahkan terutama menyentuh aset 1MDB yang sedia untuk dijual dan lain-lain.
Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed sebaliknya menyifatkan ada media yang tidak faham penerangan beliau semalam sehingga merumuskan bahawa PAC berpuas hati dengan penjelasan Deloitte berhubung audit akaun 1MDB.
"Oleh kerana kita mempunyai pendapat berbeza, kami memang tidak berpuas hati dengan penjelasan mereka tentang akaun 1MDB yang telah diaudit dan disahkan sehingga 31 Mac 2014 itu.
"Daripada penjelasan yang diberikan mereka, tidak bermakna kami berpuas hati..sebaliknya kami sangat tidak puas hati khususnya penjelasan menyentuh mengenai aset 1MDB yang sedia untuk dijual dan lain lain," katanya pada sidang akhbar di di Parlimen hari ini.
Menurut Nur Jazlan beliau tidak pernah menyatakan PAC berpuas hati dengan segala penjelasan Deloitte dalam laporan audit penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir sehingga 31 Mac 2014.
"Anda semua tak faham kah apa yang saya cakap semalam, saya memanggil Deloitte dan meminta menjelaskan mengenai penyata yang dikemukakan itu betul, sahih dan adil," tambahnya.
Semalam Nur Jazlan yang mengadakan sidang akhbar sejurus selesai prosiding dengan Deloitte berkata, sebagai sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) dan firma pelaburan bertaraf antarabangsa, membiarkan akaun tidak beraudit dalam tempoh lebih setahun bukanlah satu amalan urustadbir yang baik.
Sebagai pemilik kepada 1MDB, Kementerian Kewangan bertanggung jawab untuk melantik mana-mana firma audit untuk melakukan audit terhadap syarikat pelaburan negara itu.
Nur Jazlan menyifatkan prosiding dengan Deloitte sebagai hikmah tersembunyi kerana banyak input diperolehi daripada firma antarabangsa itu yang sangat berguna kepada siasatan PAC.
Hari ini, Nur Jazlan sekali lagi mengarahkan Kementerian Kewangan melantik firma audit untuk mengaudit penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 31 Mac 2015.
Deloitte & Co. ketika prosiding semalam mengaku tidak menerima arahan untuk melakukan pengauditan terhadap penyata kewangan bagi tahun berakhir 31 Mac 2015.
"Semasa prosiding semalam bila saya tanya Deloitte mengenai akaun audit terbaru, mereka beri alasan tak terima arahan daripada pemegang saham 1MDB, iaitu Kementerian Kewangan untuk mengaudit.
"MOF perlu bertanggungjawab sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu audit penyata kewangan syarikatnya tidak lebih dari tiga bulan selepas tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015.
"Ini hampir genap tiga bulan, tinggal dengan hanya berbaki dua minggu lagi untuk tarikh akhir 30 Jun ini, saya pasti mereka tak boleh siapkan audit itu. walau apapun saya mengarahkan mereka supaya menyegerakan proses itu dan mengemukakan kepada PAC secepat mungkin.
"Sebarang maklumat atau agenda dalam tempoh akaun belum diaudit itu ditidak boleh dipertanggungjawabkan kepada pihak lain dan Deloitte belum boleh bertanggungjawab sehingga mereka menyediakan penyata terbaru 31 Mac 2015 yang diaudit dan disahkan," katanya.
Tambah beliau, setelah penyata kewangan terbaru diaudit dan ia perlu dikemukakan segera, bagi membolehkan pihaknya meneruskan siasatan dengan lancar dan berkesan.
"Kekurangan audit yang terbaru memberi kekangan kepada kerja PAC," kata beliau sambil mengakui bahawa pihaknya kini berada dalam keadaan genting (crucial part) dalam mengendalikan prosiding siasatan 1MDB berkenaan.
Ini kerana, kata beliau jawatankuasa PAC menerima tekanan untuk mempercepatkan proses penyiasatan itu daripada semua pihak khususnya rakyat, tetapi untuk menyiasat secara mendalam dan teliti masa lebih diperlukan.
"Sejurus selepas selesainya prosiding ini, kami masih bertangggungjawab meneliti semula segala maklumat berkaitan siasatan ini," ujarnya lagi. - MalaysiaGazette

No comments:
Post a Comment