Monday, 18 May 2015
Timbalan menteri KDN mengaku polis jumpa pembunuh Altantuya
Timbalan menteri KDN mengaku polis jumpa pembunuh Altantuya
SUARAKAMI 09:15 NEWS
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini mengesahkan pihak polis ada berjumpa dengan Sirul Azhar Umar, salah seorang pembunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu bagi mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan
"arahan" yang diterima bekas anggota unit tindakan khas (UTK) itu.
Wan Junaidi membuat kenyataan itu selepas jawapan lisan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng yang enggan mengesahkan pertemuan polis dengan Sirul.
"Ia mengikut seperti apa yang diperjelaskan kepada saya. Saya mengetahui dan saya sendiri membaca jawapan itu (lisan Parlimen).
"Tapi, di sebalik itu, memang kita ada berjumpa dengan Sirul, kerana apa yang rakyat dan masyarakat sebut. Jadi kita kena jumpa sendiri, apakah benar atau tidak tuduhan Sirul," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Katanya, pertemuan dengan Sirul harus dilakukan supaya pihak berkuasa dapat membuat pengesahan sendiri mengenai kebenaran dakwaan terbaru pembunuh Altantuya itu.
"Selain dari itu, kita tidak boleh buat penjelasan, kerana ia masih lagi dalam tangan polis untuk siasatan," katanya enggan mengulas lanjut.
Ditanya mengenai percanggahan kenyataannya itu dengan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang menyatakan pihak berkuasa tidak akan membuka semula siasatan kes pembunuhan Altantuya, Wan Junaidi berkata, jawapan yang diberikan ketua polis negara itu juga betul.
"Jawapan kita mengenai NFA (tiada tindakan lanjut) itu memang betul. Hanya peguam negara sahaja boleh buat keputusan, bukan mana-mana pihak lain, kerana ia berhubung dengan undang-undang. Tapi polis juga berhak (siasat).
"Meskipun ada benda baru berbangkit, kita tidak boleh tangguh hal yang diputuskan mahkamah. Kalau tidak, kita dikatakan hina mahkamah nanti. Saya tidak mahu hina mahkamah. Satu hari pun saya tak nak masuk penjara," katanya.
Terdahulu, DAP membidas kenyataan bercanggah antara Zahid dan Khalid berhubung siasatan terhadap Sirul.
Lim berkata, melalui jawapan lisan di Dewan Rakyat, Zahid menolak menjawab pertanyaan beliau yang bertanya adakah pihak polis menghantar pegawainya bertemu Sirul di Australia.
"Maklumat yang dipohon Yang Berhormat Segambut tidak dapat dikemukakan buat masa ini kerana ia masih lagi dalam siasatan pihak berkuasa.
"Saya khuatir ia akan mengganggu proses siasatan dan kerahsiaan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan," kata Zahid melalui jawapan lisannya.
Selepas mahkamah memutuskan Sirul dan bekas rakannya Azilah Hadri bersalah membunuh Altantuya, Sirul mendakwa beliau hanya bertindak mengikut arahan.
Khalid dalam kenyataan sebelum ini menegaskan, polis tidak akan membuka siasatan baru berhubung dakwaan Sirul itu kerana kes itu sudah dimuktamadkan.
No comments:
Post a Comment