Najib jangan jadi hero agenda ‘liberal multiracial': Presiden ISMA
Oleh Mohd Firdaus Salleh Hudin
BANGI, Jumaat – Berikutan ketiadaan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta krisis antara PAS dan DAP, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri sebagai hero agenda ‘liberal multiracial’.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), sebuah pertubuhan Islam sederhana, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman turut menggesa Najib agar tidak melupakan majoriti pengundi Islam dan Melayu yang telah memberi kemenangan kepada UMNO dalam pilihan raya umum yang lalu.
Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada kenyataan Najib yang berkata tiada siapa pun yang berhak untuk melabelkan sesuatu bangsa itu sebagai ‘pendatang’.
Ketika berucap di majlis makan malam sempena pelancaran Pertubuhan Kristian Untuk Kedamaian dan Keharmonian Malaysia (CPHM) baru-baru ini, Najib juga menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berjaya sekiranya unsur tidak percaya dan berprasangka wujud di antara satu kaum dengan kaum yang lain.
Bercakap kepada Ismaweb, Ustaz Abdullah menggesa Najib agar tidak cuba memadamkan sejarah dan tidak membelakangkan Perlembagaan.
“Perdana Menteri juga diingatkan agar tidak sama sekali memencilkan kedudukan Melayu dan Bumiputera sebagai faktor asas dalam pembangunan negara.
“Hak penduduk peribumi tidak boleh dijadikan korban politik kepada mana-mana pihak dalam apa jua keadaan sekali pun,” katanya.
Ustaz Abdullah berkata, sebarang pengkhianatan terhadap hak peribumi yang diakui sejarah dan dijamin Perlembagaan akan membawa akibat yang buruk kepada masa depan Islam, Melayu dan Bumiputera di negara ini.
“Apalah gunanya Malaysia mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi kalau ia hanya akan memartabatkan agenda pendatang, manakala peribumi terus tersisih dan terancam dalam arus perdana pembangunan di negara sendiri,” katanya.

No comments:
Post a Comment