ANTI PEMIMPIN PENDUSTA DAN ZALIM.


AHMAD BAHAROM CREATION.


1AQIDAH: ALLAH DIDAHULUKAN, RASULULLAH DIUTAMAKAN..... "Terimalah sedikit kesusahan dunia yang sementara,dalam menegakkan kebenaran untuk terlepas daripada kesusahan Akhirat yang berkekalan"


Lawati page dan group ABC di Facebook.

1. Ahmad Baharom Commantary https://www.facebook.com/ahmad.baharom.9
2. Ahmad Baharom Collections https://www.facebook.com/AhmadBaharomCreation/
3. Anti Pemimpin Pendusta, Mungkar dan Zalim https://www.facebook.com/AhmadBaharomCreation2/
4. ABC Conflicts News https://www.facebook.com/AhmadBaharomCreation3/
5. Agama Bangsa Cemerlang https://www.facebook.com/groups/ahmadbaharom62/

Dan beberapa group yang boleh dikenali dengan ABC.

BLOG INI ADALAH BERKAITAN AGAMA DAN POLITIK.
Tulis Carian Anda didalam line putih dibawah


1AQIDAH: ALLAH DIDAHULUKAN, RASULULLAH DIUTAMAKAN..... "Terimalah sedikit kesusahan dun

Friday, 13 February 2015

KETAKSUBAN MELAMPAU

KETAKSUBAN MELAMPAU

Dalam Islam, pendekatan komunikatif digalakkan. Setiap persoalan yang hendak diluahkan perlu mengikut saluran-saluran yang disediakan oleh kerajaan tanpa kita perlu menggugat ketenteraman awam dengan melakukan demonstrasi ketika ramai orang bersuka cita untuk menyambut tahun baharu.

Apatah lagi, isu yang hendak diperjuangkan itu masih dalam peringkat rancangan yang mana belum tentu dilaksanakan oleh kerajaan. Ertinya, masih ada peluang untuk kedua-dua belah pihak saling membincangkan semula tanpa perlu berdemonstrasi yang boleh mendatangkan mudarat kepada orang ramai.

Islam menuntut kita untuk memperingatkan penguasa dengan cara yang santun. Pada masa yang sama, Islam juga menyeru kepada umatnya untuk sentiasa mengamalkan sikap sederhana dan menolak sikap khuruj atau memberontak.

Meskipun pemerintah berada dalam keadaan salah, tidak serta-merta kita diberikan justifikasi untuk menentang dan memberontak pemerintah yang sah dan dipilih oleh rakyat secara demokrasi.

Sekiranya itu berlaku, perhimpunan itu tak ubah untuk menunjukkan sikap taksub. Taksub kepada pihak yang menentang kerajaan. Taksub kepada pendirian pembangkang yang membangkang apa pun yang diputuskan oleh kerajaan. Bagaimanapun, ramai yang lupa apabila keghairahan dan ketaksuban menguasai diri sehingga sanggup menderhaka kepada raja (pemerintah) yang sah.

Perbuatan ini nyata bertentangan dengan syariat Islam yang meminta umat Islam untuk menegur dan memberi nasihat kepada pemerintah dengan cara-cara yang betul, selaras dengan garis panduan yang dibenarkan agama.

Sudah sewajarnya seseorang Muslim perlu mengetahui dan memahami cara bermuamalah dengan penguasa (pemerintah). Berdasarkan kepada panduan agama, para ulama bersepakat akan kewajipan taat kepada penguasa yang ada, baik bagi seorang imam (pemimpin) yang berkuasa terhadap seluruh negeri bagi kaum Muslimin atau ramai pemimpin yang menguasai negeri-negeri tertentu.

Berhubung perkara ini Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa melepaskan ketaatan (daripada penguasa), nescaya akan menemui Allah tanpa memiliki hujah (alasan). Dan barang siapa meninggal tanpa ikatan baiat, maka kematiannya (seperti) kematian jahiliyah." (riwayat Muslim).

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa himpunan itu lebih mencerminkan kepada sikap taksub kepada golongan pembangkang yang sedia menentang dasar-dasar kerajaan. Jikalau demikian keadaannya, ini cerminan kepada sikap jahiliyah pada era moden.

Pendirian pimpinan perhimpunan yang bersedia untuk ditangkap dan menggadaikan nyawa untuk tujuan itu, sama ertinya dia menempah kepada kematian jahiliyah sebagaimana yang diperingatkan oleh Nabi.

Perbuatan menegur dengan cara menentang atau caci maki akan menimbulkan rasa benci dan marah dalam kalangan rakyat yang cintakan keamanan. Teguran yang membina terhadap pemerintah adalah teguran dan nasihat yang ikhlas, bukan perasaan hasad dengki atau berbentuk meruntuhkan segala apa yang ada di hadapannya tanpa mengira buruk baiknya atau untung ruginya.

Oleh kerana pemerintah tidak selalunya benar dan tidak mencapai darjat maksum, maka mereka yang ingin menasihatinya atau memperbetulkan kesilapannya perlulah mengikut mekanisme yang dibenarkan oleh syariat. Ini sesuai dengan panduan Rasulullah sebagaimana sabda baginda bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT meredai untuk kamu tiga perkara, antaranya kamu menasihati mereka yang diangkat untuk menjaga urusan kamu." (riwayat Ahmad).

Apa yang nampak daripada perhimpunan itu adalah manifestasi kepada sikap amarah dan dendam kesumat kepada kerajaan apabila pakatan pembangkang yang mereka taksub itu gagal membentuk kerajaan yang mereka idam-idamkan selama ini.

Marah dan dendam adalah sikap yang sangat disukai oleh syaitan. Secara tidak langsung dan mungkin tidak disedari, menjadikan syaitan sebagai pemimpin mereka.

Hakikatnya ini bukan perkara baru dalam ajaran Islam. Allah sendiri telah memberi gambaran yang jelas kepada golongan ini melalui firmannya yang berbunyi: "Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain daripada Allah, maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang nyata. Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan apa yang dijanjikan oleh syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata". (al Nisa': 119:120).

Sesungguhnya Allah meredai kalangan hamba-Nya yang dapat menasihati pemimpin supaya bersikap jujur dan perlu bermuamalah dengan menjelaskan mana-mana kesalahannya melalui cara yang dibenarkan oleh syariat. Berhubung perkara ini, Rasulullah pernah mengingatkan umat baginda mengenai tiga perkara penting yang hati orang mukmin tidak sanggup untuk berlaku curang apabila melakukannya.

Pertama, ikhlas beramal kepada Allah, kedua, dalam menasihati pemerintah, dan ketiga, dalam kesetiaan terhadap jemaah.

Tiga hal ini sepatutnya menjadi panduan bagi mukmin agar tidak mengkhianatinya, iaitu dalam melakukan ibadat dan semua urusan terutamanya semata-mata hanya kerana Allah. Perkara ini penting untuk dipraktikkan ketika ingin menasihati pemerintah dan hendaklah diasaskan di atas rasa kasih sayang, ikhlas dan demi memperoleh keredaan-Nya semata-mata, bukan kerana sebarang kepentingan yang lain.

Di atas keikhlasan itulah menyebabkan mukmin seharusnya tidak sanggup keluar daripada ikatan taat setia kepada pemerintah, malah sentiasa mendekati bersama kumpulan jemaah pemerintah (ulil amri) tersebut.

Rasulullah pernah ditanya, apakah harus kita memerangi mereka (pemerintah) yang melakukan perkara yang tidak disenangi oleh rakyat dengan pedang atau menggunakan sebarang kekerasan. Nabi menjawab menerusi sabda baginda yang bermaksud: "Tidak, selama dia menegakkan (menunaikan) solat dengan kamu. Ketahuilah, orang yang dikuasai oleh seorang penguasa, dan melihatnya mengerjakan maksiat kepada Allah, hendaknya ia membenci maksiat kepada Allah yang dilakukannya itu dan tetap tidak melepaskan ketaatan kepadanya". (riwayat Muslim).

Pemerintah hari ini adalah pemerintahan yang Islamik. Justeru, berdasarkan hadis di atas, tidak munasabah agenda menentang dan seterusnya menggulingkan kerajaan mendapat simpati dan sokongan daripada mana-mana pihak di atas kempen kononnya untuk memperjuangkan nasib rakyat yang sedang dihimpit oleh kenaikan barang.

Meskipun apa yang diperintah atau dilaksanakan oleh umarak tidak menyenangkan hati kita, kita tidak sepatutnya menentang atau tidak mahu menerimanya selagi apa yang diperintah dan dilaksanakan itu tidak bertentangan dengan al-Quran dan Sunah.

Oleh hal yang demikian, adalah menjadi hak kita untuk mentaati umarak (pemerintah). Meskipun terdapat kecacatan atau kesalahan yang dilakukan oleh mereka, namun kita tidak harus menghukumnya dengan cara penderhakaan yang ditegah oleh syariat Islam.

Adalah penting bagi kita untuk memahami cara bermuamalah dengan umarak bagi meluruskan sesuatu perkara atau keadaan yang telah bengkok akibat perbuatan atau tindakannya. Mempraktikkan sikap khuruj bukanlah jalan penyelesaian yang bijak dan adil.

Tidak ada satu kebaikan pun yang diperoleh hasil daripada tindakan kekerasan. Apa sahaja yang muncul hasil daripada tindakan kekerasan akan mengembangkan sikap egoisme yang akhirnya menghancurkan diri manusia itu sendiri. Sebaliknya sikap lembut dan antikekerasan akan menjernihkan hati nurani siapa sahaja.

Salah satu ujian yang besar adalah memperjuangkan kehendak tanpa kekerasan, tetapi hendaklah dengan rasa simpati dan hati yang tenang serta dengan mengemukakan bantahan yang logik.

Malah, apabila terdapat perbezaan pendapat yang boleh mencetuskan pergaduhan, hati harus tetap dingin dan tenang. Bukankah al-Quran secara tegas mengajar agar umat Islam berdakwah dengan hikmah, memberi peringatan dengan baik, berdialog dan bertukar fikiran dengan baik?


No comments:

Post a Comment

kakaktua800.blogspot.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...