Tuesday, 23 June 2015

Puas hati dengan jawapan Najib? Kenapa isu Rosmah tidak dijawab?


Puas hati dengan jawapan Najib? Kenapa isu Rosmah tidak dijawab?

SUARAKAMI 16:40 BLOGGER


Selepas berbulan-bulan berdepan kritikan berterusan mengenai pelbagai kepincangan dalam pentadbirannya daripada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, barangkali kerana semalam adalah hari minggu yang agak lapang baginya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akhirnya meluangkan masa menjawab 13 dakwaan yang kerap dibangkitkan terhadapnya.

Antara yang dijawabnya ialah mengenai pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pembelian jet, kemungkinan BN kalah dalam pilihan raya akan datang, prestasinya lebih buruk berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi, BR1M dan jambatan bengkok.

Persoalan dan jawapan itu dimuat naik dalam blog NajibRazak.com miliknya.
Mengenai Altantuya, Najib nampaknya mengulangi fakta lama dengan mengatakan proses mahkamah untuk kes itu sudah pun berakhir, manakala beliau pula sudah disahkan tidak terbabit sama-sekali, selain bersumpah laknat menafikan mengenali wanita Mongolia terbabit.

Perdana menteri seakan-akan menempelak Dr Mahathir dengan bertanya, mengapa persoalan ini hanya diperkatakan sekarang dan bukannya lapan tahun lalu?
Dalam hal ini, pertanyaan bekas perdana menteri kepada Najib hanyalah mengenai siapa yang mengarahkan pembunuhan itu.
Tentang 1MDB juga, Najib sekali lagi meminta semua pihak menunggu hasil siasatan audit yang sedang dijalankan ketika ini. Misteri hutang setinggi RM42 bilion dan ke mana hilangnya RM27 dalam syarikat pelaburan itu yang merupakan antara asas kritikan Dr Mahathir, langsung tidak disentuhnya.

Begitu juga mengenai peranan dan penglibatan Jho Low dalam beberapa pelaburan 1MDB di luar negara, turut tidak dijawab oleh Najib. Berdoalah kita siang malam mudah-mudahan laporan audit nanti menemui nama Jho Low dalam siasatannya.

Berkaitan pembelian jet baru ketika hutang negara terus meningkat dan rakyat baru dibebankan dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST), Najib mengatakan ia sebagai keperluan untuk kecekapan kerja, termasuk mengadakan mesyuarat di atas pesawat serta ia juga merupakan amalan standard pemimpin lain di dunia.

Katanya, dengan adanya pesawat itu, mesyuarat dan perbincangan boleh diadakan di atas kapal dan urusan negara boleh berjalan terus walaupun semasa penerbangan.

Hakikat bahawa negara sudah memiliki sekurang-kurangnya 6 jet dan kos diperkatakan ramai lebih mahal iaitu hampir RM500 juta untuk pembelian jet baru ini juga dipandang sepi oleh Najib dalam jawapannya.

Cumanya, harapan rakyat Malaysia selepas ini ialah agar Najib tidak lagi pulang dengan pengangkutan awam apabila ada tugas kecemasan dalam negara dan meninggalkan jetnya bergentayangan di luar negara digunakan oleh orang lain.
Mengenai kemungkinan BN akan kalah pula, Najib mempertahankan keyakinannya BN akan terus kekal sebagai pemegang kuasa selagi semua pihak memberikan sokongan penuh kepadanya dan tidak berbalah sesama sendiri.

"Kalau kita tumpukan kepada politik yang membina, bukannya yang menghancurkan, kita akan berjaya," katanya yang jelas dilihat sebagai menyindir Dr Mahathir.

Dalam masa yang sama, Najib juga berhujah bahawa prestasi Umno di bawah kepimpinannya dalam memenangi pilihanraya adalah lebih baik berbanding ketika pemerintahan Abdullah.
Hujahnya ialah berdasarkan jumlah kerusi kemenangan Umno pada PRU13 lebih tinggi berbanding PRU12 serta kejayaan merampas Kedah, mengekalkan kuasa di Terengganu dan mengukuhkan kedudukan di Perak.

Malangnya Najib langsung tidak menyentuh jumlah kerusi kemenangan BN yang merosot tujuh kerusi daripada 140 kepada 133 di bawah kepimpinannya dan undi popular BN hanya sekitar 47% saja yang mampu diraihnya.

Lebih dari itu, Najib juga mengetepikan fakta bahawa beliau adalah satu-satunya perdana menteri yang pertama kali memimpin pilihanraya tetapi gagal mendapat majoriti 2 pertiga dan undi popular yang selesa yang tentunya menggambarkan beliau tidak popular di kalangan rakyat pelbagai peringkat.

Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Dr Mahathir dan Abdullah, ketika pertama kali mengadakan pilihanraya umum sebaik mengambil alih teraju parti dan negara, semuanya berjaya mendakap kemenangan 2 pertiga dalam pelukan masing-masing. Hanya Najib gagal memeluknya.

Najib juga tidak menyentuh kewujudan pelbagai masalah dalam negara yang berpunca daripada kelemahan kepimpinannya sekarang yang menjadikan sokongan rakyat makin merudum dari semasa ke semasa. Keputusan di Rompin dan Permatang Pauh tidak menyedarkan apa-apa kepada Najib.

Yang barangkali tidak disedari Najib ialah apakah di sebalik pelbagai isu yang melanda dirinya, petunjuk makin ketara sokongan kian terhakis, sokongan boleh terus diberikan atau melanjutkan sokongan bermakna menambahkan lagi kerosakan yang ada?

Satu perkara yang Najib tidak sentuh langsung ialah mengenai karenah dan masalah yang ditimbulkan oleh isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor sedangkan ia bukan saja menjadi percakapan paling popular di kalangan rakyat, bahkan Dr Mahathir juga baru-baru ini mendakwanya berlagak seolah-olah perdana menteri.

Kenapa ia tidak disentuh atau tidak berani disentuh hanya Najib yang mengetahui sebab-sebabnya.

Secara keseluruhannya, termasuk isu lain yang disentuhnya, jawapan Najib ini hanya memperlihatkan beliau ada jawapan tetapi hakikatnya tidak menjawab segala persoalan, baik yang ditanyakan oleh Dr Mahahir, mahupun yang bermain-main di fikiran rakyat.

Adakah majoriti rakyat berpuas hati dengan jawapan Najib itu? Melonjakkan sokongan rakyat kerananya? –

shahbudindotcom

No comments:

Post a Comment