ANTI PEMIMPIN PENDUSTA DAN ZALIM.


AHMAD BAHAROM CREATION.


1AQIDAH: ALLAH DIDAHULUKAN, RASULULLAH DIUTAMAKAN..... "Terimalah sedikit kesusahan dunia yang sementara,dalam menegakkan kebenaran untuk terlepas daripada kesusahan Akhirat yang berkekalan"


Lawati page dan group ABC di Facebook.

1. Ahmad Baharom Commantary https://www.facebook.com/ahmad.baharom.9
2. Ahmad Baharom Collections https://www.facebook.com/AhmadBaharomCreation/
3. Anti Pemimpin Pendusta, Mungkar dan Zalim https://www.facebook.com/AhmadBaharomCreation2/
4. ABC Conflicts News https://www.facebook.com/AhmadBaharomCreation3/
5. Agama Bangsa Cemerlang https://www.facebook.com/groups/ahmadbaharom62/

Dan beberapa group yang boleh dikenali dengan ABC.

BLOG INI ADALAH BERKAITAN AGAMA DAN POLITIK.
Tulis Carian Anda didalam line putih dibawah


1AQIDAH: ALLAH DIDAHULUKAN, RASULULLAH DIUTAMAKAN..... "Terimalah sedikit kesusahan dun

Friday, 27 February 2015

BENARKAH RASULULLAH DAN SAHABAT MELAKUKAN DEMONSTRASI????

Benarkah Rasulullah Dan Sahabat Juga Melakukan Demonstrasi Jalanan?

Telah tersebar akhir-akhir ini berkenaan kisah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersama 'Umar dan Hamzah radhiyallahu 'anhum keluar berdemonstrasi bagi tujuan menunjukkan kekuatan dan menyatakan bahawa Islam itu benar. Persoalannya, benarkah kisah ini benar-benar berlaku atau sekadar omong-omongan kosong dari para pemuka demonstrasi jalanan yang mahu mempertahankan diri kerana kekeringan hujjah?

Bolehkah perbuatan demonstrasi disandarkan kepada Islam sekaligus dijadikan sebagai salah satu saranan untuk menyatakan rasa tidak puas hati kepada pemerintah atau selainnya?

Berikut saya nukil beberapa perkataan para pembela demonstrasi berkenaan kisah yang saya akan bawakan kemudian secara penuh:

1 - Rasulullah SAW pernah melakukan demonstrasi aman di kota Makkah. Peristiwa ini terjadi setelah Nabi SAW diperintahkan oleh Allah Ta'ala supaya berdakwah secara terang-terangan. Baginda lalu memerintahkan kaum Muslimin keluar dan berjalan membentuk dua barisan menuju Ka'bah. Satu barisan dipimpin oleh Umar ibn al-Khattab dan yang satu lagi dipimpin oleh Hamzah ibnu Abdul Muthalib. Dengan diiringi laungan takbir dan kalimah suci La ilaha illallah, kaum Muslimin berjalan mengelilingi Ka'bah. Rasulullah sendiri berada di dalam kelompok tersebut memberi arahan. (Rujuk: Blog g-82, milik al-Bakistani, link: 
http://g-82.blogspot.com/2009/07/demonstrasi-salah-dalam-islam.html)

2 - Ketika mana saidina Umar menyatakan keislamannya di ruma al-Arqam bin Abi al-Arqam beliau berkata: “Ya Rasulullah , bukankah kita berada di atas kebenaran samaada kita mati ataupun kita hidup?” Baginda menjawab “Demi tuhan yang mana diriku dalam kuasanya, sesungguhnya kamu berada dalam kebenaran samaada kamu mati atau pun kamu hidup.” Umar membalas “Sebab apa kita perlu bersembunyi. Demi tuhan yg membangkitkan kamu dgn kebenaran kamu mesti keluar di khalayak ramai.” Maka mereka mengeluarkan Nabi berada di dalam dua saf. Hamzah ada pada salah satu saf dan aku dalam satu saf lagi. Debu2 tanah yg halus menyelebungi perjalanan mereka. Mereka berjalan sehingga sampai masjid, aku melihat kaum quraisy dan ke arah hamzah. Orang quraisy ditimpa kesedihan yang mereka tidak pernah mereka alami sebelum itu. Dari pada peristiwa ini Rasul menamakan aku al-Faruq. (Rujuk: Salman Maskuri, milik Akhi Salman, link:
http://akhisalman.blogspot.com/2009/01/tunjuk-perasaan-atau-demonstrasi.html juga:http://ibnuinsan.blogspot.com/2009/01/demonstrasi-menurut-perspektif-islam.html)

3 - Demonstrasi Memamirkan Kekuatan Umat Islam Sebelum ini kita telah maklum bahawa Rasulullah pernah keluar bersama sahabat berdemontrasi untuk memaparkan suara , kekuatan dan ramainya bilangan umat Islam ketika itu ; meskipun hal ini hasil desakan para sahabat baginda.

Selaras dengan itu adalah pandangan Syaikh Abdul Rahman Abdul Khaliq. Beliau menerangkan: Demonstrasi ada disebutkan sebagai salah satu cara yang diambil oleh Rasulullah untuk mengenengahkan kekuatan Islam dan sebagai salah satu cara dakwah.

Ini berlandaskan hadith bahawa kaum muslimin keluar beramai-ramai setelah Omar mengisytiharkan dirinya menganut agama Islam berdasarkan arahan Rasul dengan dua barisan. Satu barisan diketuai oleh Hamzah R.A. dan satu lagi diketuai oleh Omar.

Teriakan mereka terdengar bagaikan deru kisaran tepung sehinggalah mereka masuk dalam masjid. Pada pengamatan saya tindakan tersebut semata-mata kerana mahu menunjukkan kekuatan (suara kebenaran) Versi hadith tersebut pernah diriwayatan oleh Abu Na'im dalam Kitab al Hilyah dengan sanad yang dihubungkaitkan dengan Ibnu Abbas.

Di mana diriwayatkan Saidina Omar berkata: Wahai Rasulullah , bukankah kita dipehak yang benar; sama ada semasa kita hidup atau kita mati?. Bahkan jawab Rasulullah. Kamu di pehak yang benar; samada ketika kamu hidup atau kamu mati. Maka aku pun meningkah: Kalau begitu mengapa kita harus menyepikan diri (bersembunyi) Demi Allah yang mengutusmu membawa kebenaran engkau mesti keluar menampilkan diri.

Lalu kami keluar bersama baginda dalam dua barisan para penunjuk perasaan. Hamzah mengepalai satu barisan dan aku mengepalai satu barisan. Demonstrasi ini gegap dengan teriakan bagaikan bunyi alat kisaran tepung (yang besar) sehinggalah kami sampai dan masuk dalam masjid. Dia berkata lagi:

Kemudian aku dapati kaum Quraisy menoleh kepada ku dan kepada Hamzah dengan pandangan muram dan sugul. Mereka merasa kecewa dan frustrasi yang tidak pernah mereka alami sebelumnya. Sejak daripada itu Rasululah member i nama jolokan kepada ku sebagai Omar al Faaruq. Kerna Allah telah menyerlahkan perbezaan antara kebenaran dan kebatilan dengan (pengislaman) diriku. (Lihat Hilyatul Aulia Juz 1 hal: 40 dan Fathul Bari Juz 7 Hal: 59). (Rujuk: Harakah Daily, Milik Parti Islam Se-Malaysia, link:
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=10820&Itemid=99999999)

Riwayat Yang Dimaksudkan
Begitulah mereka membawakan kisah tersebut secara sekerat-sekerat dan sebahagiannya tanpa rujukan yang tepat. Ada pun kisah yang dimaksudkan adalah sebagaimana berikut:

عن ابن عباس قال: سألت عمر: لاي شئ سميت (الفاروق) ؟ قال: أسلم حمزة قبلي بثلاثة أيام ، ثم شرح الله صدري للاسلام فقلت: الله لا إله إلا هو له الاسماء الحسنى، فما في الارض نسمة أحب إلي من نسمة رسول الله صلى الله عليه وسلم ، فقلت: أين رسول الله صلى الله عليه وسلم؟ قالت أختي: هو في دار الارقم بن أبي الارقم عند الصفا، فأتيت الدار وحمزة في أصحابه جلوس في الدار ورسول الله صلى الله عليه وسلم في البيت: فضربت الباب، فاستجمع القوم ، فقال لهم حمزة: ما لكم؟ قالوا: عمر بن الخطاب، فخرج رسول الله صلى الله عليه وسلم فأخذ بمجامع ثيابي ثم نترني نترة فما تمالكت أن وقعت على ركبتي فقال: ما أنت بمنته يا عمر! فقلت: أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، فكبر أهل الدار تكبيرة سمعها أهل المسجد فقلت: يارسول الله ! ألسنا على الحق إن متنا وإن حيينا ؟ قال: بلى! والذي نفسي بيده إنكم على الحق إن متم وإن حييتم ! قلت: ففيم الاختفاء؟ والذي بعثك بالحق لتخرجن فأخرجناه في صفين: حمزة في أحدهما وأنا في الآخر، له كديد ككديد الطحين حتى دخلنا المسجد، فنظرت إلي قريش وإلى حمزة، فأصابتهم كآبة لم صبهم مثلها، فسماني رسول الله صلى الله عليه وسلم يومئذ (الفاروق) ، وفرق الله بي بين الحق والباطل

Maksud: (Diriwayatkan) Daripada Ibnu ‘Abbas, beliau bertanya kepada ‘Umar berkenaan gelaran al-Faruq. ‘Umar berkata: “Setelah tiga hari Hamzah memeluk Islam, kemudian Allah pun melapangkan hatiku untuk memeluk agama Islam, lalu aku mengatakan: “Allah, tiada tuhan yang berhak disembah (dengan benar) melainkan Dia, Dia memiliki al-Asma’ al-Husna (nama-nama yang baik), tidak ada di bumi seseorang yang lebih aku cintai melebihi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam”. Aku bertanya: “Di mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?” Saudara perempuanku menjawab: “Dia berada di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam di as-Shofa”. Lalu aku mendatangi rumah tersebut, pada waktu itu Hamzah bin Abdul Muthalib duduk bersama para sahabat Nabi lainnya di lingkungan rumah, manakala Nabi berada di dalam rumah, lalu aku ketuk pintu rumah. Ketika para sahabat Nabi mengetahui kedatanganku mereka pun datang bergerombolan, lalu Hamzah bertanya kepada para sahabat Nabi: “Apa yang terjadi dengan kalian?” mereka menjawab: “Ada Umar bin Khattab”. Kemudian Umar meneruskan ceritanya: “Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam datang, dan memegang baju ‘Umar dan mendorongnya, maka Umar pun terjatuh di atas kedua lututnya, lalu Nabi bersabda: “Wahai Umar apa yang kamu inginkan?” Lalu aku menjawab: “Saya bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah (dengan benar) melainkan Allah sahaja, tiada sekutu baginya, dan aku mengakui bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya”. Mendengar perkara ini, para sahabat Nabi yang berkumpul bertakbir dengan takbir yang didengari orang-orang yang berada di Masjidil Haram. Aku pun berkata kepada Nabi: “Bukankah kita berada di atas kebenaran sama ada kita mati atau hidup?” beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab: “Benar, wahai Umar, demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya kamu di atas kebenaran sama ada kamu mati atau hidup”. Aku menyahut: “Lalu kenapa kita bersembunyi, demi Allah yang telah mengutusmu dengan kebenaran kita akan keluar (secara terang-terangan menampakkan ke-Islaman)”. Lalu kami pun keluar dalam dua barisan, Hamzah pada salah satu barisan dan aku pada barisan lainnya. Sehingga kami memasuki Masjidil Haram (Ka’bah). Maka orang-orang dari suku Quraisy melihat kepadaku dan kepada Hamzah, lalu mereka pun bersedih hati dengan situasi ini dengan kesedihan yang tidak pernah mereka alami sebelumnya. Maka, pada hari tersebut, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menggelarkan dengan al-Faruq. Dengannya Allah membezakan di antara yang haq dan batil.”

Rujukan riwayat/kisah ini:

- Abu Nu’aim al-Asbahani, di dalam al-Hilyatul Auliya’, 1/20, beliau membawakan sanad riwayat ini sebagai berikut:

حدثنا محمد بن أحمد بن الحسن، حدثنا محمد بن عثمان بن أبي شيبة، حدثنا عبد الحميد بن صالح، حدثنا محمد بن أبان، عن إسحاق بن عبد الله بن أبان بن صالح عن مجاهد، عن بن عباس

- Kisah ini turut dibawa oleh Ali Ibn 'Abdul Malik al-Muttaqi al-Hindi di dalam Kanzul ‘Umal. Turut dijelaskan bahawa:

(وفيه أبان بن صالح ليس بالقوى وعنه إسحاق بن عبد الله الدمشقي متروك)

Maksud: Di dalam rangkaian sanadnya terdapat Aban B. Soleh, dia tidak baik hafalannya. Dan meriwayatkan daripadanya Ishaq B. ‘Abdullah ad-Dimasyqi, dia matruk (ditinggalkan hadisnya). (Rujuk: Kanzul ‘Umal (كنز العمال), 12/551, no. 35742)

Semakan terhadap riwayat/kisah di atas tersebut:

- Ishaq B. ‘Abdullah B. Abi Farwah meriwayatkan daripada Aban B. Soleh. Dijelaskan oleh al-Mizzi, di dalam (تهذيب الكمال) Tahzibul Kamal , 2/446, no. 367.

- Juga disebutkan tentangnya oleh Ibnu Hibban di dalam (المجروحين) al-Majruhin, 1/131.

- Berkenaan dengan Ishaq B. ‘Abdullah B. Abu Farwah (yang meriwayatkan dari Aban B. Soleh) ini, para ulama hadis telah menjelaskan bahawa dia:

1 – Imam al-Bukhari berkata, dia ditinggalkan (hadisnya). Imam Ahmad B. Hanbal melarang mengambil hadis darinya dan dia tidak menulis (tidak mengambil) hadis darinya. Yahya B. Ma’in menjelaskan, hadisnya tidak boleh dipakai. Ali B. Al-Hasan al-Hasnajani berkata dari Yahya, bahawa dia pendusta (Kazzab). (Rujuk: (تهذيب الكمال) Tahzibul Kamal , 2/450-451, no. 367)

2 – Matruk (ditinggalkan hadisnya). (Rujuk: Imam an-Nasa’i, (الضعفاء والمتروكين) adh-Dhu’afa wa al-Matrukin ,1/154, no. 50)

3 – (كان يقلب الاسانيد ويرفع المراسيل، وكان أحمد بن حنبل ينهى عن حديثه) bahawa dia sering memutarbalikkan riwayat (sanad), dari mursal menjadi kepada marfu’. Dan Imam Ahmad, beliau melarang dari mengambil hadisnya. (Rujuk: (المجروحين) Ibnu Hibban, al-Majruhin, 1/131.

4 – Kazzab (pendusta), disebutkan oleh Yahya B. Ma’in sebagaimana yang dibawakan oleh Ibnu Abi Hatim ar-Razi di dalam (الجرحوالتعديل) al-Jarh wa at-Ta’dil, 2/228, no. 792.

5 – Berkenaan riwayat atau kisah di atas, ia turut disentuh oleh Syaikh al-Muhaddis ‘Ali al-Hasyisy, rujuk: Web Multaqa Ahlil Hadis. Edisi Terjemahan: Blog Abu Salma.

Kesimpulan:

Kisah ini adalah tidak sahih, malah palsu (tidak dapat diterima pakai). Rujuk tulisan di dalam edisi terjemahan di Blog Abu Salma (link di atas) oleh Syaikh al-Muhaddis ‘Ali al-Hasyisy. Rujuk juga berkenaan tidak benarnya kisah tersebut berdasarkan pernyataan oleh Syaikh al-Albani dan Syaikh Abdul 'Aziz B. Bazz di dalam buku “Siri 3: Demonstrasi Bukan Jihad Tapi Maksiat”, Zuhari Syarif, Diterjemahkan oleh: Ustaz Rasul bin Dahri, Terbitan Jahabersa.

Syaikh ‘Abdul ‘Aziz B. Bazz rahimahullah berkata:

وما ذكرتم حول المظاهرة فقد فهمته وعلمت ضعف سند الرواية بذلك كما ذكرتم؛ لأن مدارها على إسحاق بن أبي فروة وهو لا يحتج به، ولو صحت الرواية فإن هذا في أول الإسلام قبل الهجرة وقبل كمال الشريعة.
ولا يخفى أن العمدة في الأمر والنهي وسائر أمور الدين على ما استقرت به الشريعة بعد الهجرة
Maksud: Sebagaimana yang mungkin telah engkau ketahui berkenaan demonstrasi, hujjah yang mendukungnya amat lemah . Sesungguhnya riwayat ini berkisar kepada Ishaq B. Abi Farwah yang tidak boleh dipegang (tidak boleh dijadikan) sebagai hujjah. Sekiranya kisah ini sahih, maka ia terjadi di awal Islam sebelum hijrah dan sebelum sempurnanya syari’at.

Tidaklah tersembunyi bahawa yang dijadikan sandaran di dalam perintah dan larangan serta perkara-perkara lain di dalam agama adalah yang sudah diterapkan setelah hijrah. (Rujuk: Fatawa wa Maqolat Ibnu Bazz)

Larangan Menyandarkan Suatu Yang Tidak Benar Kepada Rasulullah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

Maksud: Daripada Abu Hurairah (radhiyallahu 'anhu), bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam telah bersabda:

“Sesiapa yang berdusta ke atas nama-ku dengan sengaja, maka hendaklah dia mengambil tempat tinggalnya di neraka.” (Hadis Riwayat Muslim, Muqaddimah Shahih Muslim, 1/12, no. 4)

عَنْ الْمُغِيرَةِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

Maksud: Dari al-Mughirah radhiyallahu 'anhu, beliau berkata: Aku pernah mendengar Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda, “Sesungguhnya berdusta ke atas namaku tidaklah sama dengan berdusta menggunakan nama orang lain. Maka, sesiapa yang berdusta ke atas namaku dengan sengaja, hendaklah dia mengambil tempat tinggalnya di neraka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, Kitab al-Jana'iz, 5/37, no. 1209)

Demikianlah batilnya hujjah penyandaran kisah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam berdemonstrasi bersama para sahabatnya yang dilakukan oleh para pemuka dan pemuja adegan-adegan demonstrasi jalanan yang diatas-namakan kepada Islam.

Malah, banyak lagi syubhat-syubhat yang cuba dilontarkan oleh mereka ini seperti menyamakan adegan demonstrasi ini dengan perhimpunan manusia yang menunaikan ibadah haji di Makkah, perhimpunan manusia yang pergi bersolat Juma'at, dan seumpamanya. Dikeranakan kehabisan hujjah. Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi menghalalkan perbuatan demonstrasi. Lebih malang, mereka berusaha sedaya upaya untuk menisbatkan adegan demonstrasi jalanan ini kepada Islam.

Yang mana di dalamnya (demonstrasi) tersebut, mereka mengumbar dan membuka celaan dan makian kepada para pemimpin atau pihak yang diprotes! Sambil dengan itu, mereka membaluti adegan mereka dengan cara melaung-laungkan kalimah jihad dan tahlil. Semua ini tidak lain, supaya kelihatannya seakan-akan islami. Walhal, mereka sebenarnya adalah pembuat dan penyebar kebatilan sebenar sebelum kebatilan yang mulanya itu sendiri berjaya mereka banteras!

Ini dapat dilihat apabila mereka pergi berdemonstrasi bersama-sama kaum kafir yang tidak kurang bencinya kepada Islam. Malah mereka mengajak sama kaum wanita dan anak-anak kecil untuk turut serta ke dalam adegan buruk mereka itu.

Berhati-hatilah, Adegan Demonstrasi Adalah Ideologi Yahudi

Berikut dinukil dari tulisan di blog sahabat saya, Saudara Safwan:

Kejadian terbunuhnya Utsman bin 'Affan radiallahu 'anhu dan timbulnya pemikiran Khawarij sangat erat hubungannya dengan demonstrasi. Kronologis kisah terbunuhnya Utsman radiallahu 'anhu adalah bermula dari isu-isu tentang fitnah yang dilontarkan kepada Khalifah Utsman yang disebarkan oleh seorang pendita Yahudi Abdullah bin Saba' di kalangan kaum muslimin.

Abdullah bin Saba' berpura-pura masuk Islam (munafik). Sedangkan kita telah sedia maklum bagaimana sikap Yahudi kerana Allah telah mengkhabarkan dengan firman-Nya:

Maksudnya: "Nescaya engkau akan dapati orang yang paling memusuhi (murka) kepada orang-orang yang beriman adalah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrikin." (Al-Maidah: 82)

Permusuhan kaum Yahudi bermula sejak berkembangnya Islam, seperti mengkhianati perjanjian mereka terhadap Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, merendahkan kaum muslimin, mencerca ajaran Islam dan banyak lagi makar-makar (tipu helah) busuk mereka. Namun setelah Islam kuat, tersingkirlah mereka dari Madinah. (Lihat: Sirah Ibn Hisyam, juz 3, hal 191-199)

Pada zaman Abu Bakar dan Umar radiallahu 'anhuma, suara orang-orang Yahudi hampir hilang, bahkan Umar mengusir mereka dari Jazirah Arab sebagai merealisasikan perintah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam yang pernah bersabda:

"Sungguh akan aku keluarkan orang-orang Yahudi dan Nasrani dari Jazirah Arab sampai aku tidak sisakan padanya kecuali orang muslim." Juga sabda baginda: "Keluarkanlah orang-orang musyrikin dari Jazirah Arab." (Hadis riwayat Bukhari)

Ditahun-tahunterakhir kekhalifahan Utsman radiallahu 'anhu, diwaktu keadaan masyarakat mulai heterogen (kemasukan berbagai bangsa), banyak muallaf dan orang awam yang masih belum mendalam keimanan dan ilmunya, maka orang-orang Yahudi mula mengambil kesempatan untuk menyebarkan fitnah. Mereka berpenampilan sebagai muslim (tetapi munafik), antara mereka adalah Abdullah bin Saba' yang diberi gelaran Ibn Sauda'.

Abdullah bin Saba' berasal dari San'aa. Dialah yang menaburkan benih-benih fitnah di kalangan kaum muslimin agar mereka iri hati dan benci kepada Utsman radiallahu 'anhu. Sedangkan inti dari apa yang dia bawa adalah pemikiran-pemikiran peribadinya yang bernafaskan Yahudi. Contohnya adalah kisah yang batil tentang kewalian Ali radiallahu 'anhu. Dia berkata: "Sesungguhnya telah ada seribu nabi dan setiap nabi mempunyai wali. Sedangkan Ali adalah wali Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam." Kemudian dia berkata dan terus menabur fitnah: "Muhammad adalah penutup para nabi sedangkan Ali adalah penutup para wali."

Tatkala tertanam pemikiran ini dalam jiwa para pengikutnya, mulailah dia menerapkan tujuan utamanya iaitu melakukan pemberontakan terhadap kekhalifahan Utsman bin 'Affan radiallahu 'anhu. Maka dia melemparkan pernyataan pada masyarakat yang bunyinya: "Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang tidak layak mendapatkan wasiat Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam (kewalian rasul), kemudian dia melampaui wali Rasulullah (iaitu Ali) dan merampas urusan umat (pemerintahan)!!"

Setelah itu Abdullah bin Saba' terus mengeluarkan pembohongan (fitnah): "Sesungguhnya Utsman mengambil kewalian (pemerintahan) yang bukan haknya, sedangkan wali Rasulullah ini (Ali) ada (di kalangan kamu). Maka bangkitlah kamu dan bergeraklah. Mulailah untuk mencerca pegawai kamu, nempakkan amar makruf nahi mungkar. Nescaya manusia serentak bangun dan ajaklah mereka kepada perkara ini." (Lihat: Tarikh ar-Rasul, juz 4, hal 340, Ath-Thabari melalui Mawaqif)

Amar makruf nahi mungkar ala Sabaiyah ini sama modelnya dengan amar makruf menurut Khawarij, iaitu keluar dari pemerintahan kemudian memberontak, memperingatkan kesalahan pemerintah di atas mimbar-mimbar, forum-forum awam dan demonstrasi-demonstrasi yang semua ini mengakibatkan timbulnya fitnah. Masalah pun bukan semakin reda, bahkan tambah menyala-nyala. Faktasejarah telah membuktikan hal ini. Amar makruf nahi mungkar ala Sabaiyah dan Khawarij ini mengakibatkan terbunuhnya Khalifah Utsman bin 'Affan radiallahu 'anhu. Peperangan sesama kaum muslimin dan terbukanya pintu fitnah berterusan dari zaman Khalifah Utsman sampai kezaman kekhalifahan Ali bin Abi Talib radiallahu 'anhu. (Lihat: Tahqiq Mawaqif ash-Shahabati fil Fitani min Riwayat al-Imam ath-Thabari wal Muhadditsin, juz 2, hal 342)

Sebenarnya amar makruf nahi mungkar yang mereka gembar-gemborkan hanyalah sebagai label dan perisai belaka tiada keikhlasan padanya. Buktinya Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada Utsman:

"Hai Utsman! Nanti sepeninggalanku Allah akan memakaikan pakaian padamu. Jika orang-orang ingin mencelakakanmu pada waktu malam (dalam riwayat lain): Orang-orang munafiq ingin melepaskannya, maka jangan engkau lepaskan. Baginda mengucapkannya tiga kali." (Hadis riwayat Musnad, juz 6, hal 75. Tirmizi dalam Sunan dan disahihkan oleh Syeikh Al-Albani dalam Sahih Sunan At-Tirmizi)

Syeikh Muhammad Amhazurn berkomentar: "Hadis ini menunjukkan dengan jelas bahawa orang Khawarij tidaklah menuntut keadilan dan kebenaran, akan tetapi mereka adalah kaum yang dihinggapi penyakit nafaq sehingga mereka bersembunyi di sebalik tabir syiar perdamaian dan aman makruf nahi mungkar. Tidak diketahui di satu zaman pun adanya suatu jamaah atau kelompok yang lebih berbahaya daripada orang-orang munafiq."

Inilah hakikat amar makruf nahi mungkar kaum Sabaiyah dan Khawarij. Alangkah serupanya kejadian dulu dan sekarang.

Di zaman ini ternyata ada Khawarij gaya baru, iaitu orang-orang yang mempunyai pemikiran Khawarij. Mereka menjadikan demonstrasi, tunjuk perasaan dan sebagainya alat dan metod dakwah serta jihad. Di antara tokoh-tokoh mereka adalah Abdul Rahman Abdul Khaliq, pengikut dan yang sefahaman dengannya yang mengatakan (dalam al-Fusul minas Siyasah asy-Syariah):

"Termasuk metod atau cara Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dalam berdakwah adalah demonstrasi atau tunjuk perasaan." (Tamat Nukilah. Dari tulisan Zuhair Syarif, Demonstrasi Bukan Jihad Tapi Maksiat, link: http://al-muwahhidun.blogspot.com/2009/08/demonstrasi-bukan-jihad-tapi-maksiat.html)

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ: عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَتَتْبَعُنَّ سَنَنَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ شِبْرًا شِبْرًا وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا جُحْرَ ضَبٍّ تَبِعْتُمُوهُمْ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ

Maksud: Dari Abi Sa’id al-Khudri, dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, beliau berkata:

“Sesungguhnya daripada kamu akan benar-benar ada yang mengikuti jalan orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kamu akan mengikutinya.”

Kami (para sahabat) bertanya:

“Wahai Rasulullah, adakah yang engkau maksudkan itu (jalan) Yahudi dan Nasara?”
Beliau menjawab:

“Siapa lagi (sekiranya bukan mereka)?” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, 22/298, no. 6775. (كِتَاب الِاعْتِصَامِ بِالْكِتَابِوَالسُّنَّةِ))

Nasihatilah Pemimpin Dengan Baik

فَقَالَ عِيَاضُ بْنُ غَنْمٍ يَا هِشَامُ بْنَ حَكِيمٍ قَدْ سَمِعْنَا مَا سَمِعْتَ وَرَأَيْنَا مَا رَأَيْتَ أَوَلَمْ تَسْمَعْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ أَرَادَ أَنْ يَنْصَحَ لِسُلْطَانٍ بِأَمْرٍ فَلَا يُبْدِ لَهُ عَلَانِيَةً وَلَكِنْ لِيَأْخُذْ بِيَدِهِ فَيَخْلُوَ بِهِ فَإِنْ قَبِلَ مِنْهُ فَذَاكَ وَإِلَّا كَانَ قَدْ أَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ لَهُ

Maksud: Maka berkata ‘Iyadh B. Ghanm, wahai Hisyam bin Hakim, kami telah mendengar apa yang engkau dengar dan kami melihat apa yang engkau lihat, adakah engkau tidak (belum) mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:


Sesiapa yang mahu menasihati sultan (pemimpin) di dalam sesuatu urusan, janganlah dia melakukannya secara terang-terangan. Akan tetapi hendaklah dia mengambil tangan pemerintah tersebut dan ajaklah (nasihatilah) dia secara rahsia. Jika dia (pemimpin) menerima (nasihat) maka itulah yang diharapkan. Sekiranya dia tidak menerima (nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat) telah melaksanakan tanggungjawabnya. (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, no. 14792. Disahihkan oleh al-Albani, di dalam Zhilalil Jannah, (باب كيف نصيحة الرعية للولاة), no. 1096. Begitu juga di dalam Mu’amalatul Hukkam fi Dhauil Kitab was Sunnah, Syaikh Abdus Salam B. Barjas turut menjelaskan kesahihan hadis ini dengan membawakan beberapa jalan periwayatan dan penguat serta turut menukilkan pensahihan oleh al-Haitsami di dalam Majma’ az-Zawa’id, 5/229)

Berkenaan penjelasan seterusnya ini, silakan merujuk tulisan-tulisan saya sebelum ini berkenaan dengannya (adab bermu'amalah dengan pemerintah).

Sekian, Wallahu a'lam...

No comments:

Post a Comment

kakaktua800.blogspot.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...