Menurut ajaran Islam, perlantikan ketua negara adalah amat penting kerana ia merupakan tempat untuk mengganti Rasulllah s.a.w bagi melindungi agama dan mentadbir hal-hal keduniaan. Pemerintahan ketua negara meliputi aspek-aspek keagamaan dan keduniaan. Islam tidak memisahkan aspek-aspek tersebut. Menurut al-Mawardi, melantik ketua negara merupakan wajib secara ijma’. Cuma perbezaan sama ada wajib secara syarak atau akal.
Pandangan yang pertama menyatakan wajib secara akal kerana orang yang berakal pastinya memilih dan mematuhi pemerintahan yang boleh menghindarkan mereka dari kezaliman dan menyelesaikan perbalahan dan perkelahian. Jika tidak ada pemimpin, nescaya akan kucar-kacir.
Pandangan yang kedua menyatakan wajib secara syarak kerana pemimpin atau ketua negara adalah bertanggungjawab untuk mengendalikan urusan-urusan syarak yang mungkin pada pandangan akal tidak memikir soal-soal ibadat lalu akal tidak mewajibkannya. Ini ialah akal fikiran hanya mewajibkan seorang yang berakal untuk melindungi dirinya dari kezaliman tetapi sebaliknya syarak menyerahkan segala urusannya kepada penguasanya dalam agama.
Menurut Abu Ya’la al-Fara bahawa perlantikan Imam merupakan wajib secara syarak dan bukan secara akal kerana akal tidak mengetahui perkara-perkara fardu, harus, halal mahu pun haram. Beliau berdalilkan peristiwa di Saqifah Bani Sa’adah. Berkata Ibn Hajar dalam Fath al-Bari, berkata al-Nawawi:“Telah bersepakat bahawa wajib melantik ketua negara, dan perlantikan ini wajib secara syarak dan bukan secara akal.” Manakala Muztazilah menyatakan perlantikan ketua negara secara akal.
Perlantikan ketua negara ini juga merupakan kewajipan yang merangkumi kewajipan secara syarak dan juga kewajipan secara akal. Kerana tidak ada tegahan untuk melantik ketua negara yang pada pandangan akal adalah untuk memelihara rakyat dan syarak menguatkan pandangan akal ini. Oleh itu, akal dan syarak telah mewajibkan perlantikan ketua negara.
Menurut Ibn Hazim al-Andalusi dalam al-Fasl fi Milal wa al-Nihal:-
“Bersepakat ahli sunnah, Marji’ah, Syiah, Khawarij atas kewajipan melantik ketua negara. bahawa umat wajib melantik Imam yang adil yang dapat mendirikan hukum-hukum Allah dan mentadbir urusan mereka dengan shariat yang telah dibawa oleh Rasulullah s.a.w”.
Berkata Ahmad bin Abdul Mu’iem al-Damanhuri (w.1192) dalam buku al-Naf’u al-Aziz fi Islah al-Sultan wa al-Wazir: “Ketahuilah bahawa penguasa atas urusan manusia adalah fardhu kifayah yang merupakan sangat penting dalam kewajipan agama dan dalam urusan kaum muslimin, malah tidak akan tertegak agama dan dunia tanpanya.”
al-Mawardi menyebutkan bahawa ketua negara merupakan tempat pengganti Rasulullah s.a.w. dalam menjaga agama dan mentadbir urusan keduniaan dan membuat akad setia dengan mereka yang memegang tampuk pemerintahan merupakan wajib secara ijma’.Dari takrif ini bahawa ketua negara adalah pengganti Rasul iaitu pertama, menjaga kemuliaan agama dan kedua mentadbir keduniaan berdasarkan Shariat Ilahi. Menurut al-Mawardi, ketua negara merupakan amanah, tanggungjawab dan tugas yang semestinya pemerintah melakukan dengan sebaik mungkin.
Syarat-Syarat Menjadi Ketua Negara
Ketua negara merupakan amanah yang paling penting yang harus dipiku tanggungjawabnya. Ia bukan untuk sebarang orang untuk memegang jawatan tersebut. al-Farabi menggariskan sifat-sifat yang perlu dimiliki oleh ketua negara. Beliau menekankan konsep “Insan Kamil” bagi ketua negara bagi mencapai manusia sempurna hendaklah memiliki dua belas sifat seperti yang diterangkan di bawah tajuk al-Qawl fi Qisal Ra’is al-Madinah al-Fadilah. Dua belas sifat itu ialah:
1. Hendaklah sempurna anggota tubuh badan dan bertenaga atau berkemampuan supaya dengan itu ia dapat menjalankan tugasnya dengan mudah.
2. Baik kefahamannya serta dapat menggambarkan setiap sesuatu yang ia lafaz atau ucapkan serta tahu apa yang harus dibuat.
3. Baik hafalan (ingatan) sesuatu yang ia telah faham, lihat, dengar atau dapat (idrak). Ia juga bukanlah seorang yang pelupa.
4. Bijaksana dan cerdik apabila mendengar sesuatu walaupun dengan reaksi sahaja, ia telah faham.
5. Dapat membuat penjelasan atau huraian yang jelas berhubung dengan sesuatu ibarat.
6. Ia sangat suka atau minat terhadap ilmu pengetahuan, senang menerima ilmu tidak merasa atau kenal penat dalam menimba ilmu pengetahuan.
7. Ia hendaklah tidak bersikap buruk iaitu berlebih-lebihan dalam hal makan minum dan juga hubungan kelamin. Menjauhkan diri dari permainan yang hanya untuk bersuka-suka.
8. Memiliki sifat cintakan kebenaran dan orang-orang yang bersifat dengan kebenaran itu. Bencikan pembohongan serta orang-orang yang bersifat demikian.
9. Ia memiliki jiwa besar atau berhemah tinggi hingga mengatasi perkara-perkara yang rendah atau remeh-temeh.
10. Tidak berminat tentang pemgumpulan wang ringgit (dirham wa dinar) dan kekayaan dunia yang lain.
11. Ia bersikap pro keadilan dan anti kezaliman dan penindasan. Tidak mudah dipengaruhi oleh perkara oleh perkara-perkara buruk sebaliknya mudah diseru kepada kebaikan, keadilan dan seumpamanya.
12. Ia hendaklah mempunyai keazaman yang kuat dan berani terhadap sesuatu hal yang dirasakan perlu ia lakukan dan tidak lemah semangat atau jiwa.
Islam telah menggariskan syarat-syarat yang harus dipenuhi oleh seseorang yang ingin menjadi ketua negara. Antara syarat yang telah ditetapkan oleh para ulamak ialah:
1. Islam
Adalah wajib ketua negara seorang yang muslim. Ketua negara merupakan penjaga dan pelaksana shariat Islam sudah tentu memerlukan seorang yang beriman kepada Allah dan percaya bahawa ketentuan hukum adalah hak mutlak Allah.
2. Baligh
Islam tidak mewajib kanak-kanak yang belum mencapai tahap baligh menjadi pemerintah. Ini kerana ketua negara memerlukan kepada kematangan pemikiran dalam menyelesaikan sesuatu perkara.
3. Akal
Islam mensyaratkan akal kerana ketua negara memerlukan ketajaman fikiran dalam bertindak. Orang yang gila ia tidak dapat berfungsi sebagai pemimpin malah segala kewajipan ke atasnya terangkat. Malah Islam menggalakkan bahawa ketua negara seorang yang mempunyai kecergasan otak, kebijaksanaan dalam mengatur strategi dan menyusun rancangan untuk kepentingan umat.
4. Merdeka
Golongan hamba tidak dibenarkan menjadi ketua negara kerana golongan hamba ini mempunyai tugas dan hak yang mesti dilakukan terhadap tuannya dan tidak mempunyai kebebasan terhadap dirinya sendiri. Ketua negara memerlukan seorang yang mempunyai sepenuh masa terhadap tugas pemerintahan dan tidak terikat dengan tugas-tugas yang boleh menjejaskan pentadbiran seperti golongan hamba.
5. Lelaki
Bersepakat para ulamak bahawa tidak harus orang perempuan menjadi ketua negara berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dan tidak akan mendapat kejayaan sesuatu kaum yang pada urusan mereka terletak pada perempuan.”29 Walaupun begitu, larangan tersebut dalam memegang jawatan khalifah. Al-Qaradawi mengharuskan wanita dilantik menjadi ahli parlimen atau ahli perwakilan dengan syarat menjaga adab-adab sebagai wanita muslimah.
6. Adil
Perlu diingatkan di sini bahawa maksud adil di sini bukan sehingga menganggap bahawa ketua negara itu sebagai “maksum” iaitu tidak melakukan dosa dalam perbuatan-perbuatan atau tingkah lakunya. Sifat maksum ini hanya terdapat pada rasul-rasul sahaja dan tidak terdapat pada golongan lain. Pendapat golongan syiah yang mengatakan bahawa Imamah mestilah seorang yang maksum adalah penyataan yang batil. Sebagai seorang muslim kadangkalanya mungkin berlaku kesilapan maka hendaklah kembali bertaubat kepada Allah. Maksud adil di sini adalah hendaklah kita memilih pemerintah yang sentiasa beriltizam dengan shariat Islam, melakukan amanah dan tidak melakukan kezaliman dalam pemerintahannya. Adil juga membawa erti seorang yang bertaqwa, warak, bercakap benar, menjauhi perkara haram, sentiasa redha dengan tuhan dan menjaga maruah dalam setiap urusan kehidupan. Ia juga bererti mendirikan segala tanggungjawab fardhu dan melaksanakan hukuman dengan adil.
7. Kemampuan Melaksanakan Tugas
Seorang ketua negara hendaklah seorang yang mempunyai kemampuan dalam melaksanakan tugas mentadbir, berani, dapat menyelesaikan masalah rakyat dengan mudah, memikir mengenai kepentingan rakyat dan masa depan negara, jauh dari sifat-sifat lupa dan lalai.
8. Berilmu
Para ulamak bersepakat ketua negara mestilah seorang yang berilmu tetapi mereka berselisih mengenai tahap ilmu tersebut. Ada pendapat yang menyatakan bahawa ia mesti mencapai tahap mujtahid dan tidak harus melantik ketua negara yang tidak mencapai tahap mujtahid seperti pendapat Abu Hasan al-Mawardi, Abu Ya'la al-Fara’ al-Hanbali, Ibn Khaldun, Abu Mansur Abdul Qader al-Baghdadi, al-‘Iji dan al-Kardastani dalam bukunya Taqrib al-Maram fi syarah Tahzib al-Kalam.
Mereka berhujahkan bahawa ketua negara merupakan tempat rujukan umat apabila berlakunya perselisihan, maka sudah tentunya ia memerlukan seorang yang pakar dalam bidang perundangan dan hukum-hakam yang mencapai tahap mujtahid.
Golongan kedua pula menyatakan tidak perlu mencapai tahap mujtahid, cukup memadai berilmu kerana sekiranya untuk mencapai tahap mujtahid maka tidak ada yang mencukupi syarat-syaratnya disebabkan peredaran zaman dan kelemahan umat Islam kini. Para fuqaha kini mengharuskan melantik ketua negara walaupun tidak mencapai tahap mujtahid asalkan ia dapat melaksanakan hak-hak shariat dengan berpandukan tunjuk ajar dan nasihat dari orang yang lebih arif dalam sesuatu perkara. Berkata Sharastani: “Dan berterusan jamaah dari ahli sunnah kepada perkara ini sehingga mereka mengharuskan bahawa ketua negara bukan seorang mujtahid dan tidak pakar dalam soal ijtihad tetapi hendaklah bersama ia seorang yang pakar dalam bidang ijtihad yang menjadi tempat rujukan hukum dan mengeluarkan fatwa halal dan haram.”
Para pemerintah hendaklah cintakan ilmu dan ulamak serta sentiasa menghadiri majlis-majlis ilmu. Faktor-faktor ini menjadi pemerintah sentiasa berada di jiwa rakyat.
9. Tidak Cacat Anggota Dan Tubuh Badan
Ketua negara hendaklah seorang yang mempunyai kesempurnaan tubuh badan dan tidak cacat anggota yang boleh menjejaskan pemerintahannya seperti pekak, buta atau hilang kedua-dua tangan atau kedua-dua kaki yang mana ia tidak dapat lagi berfungsi untuk bertindak secara cepat dan cergas dalam pentadbiran pemerintahan.
Abul Hasan Ali al-Nadwi membahagikan kepimpinan kepada dua kategori iaitu kepimpinan kebendaan dan pencukaian (al-jibayah) dan kepimpinan petunjuk dan hidayah (al-hidayah). Kepimpinan al-jibayah ini menjadikan kebendaan sebagai ukuran keberhasilannya. Kepimpinan yang mementingkan pembangunan material, tenggelam dalam kemewahan dan masing-masing berebut untuk mengaut kekayaan peribadi. Di samping itu, mereka memeras keringat orang miskin dengan kewajipan cukai yang mencekik leher. Mereka tidak mempedulikan pendidikan moral dan agama bagi rakyat. Sementara kepimpinan al-hidayah pula ialah kepimpinan yang menjadikan hidayah sebagai syiarnya dan tugas utamanya menyeru manusia kepada Allah, menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kayu pengukur penghasilan kepimpinannnya ialah integrati moral dan sahsiah , zuhud terhadap kemewahan dunia dan berlumba-lumba dalam kebajikan.
Gambaran golongan ini seperti yang dirakamkan dalam al-Quran, “Dan orang-orang yang Kami perteguhkan kedudukan mereka di bumi, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kejahatan”. (al-Hajj 41).
Al-Quran juga memberi panduan kepada umat Islam untuk memilih pemimpin berdasarkan ayat yang bermaksud : “ ikutilah orang-orang yang tidak meminta upah dan mereka yang terbimbing dengan hidayah “ ( Yasin :21). Ayat tersebut mengisyaratkan dua kriteria penting kepimpinan iaitu seorang yang menghayati hidayah Tuhan dan tidak meminta rakyat membalas budi dan baktinya. Disamping itu, beliau turun ke medan masyarakat bukan untuk mengaut harta kekayaan untuk peribadi dan keluarga atau untuk glamour peribadi tetapi semata- mata untuk memajukan masyarakat dan tidak rela bangsanya diperhambakan oleh mana-mana pihak.
Keunggulan seseorang pemimpin terletak kepada kemampuannya membina dan mendidik bangsanya. Kepimpinan sedemikian yang disebut sebagai pemimpin pendidik (al-qa’idu ‘l-murabbi) yang dapat merubah bangsanya menjadi lebih kuat, unggul dan bermaruah. Perubahan manusiawi atau human transformation ini yang telah dilakukan oleh para nabi. Nabi Muhammad s.a.w. misalnya telah berjaya merubah watak bangsa Arab yang serba rosak menjadi umat terunggul, dari umat yang berperang selama 600 tahun kerana seekor unta kepada pemimpin dunia. Oleh itu, pemimpin yang terbaik adalah pemimpin yang mampu membina dan membentuk generasi terunggul (jil al-farid). Mereka menggabungkan kepimpinan unggul dengan petunjuk Ilahi. Dengan kata lain, mereka sentiasa berada dalam naungan petunjuk Allah dengan mengikut sepenuhnya perintah Tuhan. Secara ringkasnya dalam konteks masyarakat di Malaysia, kita memerlukan kepimpinan berwibawa - berilmu, berakhlak, beramanah, berwawasan dan berintegriti moral, pimpinan yang mampu melaksanakan tugas besar, melahirkan daya saing dan daya juang yang tinggi pada bangsanya.
ANTI PEMIMPIN PENDUSTA DAN ZALIM.
AHMAD BAHAROM CREATION.
1AQIDAH: ALLAH DIDAHULUKAN, RASULULLAH DIUTAMAKAN..... "Terimalah sedikit kesusahan dunia yang sementara,dalam menegakkan kebenaran untuk terlepas daripada kesusahan Akhirat yang berkekalan"
Lawati page dan group ABC di Facebook.
1. Ahmad Baharom Commantary https://www.facebook.com/ahmad.baharom.9
2. Ahmad Baharom Collections https://www.facebook.com/AhmadBaharomCreation/
3. Anti Pemimpin Pendusta, Mungkar dan Zalim https://www.facebook.com/AhmadBaharomCreation2/
4. ABC Conflicts News https://www.facebook.com/AhmadBaharomCreation3/
5. Agama Bangsa Cemerlang https://www.facebook.com/groups/ahmadbaharom62/
Dan beberapa group yang boleh dikenali dengan ABC.
BLOG INI ADALAH BERKAITAN AGAMA DAN POLITIK.
Tulis Carian Anda didalam line putih dibawah
No comments:
Post a Comment