Tuesday, 9 June 2015

Pertemuan empat mata Dr M-Najib sudah terlambat...Rakyat Tolak Najib


Pertemuan empat mata Dr M-Najib sudah terlambat...Rakyat Tolak Najib

SUARAKAMI 20:20 BLOGGER


Jika kenyataan ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hanya pertemuan empat mata antara Datuk Seri Najib Razak dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang boleh menyelesaikan kemelut antara kedua pemimpin tersebut dan saranan ini mahu dipandang serius serta menggambarkan pendirian majoriti anggota kabinet, ia sebenarnya lebih memperlihatkan kegagalan semua menteri yang ada sekarang.

Di ketika mereka tidak berani menyahut kata dua Najib sama ada bersamanya atau berundur, tetapi dalam masa yang sama menunjukkan seolah-olah berdiri teguh di belakang perdana menteri, mereka juga mengakui tentang ketidakmampuan serta kelumpuhan upaya untuk berhadapan dengan bekas perdana menteri yang sudah berusia hampir 90 tahun itu.

Akhirnya mereka menyerahkan kepada Najib seorang diri untuk menyelesaikan perkara itu melalui pertemuan empat mata kerana menurut menteri Belia dan Sukan itu, tiada pihak ketiga yang dapat membantunya.

Apakah peranan menteri dan pemimpin Umno selama ini??

Patutlah selama berbulan-bulan ini kalangan menteri lebih banyak berdiam diri dan membiarkan saja Dr Mahathir "membelasah" serta "mengganyang" Najib sehingga pahlawan Bugis itu sudah hilang seri wajah dan kelihatan cengkung tubuh badannya.

Sokongan dan taat setia menteri seolah-olah hanyalah agar jawatan mereka dalam kerajaan dikekalkan dan bukannya untuk melindungi dan mempertahankan perdana menteri.
Dalam pada itu, saranan KJ agar diadakan pertemuan empat mata juga sebenarnya sudah terlambat untuk menjernihkan hubungan antara Najib dengan Dr Mahathir. Ia bukanlah cadangan yang baik dan bernas pada ketika ini.

Setelah berbulan-bulan, sama ada melalui percakapan dengan media, mengadakan program jelajah atau menulis di blognya, bekas perdana menteri itu hanya mahukan penjelasan berkaitan isu-isu yang dibangkitkannya, khususnya kehilangan wang 1MDB dan pembunuhan Altantuya.

Disebabkan kerana pertanyaannya tidak dijawab dan rakyat serta ahli Umno secara majoritinya juga sudah berpihak kepadanya, Dr Mahathir kini hanya mempunyai satu matlamat saja lagi - memastikan Najib berundur sebelum PRU 14 agar Umno dan Barisan Nasional dapat terus kekal berkuasa. Noktah.

Dr Mahathir juga sudah pun menyatakan tiada lagi pertemuan tertutup antaranya dengan Najib. Perkara ini sudah dinyatakan Dr Mahathir sejak beberapa bulan lalu dan kini beliau hanya sedia berdebat atau berforum secara terbuka saja dengan Najib.

Takkanlah menteri muda kelulusan Oxford ini lupa tentang hakikat tersebut?

Lagi pula Dr Mahathir bukanlah pemimpin yang boleh dipujuk dan dibelai selepas diadakan pertemuan empat mata itu. Sama ada diadakan pertemuan empat mata atau tidak, jawapannya tetap sama iaitu Najib mesti berundur untuk menyelamatkan masa depan Umno dan BN.

Dengan Dr Mahathir sudah sanggup turun ke forum Nothing To Hide bersama rakyat bawahan untuk berdepan sendiri dengan Najib, ia adalah gambaran, tiada lagi kompromi dalam usahanya untuk menekan dan mengasak pengunduran perdana menteri daripada jawatannya.

Sebagai individu yang pernah menjadi punca kejatuhan seorang perdana menteri sebelum ini, KJ seharusnya tidak lupa, ketika Dr Mahathir mengkritik dan menyerang kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi dulu, pertemuan empat mata juga pernah diadakan antara kedua-duanya tetapi pengakhirannya tetap bapa mertuanya itu perlu mengundurkan diri.

Dikenali sebagai pemimpin yang tegas dan tidak pernah berganjak waima dengan pemimpin dunia sekali pun, kiranya Dr Mahathir sudah mahukan seseorang itu berundur, maka tiada apa-apa lagi yang mampu mengubah pendiriannya.

Pertemuan empat mata dengan Najib bukan saja sudah terlambat, tetapi sebenarnya sudah lama dipadam daripada kamus perkiraan Dr Mahathir.

Kiranya ingin juga memberi saranan atau kebaikan untuk masa depan Umno, lebih baik KJ menasihatkan Najib agar cepat-cepat mengikut jejak langkah seperti bapa mertuanya dulu.

No comments:

Post a Comment