ANTI PEMIMPIN PENDUSTA DAN ZALIM.


AHMAD BAHAROM CREATION.


1AQIDAH: ALLAH DIDAHULUKAN, RASULULLAH DIUTAMAKAN..... "Terimalah sedikit kesusahan dunia yang sementara,dalam menegakkan kebenaran untuk terlepas daripada kesusahan Akhirat yang berkekalan"


Lawati page dan group ABC di Facebook.

1. Ahmad Baharom Commantary https://www.facebook.com/ahmad.baharom.9
2. Ahmad Baharom Collections https://www.facebook.com/AhmadBaharomCreation/
3. Anti Pemimpin Pendusta, Mungkar dan Zalim https://www.facebook.com/AhmadBaharomCreation2/
4. ABC Conflicts News https://www.facebook.com/AhmadBaharomCreation3/
5. Agama Bangsa Cemerlang https://www.facebook.com/groups/ahmadbaharom62/

Dan beberapa group yang boleh dikenali dengan ABC.

BLOG INI ADALAH BERKAITAN AGAMA DAN POLITIK.
Tulis Carian Anda didalam line putih dibawah


1AQIDAH: ALLAH DIDAHULUKAN, RASULULLAH DIUTAMAKAN..... "Terimalah sedikit kesusahan dun

Friday, 27 February 2015

GHULUW

Ghuluw: Sikap Yang Perlu Dihindari


Maksud Ghuluw:

Ghuluw adalah Sikap atau perbuatan yang berlebih-lebihan di dalam perkara agama sehingga melampaui apa yang telah ditetapkan melalui batasan syari'at sama ada berbentuk keyakinan atau perbuatan.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ غَيْرَ الْحَقِّ وَلا تَتَّبِعُوا أَهْوَاءَ قَوْمٍ قَدْ ضَلُّوا مِنْ قَبْلُ وَأَضَلُّوا كَثِيرًا وَضَلُّوا عَنْ سَوَاءِ السَّبِيلِ

Maksud: Katakanlah: "Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara yang tidak benar di dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang terdahulu yang telah sesat (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakkan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus." (Surah al-Ma'idah, 5: 77)

Sedangkan agama ini telah pun lengkap dan tidak perlu kepada penambahan atau pengurangan. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإسْلامَ دِينًا

Maksud: Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama-mu, dan telah aku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku, dan telah Aku redhai Islam itu menjadi agama bagimu. (Surah al-Ma'idah, 5: 3)

Beberapa perkataan atau istilah yang digunakan terhadap sikap berlebih-lebihan di dalam agama, di antaranya:

1 – Tanaththu' (Ekstream)

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ قَالَهَا ثَلَاثًا

Maksud: "Daripada 'Abdullah B. 'Abbas (radhiyallahu 'anhu), beliau berkata:

Berkata Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam: "Celakalah orang-orang yang melampaui (ekstream)" dan beliau mengulanginya sebanyak tiga kali. (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Ilmi, 13/154, no. 4823. Abu Daud, Sunan Abi Daud, Kitab as-Sunnah, 12/212, no. 3992)

2 – Tasyaddud (Memberat-beratkan Diri)

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا وَأَبْشِرُوا وَاسْتَعِينُوا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَيْءٍ مِنْ الدُّلْجَةِ

Maksud: Daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam telah bersabda:

Sesungguhnya agama ini adalah mudah, dan tiada seorang pun yang cuba menyusah-nyusahkan diri di dalam perkara agama ini melainkan dia pasti akan gagal. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Iman, 1/69, no. 38)

لا تشددوا على أنفسكم فإنما هلك من قبلكم بتشديدهم على أنفسهم وستجدون بقاياهم في الصوامع والديارات

Maksud: Janganlah kamu menyusah-nyusahkan dirimu sebagaimana orang-orang sebelum kamu melakukannya ke atas diri-diri mereka. Kesan-kesan sikap mereka ini masih dapat kamu temui di dalam biara-biara mereka. (Hadis Riwayat ath-Thabrani, 5/322, no. 5418. Disahihkan oleh al-Albani, di dalam Raddul Mufhim, 1/146 dan Silsilah Hadis ash-Shahihah, 8/131, no. 3124)

3 – I'tida' (Melampaui ketetapan Syari'at)

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلا تَقْرَبُوهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ آيَاتِهِ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

Maksud: Itulah batasan yang telah ditetapkan oleh Allah, maka janganlah kamu melanggarnya. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayatnya kepada manusia supaya mereka bertaqwa. (Surah al-Baqarah, 2: 187)

Dan juga firman-Nya:

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksud: Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. (Surah al-Baqarah, 2: 190)

4 – Takalluf (Memaksakan Diri Dengan Mengada-adakan Sesuatu)

Allah Subahanhu wa Ta'ala berfirman:

قُلْ مَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُتَكَلِّفِينَ

Maksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku tidak meminta upah sedikitpun kepadamu atas da'wahku dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mengada-adakan".(Surah Shaad, 38: 86)

Contoh-contoh Ghuluw:

1 – Ghuluw Dalam Perkataan (atau Ucapan)
Contoh 1: Terburu-buru dalam mengkafirkan, memfasiqkan dan mengkritik orang lain tanpa berpandukan kepada fasa dan kaedah yang betul. Sehingga menghujam dan mengkritik indicidu seseorang didahulukan daripada menasihatinya dengan secara baik.

Contoh 2: Menokok tambah lafaz-lafaz zikir atau selawat yang telah sedia ada yang disunnahkan oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam. Termasuk dalam contoh kedua ini adalah memuji-muji Nabi dengan pujian yang tidak syar'i bahkan melanggar adab-adab dan batasan dalam memuji dan berselawat seperti meletakkan tambahan Sayyidina, maulana, asy-Syafi dan seumpamanya ke atas nama Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam.

2 – Ghuluw Dalam Keyakinan (I'tiqad)

Contoh 1: Menganggap Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam itu hidup di dalam kuburnya sehingga mampu memperkenankan doa bagi orang yang datang berdoa di atas kuburnya.

Contoh 2: Menganggap orang-orang Sholeh sebagai ma'shum dan tidak memiliki sebarang kesalahan. Malah ada sehingga menganggap orang-orang sholeh mereka mampu meraih makam (darjat) ketuhanan sepertimana yang berlaku di dalam kelompok Syi'ah.

3 – Ghuluw Dalam Amal Perbuatan

Contoh 1: Melayani perasaan dan sikap was-was ketika hendak beribadah sehingga terpaksa melakukan dan mengulangi ibadah tersebut berulang-ulang kali. Perkara seperti ini banyak berlaku kepada orang yang hendak berwudhu', bersolat dan seumapamanya kerana mereka menganggap lafaz niat itu wajib (atau dituntut) dan perlu sehingga wujudnya rasa niat telah meresap ke dalam hati. Selagi mana, niat tidak dapat dirasa telah masuk ke dalam hati, maka selagi itulah mereka tidak akan merasa yakin untuk memulakan ibadah.

Contoh 2: Mengadakan waktu imsak lebih awal ketika hendak berpuasa, sedangkan waktu untuk mula berpuasa itu adalah dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari. Tetapi mereka mengawalkan sahur bagi mengelakkan terkena waktu subuh sehingga mereka meletakkan batas imsak 10 minit atau setengah jam lebih awal sebelum datangnya subuh (terbit fajar). Dan ketika hendak berbuka puasa, mereka melewat-lewatkan untuk berbuka bagi memastikan bahawa maghrib telah masuk.

4 – Ghuluw Dalam Semangat

Contoh 1: Memiliki semangat agama yang terlalu tinggi dan berkobar-kobar sehingga hilang kesabaran. Tetapi, ilmunya sangat kurang. Kemudian ia tergesa-gesa di dalam menyebarkannya dan mengkritik orang lain yang tidak memahaminya.

Meninggalkan Ghuluw Tidak Bererti Meremeh-temehkan Agama
Di dalam menjauhi sikap ghuluw, hendaklah kita supaya tidak sampai terjebak ke dalam sikap meremeh-temehkan agama (Taqshir). Mempertahankan diri di tengah-tengah di antara taqshir (meremehkan agama) dengan melampau-lampau atau berlebih-lebihan (ghuluw) di dalam agama ia adalah suatu perkara yang agak sukar untuk dilaksanakan.

Namun, jika kita memahami agama itu berdasarkan kedudukannya yang tepat, ia sebenarnya akan lebih menampakkan keindahan dan relevannya sebuah agama itu sendiri. Jadi, hendaklah kita tidak bermalasa-malas dalam rangka memahami dan melaksanakan agama dan jangan pula kita sehingga berlebih-lebihan di dalam melaksanakannya dengan melaksanakan apa yang tidak disyari'atkan oleh agama.

Faktor Lahirnya Sikap Ghuluw:
1 – Kejahilan di dalam memahami agama. Gagal dalam meletakkan agama di atas landasannya yang sebenar dengan meninggalkan sumber-sumbernya yang asas dari al-Qur'an dan as-Sunnah yang sahih.

2 – Berpuas hati dengan hanya bertaqlid buta. Mengamalkan agama cukup dengan mengambilnya dari individu, ustaz-ustaz, atau buku-buku tertentu tanpa peduli untuk mengatahui sama ada landasannya itu bertepatan dengan al-Qur'an atau as-Sunnah.

3 – Memahami agama dengan mengikuti hawa nafsu dan akal fikiran tanpa merujuk kepada kaedah dan pemahaman yang sebenarnya yang telah diwariskan oleh Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam dan para sahabatnya.

Berpegang Teguh Di Atas Syari'at Bukan Ghuluw

Terdapat sebahagian pihak yang mengeluarkan pendapat bahawa terdapat kelompok lain yang bersikap berlebih-lebihan di dalam agama sehingga mereka kelihatan asing berbanding dengan majoriti manusia lain di dalam arus perdana.

Kelompok tersebut dilabelkan sebagai ghuluw (berlebih-lebihan) di dalam agama atas sebab tidak isbal (Isbal: melabuhkan seluar/pakaian melebihi mata kaki bagi lelaki), sentiasa memelihara janggut dan tidak mencukurnya, tidak mengiktiraf kelompok-kelompok lainnya yang berbeza dalam beberapa soal-soal aqidah yang pada mereka adalah remeh.

Ada pun sebenarnya, pendapat mereka ini adalah menyimpang dan sama sekali tidak tepat. Terhadap perkara-perkara yang telah ada tuntutan dan petunjuknya di dalam as-Sunnah, maka sekiranya kita melaksanakannya dengan penuh rasa tanggungjawab, maka itu tidaklah termasuk dari sebahagian sikap ghuluw. Tetapi, ia adalah sebagai tanda taatnya seseorang itu terhadap agamanya (Islam). Bahkan ditakuti, mereka pula yang telah bersikap taqshir iaitu meremehkan beberapa perkara dari apa yang ada di dalam agama itu sendiri.

Oelh itu, janganlah kita bersikap terburu-buru dan hendaklah memahami agama itu dengan ilmu dan kaedah-kaedahnya. Jika ia tidak difahami dengan cara yang benar, tidak hairanlah nanti akan wujud suatu fenomena di mana perkara yang sunnah akan dianggap sebagai bid'ah, dan amalan yang bid'ah dianggap sebagai sunnah.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالإثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَنْ تُشْرِكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لا تَعْلَمُونَ

Maksud: Katakanlah: "Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, sama ada yang dapat dilihat atau pun yang tersembunyi, dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujjah untuk itu dan (mengharamkan) mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui". (Surah al-a'raaf, 7: 33)

Dan, sekiranya kita tidak mengetahui, hendaklah kita menuntut ilmu atau bertanya kepada mereka yang memiliki pengetahuan terhadap wahyu (al-Qur'an dan as-Sunnah). Allah berfirman:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلا رِجَالا نُوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ

Maksud: Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui. (Surah an-Nahl, 16: 43)

Cara-cara Menghindari Sikap Ghuluw:
1 – Menuntut ilmu Tentang Agama.

Tanpa ilmu, nescaya kita tidak akan dapat memahami sesuatu perkara. Begitu jugalah terhadap agama, sekiranya tanpa ilmu, sudah tentu kita tidak akan memahami apa dan bagaimana agama itu.

2 – Jangan Malu untuk bertanya Kepada Orang yang memiliki ilmu.

Apabila kita mengamalkan sikap rajin bertanya, ia akan membantu kita untuk mendapatkan lebih maklumat dan kepastian. Dan sekaligus mampu memperbaiki diri kita sekiranya apa yang kita fahami sebelum ini memiliki beberapa kesalahan atau kesilapan.

3 – Sentiasa melakukan penelitian yang baik dan menghindari sikap terburu-buru.

Agama ini dibangun dan dibina di atas prinsip yang teliti di atas manhaj ilmu. Dengan itu, hendaklah kita sentiasa menyemak dan memastikan ia berada di atas asas-asasnya yang tepat.

No comments:

Post a Comment

kakaktua800.blogspot.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...