Monday 2 March 2015

PENILAIAN HUKUM ULAMA POLITIK.

Justifikasi hukum ulama politik - Ilmu agama sudah tidak digunakan secara objektif

MUKADIMAH
PENGERUSI Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr. Ismail Ibrahim adalah seorang sarjana Islam yang lemah lembut.
Beliau telah terlibat dalam pembangunan Islam di Malaysia secara serius selepas balik dari Mesir pada tahun 1967.
Orang yang mengenalinya tahu bahawa Dr. Ismail tidak biasa dengan cakap-cakap kasar seperti yang biasa ditemui dalam arena politik.
Bagaimanapun, sejak bulan Mac lalu, beliau mula diberi perhatian agresif oleh pihak-pihak tertentu terutama para pemimpin Pas.
Semuanya bermula selepas Majlis Raja-Raja memperakukan satu fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Majlis itu ialah sebuah badan ulama penggubal hukum peringkat nasional yang dianggotai oleh mufti-mufti dari seluruh negara.
Dalam temu bual dengan ROSNI HASSAN di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini, Dr. Ismail menerangkan tentang fungsi Majlis Fatwa Kebangsaan dan merungkai kritikan-kritikan kontroversi terhadapnya.
Berusia 64 tahun, Dr. Ismail berkelulusan pengajian agama Kolej Islam Malaya, ijazah sarjana dalam bahasa Arab dari Universiti al-Azhar, Mesir dan mendapat Ph.D dari Universiti St. Andrew, Scotland.
Beliau yang kini Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) adalah bekas guru agama, dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), seorang ahli akademik kanan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Presiden Pertama Majlis Ulama Malaysia.
Pada 26 Mac lalu, Dr. Ismail menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1422 iaitu anugerah yang diwujudkan oleh kerajaan untuk mengiktiraf sumbangan tokoh-tokoh Islam di Malaysia.
Antara mereka yang pernah menerima anugerah itu ialah Allahyarham Profesor Dr. Ahmad Ibrahim, Tan Sri Ainuddin Wahid, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Profesor Diraja Ungku Aziz.
Mingguan: majlis Fatwa ditubuhkan di negara-negara Islam untuk menyelesaikan pertikaian tentang hukum yang timbul di kalangan masyarakat tetapi di Malaysia, Majlis Fatwa dianggap sebagai musuh oleh sesetengah orang, kenapa perkara ini berlaku?
DR. ISMAIL: Pada saya, Majlis Fatwa di mana-mana sekalipun mempunyai fungsi yang sama iaitu mengeluarkan fatwa mengenai hukum-hukum umpamanya dalam isu-isu baru melibatkan pengklonan, kejuruteraan genetik, pendermaan organ dan bayi tabung uji yang banyak timbul sekarang.
Banyak hukum yang perlu diketengahkan selaras dengan perkembangan sains dan teknologi.
Yang menjadi isu di Malaysia ialah mungkin kerana Majlis Fatwa sudah dilihat oleh pihak tertentu sebagai satu badan yang akan membuat fatwa melibatkan isu-isu politik. Sebab itu mereka pandang Majlis Fatwa ini bertujuan menekan pihak tertentu dengan fatwa yang dianggap akan menekan agenda politik mereka.
Bagi saya ini adalah satu tuduhan yang tidak adil kerana Majlis Fatwa ditubuhkan oleh Raja-Raja Melayu sebagai badan bebas yang dianggotai oleh mufti dan beberapa orang ahli yang dilantik yang terdiri daripada ahli-ahli akademik dan alim ulama yang dikira dapat memberi sumbangan dalam proses membuat fatwa.
Pihak kerajaan sebenarnya hanya membuat dasar membentuk Majlis Fatwa melalui Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam dengan persetujuan Raja-Raja Melayu. Dalam semua persidangan Majlis Fatwa tidak ada orang politik dan pegawai kerajaan yang menghadirinya selain Ketua Pengarah Jakim selaku setiausaha dan beberapa orang anggota sekretariat.
Ini bermakna keputusan dibuat berdasarkan perbincangan di antara mufti. Yang dipersetujui itulah yang dikeluarkan sebagai keputusan Majlis Fatwa.
Oleh itu tidak patut timbul isu yang mengatakan bahawa Majlis Fatwa diperalatkan oleh mana-mana pihak atau dipergunakan untuk tujuan tertentu terutamanya dalam isu politik. Majlis Fatwa tidak terlibat dengan keputusan politik.
Ada pihak mendakwa Majlis Fatwa sudah masuk ke dalam bidang politik apabila membincangkan dan memperakukan kepada Raja-Raja Melayu satu fatwa yang menyentuh orang politik dan parti politik?
DR. ISMAIL: Dalam keputusan fatwa terbaru yang membenarkan penggunaan nama Islam dalam mana-mana pertubuhan, ia adalah keputusan yang diambil berdasarkan kepada satu isu yang ditimbulkan oleh Majlis Raja-raja iaitu mencari sebab perpecahan orang Melayu. Wujud masalah dalam nama Islam kerana banyak persatuan yang menggunakan nama Islam.
Isu ini dirujuk kepada Majlis Fatwa. Majlis Fatwa berpendirian bahawa penggunaan nama Islam dibolehkan malah digalakkan dalam apa juga pertubuhan tetapi perlu ada beberapa syarat tertentu seperti penggunanya mestilah menggunakannya berdasarkan ilmu pengetahuan yang cukup, berdasarkan konsep ihsan dan sebagainya.
Dalam fatwa itu, apa yang menjadi kesalahan ialah penyalahgunaan nama Islam. Sesiapa yang menyalahgunakan nama Islam adalah salah tidak kira sama ada mereka ahli politik atau tidak.
Keputusan fatwa ini bersifat umum untuk semua orang Islam tanpa mengira latar belakang politik atau organisasi yang mereka wakili.
Sebab itu kita kata penggunaan nama Islam tidak salah melainkan mereka yang menyalahgunakan nama Islam hingga membawa perpecahan.
Ini termasuklah orang yang mengatakan dia sahaja yang betul kerana dia menggunakan nama Islam. Orang lain yang tidak menggunakan nama Islam dituduh salah.
Itulah yang dibincangkan oleh Majlis Fatwa pada tahun 1984 dan 1986 dahulu bila ada orang Islam mengatakan golongan lain sebagai bukan Islam dan kafir.
Bagaimana boleh dikaitkan fatwa terbaru Majlis Fatwa pada Mac lalu dengan fatwa mengkafir pada tahun 1984 dan 1986?
DR. ISMAIL: Pada tahun 1984 dan 1986, daripada tinjauan saya mengenai minit mesyuarat Majlis Fatwa ketika itu, saya dapati isunya sama iaitu seorang Islam mengkafirkan orang Islam lain semata-mata kerana mereka tidak menyertai parti yang dikatakan memperjuangkan Islam.
Sebab itu dalam keputusan Majlis Fatwa terbaru pada Mac lalu dikatakan tidak ada syarat lain untuk menentukan seorang itu Islam atau tidak selain daripada syarat dia beriman kepada Allah dan akidahnya tertumpu kepada ajaran Islam.
Tujuan fatwa itu baik iaitu untuk menyelesaikan masalah dalam masyarakat Islam tetapi tafsiran orang tertentu khususnya para pemimpin Pas adalah negatif. Mengapa ini berlaku?
DR. ISMAIL: Jika dilihat daripada fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa, isinya tidak menyentuh mana-mana pihak. Sesiapa sahaja boleh terlibat jika mereka melakukan perbuatan yang bercanggah dengan fatwa.
Ini ada kaitan dengan pentafsiran orang awam. Ada orang mungkin merasakan fatwa itu memihak kepada pihak tertentu.
Malah orang daripada Pas mengatakan ini kemenangan kepada mereka. Kepada orang UMNO pula, mereka mungkin merasakan ini kekalahan kepada mereka. Kita semua tahu ada ahli-ahli UMNO yang berjuang supaya nama Islam digugurkan daripada nama parti Pas.
Ia bergantung kepada bagaimana orang melihat sesuatu fatwa sama ada mereka hendak melihat dari sudut negatif atau positif. Masalahnya ialah di negara kita terlalu banyak orang yang melihat sesuatu secara negatif.
Saya meminta mereka berlaku adil kepada fatwa itu dan Majlis Fatwa. Hentikanlah membuat tuduhan mengatakan Majlis Fatwa diperalatkan oleh mana-mana pihak.
Yang paling terasa dengan fatwa Majlis Fatwa ialah menteri Besar Terengganu, Abdul Hadi Awang. Hampir 20 tahun lalu beliau mengeluarkan amanat yang kemudiannya digunakan untuk mengkafirkan orang lain. Bila Majlis Fatwa membincangkan isu mengkafir, di manakah kedudukan Amanat Hadi?
DR. ISMAIL: Daripada maklumat yang saya tahu, pada tahun 1984 dan 1986 isu mengkafir dibincangkan dan salah satu perkara yang disentuh ialah mengenai amanat tersebut.
Yang menimbulkan masalah ialah setelah fatwa dikeluarkan pada tahun 1984 dan 1986, fatwa itu mungkin tidak diumumkan secara meluas kepada orang awam dan ia tidak diwartakan di negeri-negeri. Sebab itulah isu Amanat Hadi ini terus berpanjangan sehingga sekarang.
Apakah yang menyeleweng dalam Amanat Hadi?
DR. ISMAIL: Yang ditimbulkan dalam amanat itu menyentuh soal akidah. Pada kita, sebagaimana fatwa yang kita buat baru-baru ini, adalah tidak wajar orang Islam menyentuh akidah orang lain semata-mata kerana isu politik.
Masalah besar akan timbul apabila politik dicampuradukkan dengan akidah. Teks fatwa yang kita keluarkan pada tahun 1984 dan 1986 berupa nasihat dan panduan kepada orang Islam supaya jangan terus melakukan perbuatan ini.
Cuma pada masa itu tidak ada implikasi undang-undang sebagaimana fatwa yang dikeluarkan baru-baru ini.
Fatwa yang menyentuh isu Amanat Hadi itu dikeluarkan ke atas orang yang mendapat pendidikan Islam di negara Arab. Mereka dianggap sebagai ulama dan ini menyebabkan orang ramai sukar untuk menerima hakikat bahawa pandangan mereka dalam amanat itu salah?
DR. ISMAIL: Tidak kira siapa yang bercakap dan mengeluarkan pandangan, dia kena bercakap apa yang benar.
Bagaimanapun, dalam keadaan sekarang disebabkan terlalu banyak politiking ramai ulama dan cendekiawan Islam tidak dapat berkata benar terutama apabila mereka dilihat sebagai orang berkecuali atau tidak menyertai satu kumpulan ulama tertentu.
Di Malaysia sekarang, kadang-kadang orang yang bercakap benar akan dihentam. Contohnya bagaimana isu Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dipolitikkan. Apabila ada orang mengeluarkan kenyataan yang benar tentang penubuhan UIA, kenyataannya dipolitikkan dan dikecam begitu hebat kononnya dia menyelewengkan fakta.
Kalau banyak orang suka mengecam macam ini, tidak ramai yang mahu tampil ke hadapan menyatakan kebenaran kerana takut dikecam atau diperkecilkan.
Gambaran yang orang ramai peroleh ialah lulusan agama terutamanya ulama dalam Pas tidak mungkin buat perkara salah, adakah ini benar?
DR. ISMAIL: Tidak benar. Tidak kira di mana mereka belajar agama, mereka belajar ilmu yang sama.
Contohnya lulusan Universiti al-Azhar. Apabila mereka balik ke tanah air, mereka mengikut parti yang berbeza tetapi apabila bercakap tentang disiplin ilmu mereka akan bercakap perkara yang sama.
Dilema timbul apabila mereka masuk parti politik. Lulusan agama ini menggunakan platform politik untuk bercakap soal agama. Maka ketika itu ilmu yang dipelajari sudah tidak digunakan secara objektif.
Memang timbul masalah apabila ulama terlibat dengan politik. Ketika itu dia tidak dapat memisahkan dirinya daripada politik dan hukum.
Orang ramai melihat apabila ulama bercakap, mereka mesti berdasarkan ilmu. Malangnya seperti yang kita selalu lihat, kadang-kadang ulama yang terlibat dalam politik ini, mereka bercakap sesuatu yang bercanggah dengan ilmu dan hukum.
Di Malaysia sekarang, ada pemimpin mendakwa mereka lebih Islam daripada pemimpin Islam lain. Kenapa keegoan ini berkembang?
DR. ISMAIL: Ini bukan berlaku di negara kita sahaja. Ia juga terjadi di negara-negara Islam lain. Apabila ada politiking dalam masyarakat Islam akan timbullah perkara ini. Malah sering berlaku kerana seorang ahli politik itu juga menganggap dirinya ulama, dia boleh menjustifikasikan apa sahaja perbuatannya dengan hukum agama.
Selaku Pengerusi Majlis Fatwa dan orang yang terlibat lama dalam perkembangan Islam, bagaimana Datuk melihat Islam di Malaysia pada hari ini. Adakah ia tidak Islamik sebagaimana digambarkan oleh sesetengah pihak?
DR. ISMAIL: Saya lihat Islam di Malaysia membangun secara holistik. Kita tidak membezakan pembangunan fardu ain, ibadah, itu asas Islam. Senario di Malaysia ialah oleh kerana undang-undang menjamin Islam sebagai agama negara maka kita dengan sendirinya dilindungi oleh perlembagaan.
Di negara ini, kita boleh belanja duit kerajaan untuk pendidikan Islam, media Islam dan sebagainya. Tidak ada orang boleh mencabar usaha kita membangunkan Islam.
Kita adalah negara yang telah mengambil Islam sebagai asas dalam pembangunan dan itulah yang dilaksanakan selama ini.
Bagaimana boleh timbul kenyataan bahawa kerajaan tidak mahu kepada Islam?
DR. ISMAIL: Saya tidak bimbang sangat tentang tuduhan ini. Adakah mereka dapat berikan fakta dan asas yang kuat?
Bagaimana kita boleh kata kerajaan tidak mahukan Islam jika kerajaan berusaha menegakkan agama dalam semua bidang? Kerajaan menerapkan nilai-nilai dan ajaran Islam, bukan sahaja dari segi ibadah tetapi dalam bidang lain. Umpamanya membasmi kemiskinan dan memberi pendidikan supaya orang Islam maju dalam bidang ilmu. Itu adalah sebahagian daripada ajaran Islam.
Memprojekkan imej Islam yang positif dan meningkatkan maruah orang Islam merupakan tuntutan agama. Itulah yang kita lakukan di Malaysia. Kita tidak mengatakan kita mengambil Islam dari sudut pandangan yang sempit. Apabila kita melihat pembangunan umat Islam secara holistik, kita membangunkan Islam dalam bentuk yang komprehensif.
Apabila Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa yang berkait dengan Amanat Hadi, Pas memberi respons mereka. Datuk mencadangkan diadakan muzakarah tetapi ia tidak menjadi. Apa yang mengecewakan Datuk dalam isu ini?
DR. ISMAIL: Pada permulaannya saya ingat Pas juga ada menyatakan syukur dan terima kasih kerana Majlis Fatwa tidak menggugurkan perkataan Islam. Yang mengecewakan saya ialah apabila timbul isu muzakarah, banyak perkara berunsurkan politik kepartian muncul dan dibangkitkan isu-isu yang tidak relevan dengan muzakarah yang hendak diadakan.
Saya menyahut seruan mengadakan muzakarah kerana pihak Pas sendiri mengatakan mereka ingin membincangkan isu ini secara ilmiah. Atas platform ilmiah itulah saya bersedia bermuzakarah atas nama peribadi, Pengerusi Majlis Fatwa atau Ketua Pengarah IKIM. Saya sanggup berbincang kerana tujuannya ialah untuk mencari kebenaran. Apabila ada kebenaran, mungkin kita dapat mencari formula untuk menyatukan umat Islam yang berpecah belah.
Itulah asasnya tetapi kemudian timbul pelbagai cakap dalam surat, e-mel, panggilan telefon dan kemuncaknya pihak tertinggi Pas timbulkan pula isu-isu lain, misalnya memperkecilkan kelulusan saya dan beberapa perkara lain. Apa yang dilakukan itu menambahkan lagi gelora dalam masyarakat seolah-olah muzakarah tidak perlu diteruskan.
Saya ini bukan ahli politik dan saya tidak mahu terlibat dalam politiking seperti itu.
Datuk menjadi mangsa perbuatan sesetengah pihak yang meremehkan keislaman orang lain, apa perasaan Datuk?
DR. ISMAIL: Saya rasa mereka bukan meremehkan orang lain. Hadi sendiri pun tidak ada isyarat yang dia merendah-rendahkan saya. Itu yang saya tahu, saya tidak tahu apa pula di belakang.
Yang saya nampak berlaku ialah isu muzakarah yang dikatakan pada mulanya hendak dilaksanakan secara ilmiah telah diputarbelitkan oleh pihak tertentu yang hendak merendah-rendahkan saya dan menjadikan muzakarah itu isu politik. Saya tidak berminat untuk mencampuri politik kepartian ini.
Orang yang mengkritik amanat Hadi dianggap jahil agama, apakah ini benar?
DR. ISMAIL: Kita tidak ada polemik sihat secara ilmiah untuk membincangkan isu-isu yang menyentuh masyarakat. Tidak ramai ulama yang mahu membincangkan sesuatu isu secara ilmiah kerana walau seilmiah mana pun ia dibincangkan, oleh kerana isu itu dibangkitkan oleh ahli politik maka ia akan dipolitikkan.
Dalam isu agama, kita kena nyatakan kebenaran dari sudut agama bukan dari sudut politik. Keadaan yang wujud sekarang ini ialah isu agama seolah-olah dimonopoli golongan tertentu yang bermain politik. Jadi orang yang tidak bermain politik tidak mahu masuk campur walaupun isu itu sebenarnya isu agama.
Kalau Hadi menarik balik amanatnya apakah ini akan menyelesaikan masalah?
DR. ISMAIL: Kalau dia tidak tarik balik pun, jika amanat itu dibincangkan secara ilmiah sebagaimana yang dicadangkan dan semua orang memahami hukum, orang akan balik ke pangkal jalan. Maka tidak timbul lagi isu mengkafir.
Soal tarik balik atau kekal dengan pandangannya merupakan soal kedua. Isu utama ialah memahami isu yang sebenar iaitu perbuatan mengata orang lain tidak Islam.
Sebagai Pengerusi Majlis Fatwa, Datuk tidak boleh benarkan Majlis Fatwa terjebak dalam satu isu sahaja?
DR. ISMAIL: Saya fikir sejak saya mempengerusikan Majlis Fatwa, hanya fatwa yang akhir ini yang terlibat dalam isu mengkafir. Yang lain melibatkan isu hukum umum. Majlis Fatwa terlibat membincangkan isu yang dikatakan kontroversi itu kerana permintaan Majlis Raja-Raja yang bimbang tentang perpecahan orang Melayu.
Adakah fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa mendapat sokongan penuh mufti-mufti?
DR. ISMAIL: Dalam perbincangan biasanya kita mengambil konsep syura dan semua mufti bersetuju dengan keputusan yang dibuat walaupun ada perbezaan pandangan semasa perbincangan. Teks yang kita persetujui dibaca dan diperakukan oleh semua mufti.
Mengenai muzakarah, Amanat Hadi dan perbuatan mengkafir, apa harapan Datuk?
DR. ISMAIL: Saya berharap kita akan balik ke pangkal jalan. Soal mengkafir ini sebenarnya kalau pun Majlis Fatwa tidak keluarkan fatwa, kita memang tahu ia tidak boleh diucapkan.
Selalu orang baca hadis bahawa sesiapa yang mengkafirkan orang lain, orang itu tidak kafir, maka hukum itu balik kepada dia. Ini sudah menjadi pengetahuan umum di kalangan umat Islam. Ia sudah jelas dan tidak perlu dipertikaikan lagi.
Majlis Fatwa cuma hendak memandu balik umat Islam kepada pangkal jalan selepas timbulnya kekeliruan.
Ucapan ahli politik dan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan
AMANAT HADI
``Percayalah, kita menentang UMNO bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional (BN) bukan kerana nama dia BN. Kita menentang dia kerana dia menegakkan perlembagaan penjajah, mengekalkan peraturan kafir.
``Oleh kerana itulah kita berjuang melawan mereka. Percayalah saudara-saudara, perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad dan kerana itulah kita berjuang dengan puak-puak ini. Kalau kita mati kerana berlawan ini, mati kita adalah mati syahid, mati kita adalah mati Islam.
``Kita tidak payah masuk Yahudi, kita tidak payah masuk Kristian, kita tidak payah masuk Hindu, kita tidak payah masuk Buddha tetapi kita akan menjadi kafir dengan mengatakan politik suku (asing) agama suku.'' - Ucapan Abdul Hadi Awang pada tahun 1982.
PENDIRIAN MAJLIS FATWA KEBANGSAAN MENGENAI PERPECAHAN ISLAM
Mengenai masalah perpecahan orang Melayu/Islam, mesyuarat Majlis Raja-Raja bersetuju menerima fatwa yang diputuskan Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam seperti berikut:
Tiada halangan untuk menggunakan perkataan Islam oleh mana-mana pertubuhan, malahan digalakkan tetapi hendaklah berdisiplin ilmu, iman dan ihsan. Walau bagaimanapun, mana-mana orang atau pertubuhan yang menggunakan Islam untuk tujuan mengelirukan masyarakat atau penyelewengan adalah salah dan bercanggah dengan prinsip-prinsip dan syariat Islam dan boleh diambil tindakan menurut peruntukan undang-undang yang sedia ada;
Seseorang itu sudah diiktiraf sebagai orang Islam jika menepati rukun iman dan rukun Islam. Dari itu adalah salah dan tidak berhak bagi mana-mana pihak menambah apa-apa syarat lain bagi menentukan keislaman seseorang. Fahaman bahawa perlu ada tambahan syarat-syarat lain, selain daripada menepati rukun iman dan rukun Islam, seperti pengakuan atau sokongan kepada pihak tertentu sebelum seseorang itu ditentukan keislamannya adalah salah di sisi Islam. Oleh itu, sesiapa yang mengamal, mengajar, menyeru atau menyebar dengan apa-apa cara jua pun akan fahaman tersebut adalah melakukan perbuatan yang termasuk dalam perbuatan menyebarkan ajaran salah atau menyeleweng; dan
Ketentuan syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah s.w.t. Dari itu, dakwaan bahawa pengakuan dan sokongan kepada orang atau pertubuhan tertentu diperlukan sebelum seseorang orang Islam layak ke syurga atau ke neraka adalah salah menurut ajaran Islam.
Oleh itu, sesiapa yang mengamal, mengajar, menyeru atau menyebar dengan apa-apa cara jua pun akan fahaman tersebut maka perbuatan sedemikian termasuk dalam perbuatan menyebarkan ajaran salah. - Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang diperakukan oleh Majlis Raja-Raja pada 22 Mac 2001.

No comments:

Post a Comment