Akaun 1MDB sudah lebih setahun tidak audit
OLEH NORLAILE ABD RAHMAN DI PARLIMEN - 10 JUN 2015 (2 DAYS AGO)
Akaun syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) masih belum diaudit sejak lebih setahun yang lalu biarpun pelbagai kontroversi melanda entiti berkenaan terutama berhubung urusniaga, aset dan hutang yang sering menjadi persoalan banyak pihak.
Kali terakhir akaun 1MDB diaudit adalah pada 31 Mac 2014 oleh Deloitte.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan berkata, sebagai sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) dan firma pelaburan bertaraf antarabangsa, membiarkan akaun tidak beraudit dalam tempoh lebih setahun bukanlah satu amalan urustadbir yang baik.
Beliau berkata, sebagai pemilik 1MDB, Kementerian Kewangan (MoF) bertanggung jawab untuk melantik mana-mana firma audit untuk melakukan audit terhadap syarikat pelaburan negara itu.
“Wakil MoF yang kami temui tadi mengesahkan masih belum ada arahan untuk Deloitte atau mana-mana firma audit untuk melakukan audit terkini kepada 1MDB.
"Kali terakhir akaun 1MDB diaudit adalah pada 31 Mac 2014 oleh Deloitte,” katanya semasa sidang media selepas pertemuan dengan wakil Deloitte dan MoF berhubung siasatan PAC terhadap 1MDB di Parlimen hari ini.
Menurut Nur Jazlan, audit yang dilakukan oleh Deloitte pada 31 Mac 2014 mendapati 1MDB adalah syarikat yang kukuh dan tidak memerlukan jaminan kerajaan untuk beroperasi.
Deloitte juga mengakui telah melihat dan menyemak penyata-penyata kewangan serta nilai aset entiti pelaburan kontroversi itu yang berharga RM13.4 bilion pada tarikh tersebut.
Bagaimanapun menurut beliau, tiada siapa yang boleh menjadi saksi atau bertanggung jawab terhadap transaksi-transaksi yang berlaku selepas tarikh tersebut kerana tiada audit dijalankan di antara 1 April 2014 sehingga ke hari ini.
Antara transaksi tersebut melibatkan penebusan dana pelaburan berjumlah RM4 bilion dari Cayman Island yang ketika ini menurut MoF diletakkan dalam bank di Singapura selain penjualan plot-plot tanah di Tun Razak Exchange kepada Tabung Haji dan Mulia Group daripada Indonesia.
Menyifatkan pertemuan dengan Deloitte sebagai hikmah tersembunyi, Nur Jazlan berkata, banyak input diperolehi daripada firma antarabangsa itu yang sangat berguna kepada siasatan PAC.
Input-input tu juga, katanya, amat penting ketika jawatankuasa bipartisan itu menyoal-siasat saksi-saksi lain selepas ini termasuk Presiden dan Ketua Eksekutif 1MDB semasa, Arul Kanda Kandasamy dan bekas Presidennya, Datuk Shahrul Azral Ibrahim Halmi pada 1 Ogos nanti.
Arul dan Shahrul sepatutnya menghadap PAC pada 26 Mei lalu tetapi gagal menghadirkan diri dengan alasan sedang berada di luar negara.
“Sebelum ini PAC tidak mempunyai maklumat lengkap dan berfakta kerana hanya bergantung kepada laporan-laporan media sahaja yang mana kami sendiri tidak pasti kesahihannya.
"Jadi, selepas memanggil Deloitte dan mendengar keterangan daripada mereka, kami sudah mempunyai maklumat lengkap yang boleh digunakan apabila menyoal saksi-saksi yang lain,” katanya sambil menambah akan memanggil semula Deloitte bagi membuat perbandingan selepas mendapat keterangan daripada saksi-saksi lain.
Tambah beliau, tidak mustahil untuk PAC memanggil Bank Negara Malaysia bagi membantu siasatan yang dijalankan oleh jawatankuasa tersebut kerana bank pusat juga sedang melakukan siasatan terhadap syarikat dan skandal yang sama.-MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment