ROH
Bila sahaja menyebut perkataan ini (ataupun hanya melihat dan membacanya), terasa bulu roma akan meremang seketika. Cuba kita tanya diri kita sendiri, sejauh manakah kita benar-benar memahami ROH kita? Pernah saya menyoal beberapa pelajar saya di universiti tentang apa itu ROH, mereka langsung tidak pernah terdedah kepada ilmu ROH – ilmu yang saya akui tidak dapat dipelajari di mana-mana institusi pengajian tinggi sekalipun. Adapun yang terdedah adalah mereka yang terpengaruh dengan pendedahan mengenai “spirits” di kaca TV, oleh para bukan Islam.
Saya mula tersedar akan betapa pentingnya menyebarkan sedikit sebanyak ilmu yang saya sedang pelajari secara personal ini (ilmu ROHANI) dan lahirlah blog yang amat sederhana dan tidak seberapa ini bagi tujuan berkongsi apa yang telah saya ketahui. InsyaAllah.
Tangga pertama untuk mengetahui dan meyakini kehidupan di Akhirat ialah pengetahuan tentang roh dan tubuh manusia. Kita sudah lama mengetahui bahawa kita terdiri daripada 2 unsur, roh dan jasad. Tetapi pengetahuan manusia tentang roh amat sederhana sekali, sehingga kebanyakan mereka tidak memikirkan dan tidak mementingkan masalah roh atau jiwa mereka sendiri. Yang mereka ketahui dan pelajari sedalam-dalamnya hanya mengenai tubuh atau jasad, sebab itu maka kebanyakan manusia dalam hidup mereka hanya mementingkan masalah jasmani; makan, minum, pakaian, serta kesenangan hidup sahaja.
Ilmu pengetahuan manusia tentang masalah jasmani dan duniawi selalu meningkat dan semakin sempurna. Sejauh manakah pengetahuan manusia tentang masalah rohani? Semakin berkurang.
Inilah yang menyebabkan semakin menjunamnya akhlak serta peradaban manusia kini. Soal material terlalu di utamakan, soal jiwa dan roh terlalu diketepikan.
Jika keadaan begini dibiarkan, akhirnya kita akan sampai kepada titik atau taraf di mana manusia amat tinggi ilmu pengetahuannya, tetapi lenyap budi pekerti serta akhlaknya. Di saat inilah, manusia akan menjadi binatang-binatang (tidakkah anda perasan bahawa ini sudahpun terjadi dikalangan kita?) liar yang moden, iaitu yang tidak bermoral, besar nafsunya dan tidak ada malunya lagi, berbuat sesuka hati. Alangkah jeleknya dan kejamnya kita.
TUBUH DAN ROH.
Kita terdiri dari tubuh dan roh.
Tidak perlulah saya menulis tentang tubuh….kita semua amat mahir tentang keperluan tubuh kita.
Walaubagaimanapun, perlu diketahui, tubuh kita yang terdiri dari berjuta-juta sel yang tumbuh dan berkembang, adalah kerana pengaruh ROH menurut ketentuan-ketentuan yang ditetapkan oleh Al-Khalik (Maha Pencipta). Jika bukan kerana ROH, maka tubuh kita akan seperti barang yanag tidak BERNYAWA, seperti batu dan tanah.
ROH adalah satu unsur Ilahi, iaitu suatu yang hanya Dia sahaja yang mengetahui akan rahsianya. Unsur inilah yang menyebabkan daging, tulang, bulu, darah, dll, tumbuh dan berkembang, bergerak, membiak dan berketurunan. Unsur inilah yang membolehkan kita melihat, mendengar, berfikir, merasa, berkesedaran, dll.
Unsur ini juga yang menyebabkan kita mempunyai rasa kasih sayang, cinta, benci , marah, anti, gembira senang, bahagia, dll. Unsur ini juga menjadikan makhluk yang pemalu, bermoral, bersosial, bersusila atau menjadi makhluk yang tidak bermalu, immoral, tidak bersusila, dll.
ROH, JIWA, HATI, KALBU, NAFSU…..
ROH atau rohani kita mempunyai banyak nama menurut fungsinya. Dinamai ROH atau jiwa, atau nyawa dalam fungsi MENGHIDUPKAN, menubumbuhkan, membiakkan. Dinamai AKAL dalam fungsinya MEMIKIR dan MENYELIDIKI, mencari sebab dan akibat (teringat saya kepada rakan-rakan yang sedang membuat research / PhD!), mengingat dan berkhayal.
Dinamakan HATI atau KALBU dalam fungsinya MERASA, perasaan seperti panas, dingin, berat, ringan, sakit, lapar, dahaga, sayang, kasihan, malu, dll. Dinamakan NAFSU dalam fungsinya BERKEINGINAN, berkehendak, berkemahuan.
Oleh yang demikian, ROHANI adalah satu kesatuan dengan pelbagai nama menurut fungsinya – ROH, AKAL, HATI, NAFSU.
Bila ROH keluar dari tubuh, tubuh akan mati, hancur, menjadi tanah kembali. Ia pulang ke tempat asalnya.
ROH HIDUP TERUS MENERUS….
ROH kita akan kekal hidup kerana ia menghidupkan. Ia tidak kenal MATI.
ROH hidup kekal abadi, tidak akan musnah.
Walaupun tubuh / jasad telah hancur, ROH kita akan kekal hidup, tetap SEDAR, MELIHAT, MENDENGAR, MERASA. Bahkan, dengan kesedaran, pengertian, penglihatan, pendengaran, perasaan yang LEBIH SEMPURNA.
Dengan kata lain, ROH tetap hidup tanpa jasad, seperti hidupnya para Malaikat dan Jin, dan lain-lain makhluk halus yang sudah lama kita ketahui wujud dikalangan kita. Ia hidup dalam keadaan lebih sedar, lebih mengerti, lebih melihat, mendengar.
Sabda Rasullullah saw;
“Manusia hidup seperti orang yang TIDUR, bila sudah mati menjadi orang yang sudah SEDAR dari tidur”.
Setelah mati, ROH kita akan keluar dari sangkarnya (tubuh), barulah roh mengerti sesedar-sedarnya , insaf, bahawa disebalik dunia yang fana ini ada alam lain yang lebih LUAS dan ABADI.
Sebab itulah, sesudah mati, benar-benar ada kesusahan, kesengsaraan, kegembiraan dan kebahagiaan. Yang susah dan sengsara adalah roh manusia yang leka. Sedang bergembira dan bahagia adalah roh manusia yang baik dan tidak leka dengan dunia yang sementara ini.
Kemanakah ROH kita akan tujui selepas ia terlepas dari tubuh kita? Ikuti post saya yang akan datang. InsyaAllah.
Wallahu alam.
No comments:
Post a Comment