Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Wan Ahmad Farid hari ini menarik diri daripada mendengar saman Datuk Seri Najib Razak ke atas Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua. – Foto Sinar Harian
Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memberikan alasan demi kepentingan keadilan dan perundangan membuat keputusan berkenaan dan akan memaklumkannya kepada Ketua Hakim Malaya.
Wan Ahmad Farid pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri dalam negeri semasa era Tun Abdullah Ahmad Badawi, serta menjadi senator sebelum meletakkan semua jawatan politik dalam Umno untuk menjadi anggota kehakiman.
Beliau juga pernah menjadi calon BN untuk pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 2009 ekoran kekosongan kerusi itu apabila penyandangnya, Datuk Razali Ismail, meninggal dunia.
Alasan penarikan diri Wan Ahmad Farid hari ini dinyatakannya secara bertulis melalui satu kenyataan.
Advertisement
Wan Ahmad Farid menjelaskan, beliau tidak pernah menganggotai pasukan pentadbiran diketuai Najib yang menjadi plaintif dalam tuntutan saman berkenaan.
“Selepas mengangkat sumpah jawatan, satu-satunya tugas suci yang mesti saya buat ialah mempertahankan dan melindungi Perlembagaan Persekutuan tanpa takut atau pilih kasih,” katanya.
Wan Ahmad Farid dijadual mendengar permohonan injunksi inter parte oleh kedua-dua pihak selepas seorang lagi hakim, Abu Bakar Jais,membenarkan permohonan ex parte Najib pada bulan lalu.
Bagaimanapun Abu Bakar dipindahkan ke mahkamah lain selepas membuat keputusan berkenaan.
Tiada mana-mana pihak memohon supaya Wan Ahmad Farid menarik diri daripada mendengar permohonan Najib dan Pua hari ini lapor Malaysiakini.