Saturday, 7 February 2015

PERBEZAAN KALBU, RUH , AKAL DAN NAFSU

KeKeempat-empatnya tetap berbeza dari segi perkataan, bentuk dan sebutan. Namun pada hakikatnya, ia satu pada tujuan dan maksud. Ia disebabkan kalbu mempunyai 2 maksud dan pengertian;

i) Ia adalah kalbu kasar, yang terdiri daripada seketul daging sebesar gumpal tangan yang terletak di sebelah kiri dada manusia. Keadaannya berongga (ada yang dipanggil hati, tetapi sebenarnya jantung!) menjadi tempat mengisi dan mengepam darah yang akan menjalar ke seluruh anggota dan urat-nadi manusia. Ia dapat dilihat, dijamah atau dikerat-belah dengan pisau. Namun ia akan busuk berulat, busuk dan akan hancur selepas mati.

Hati ini sama pada semua jenis haiwan yang tidak berakal dan tiada nilai sedikit pun di sisi Allah swt.

ii) Kalbu pada maknanya yang kedua ialah hati batin atau hati seni yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar; tidak dapat dijamah oleh tangan dan tidak dapat dikerat-potong dengan apa alat jua pun. Namun ia dapat dirasai oleh pengakuan batin sendiri tentang wujudnya, iaitu satu kejadian yang latifah-rabbaniah (hati seni kejadian Tuhan yang ruhani).



Kedudukan otak

Hati ini bekerja rapat dengan kerja-kerja hati kasar tadi; yang tidak dapat dijelaskan oleh mana-mana otak doktor dari jenis manusia. Ia datang dari kejadian alam ghaib, sedangkan hati kasar pula daripada alam benda. Ia dapat diumpamakan hati batin itu seperti raja pemerintah dan hati kasar itu rumah naungan tempatnya bertakhta; sementara kaki-tangan dan anggota lain bagaikan rakyat jelata.

Rakyat-jelata ini akan patuh pada perintah raja. Perlu diingat yang hati ini tidak akan busuk, relai dari nyawa yang mana ia yang akan ditemui di alam akhirat nanti. Dialah yang akan merasai bahagia atau celaka ketika di dunia taupun di akhirat.

Maka dengan hati latifah-rabbaniah inilah hati kasar (jantung) itu dapat hidup dan berdenyut. Ia mempunyai sifat ta'akul dan juga sifat ma'ani sejak ia dijadikan dari alam arwah - sebelum bercantum dengan alam kasar. Para ahli falsafah dan tasauf bersependapat bahawa hati jenis ghaib ini bukan dari jenis benda, jirim atau ardh. Sedangkan ia atau zatnya dapat berdiri sendiri dan terkaya di antara tubuh badan kasar.

Hati inlah yang membentuk hakikat kejadian manusia yang bertanggungjawab kepada Tuhan dunia-akhirat.

Fungsi Otak Manusia: Ganti Peranan Kalbu, Roh dan Akal

Ruh pun mempunyai 2 pengertian juga;

i) Ruh tabii adalah wap atau gas yang keluar dari dalam hati kasar (jantung) yang berisi darah hitam. Wap dan gas ini berjalan lancar ke seluruh bahagian urat-nadi dalam anggota tubuh badan manusia. Bandingannya samalah dengan cahaya lampu dalam sebuah rumah - yang dapat menyampaikan sinaran cahayanya ke serata ceruk. Ruh seperti inilah yang dinamakan nyawa yang sama dengan nyawa yang ada pada haiwan yang tidak berakal itu.

ii) Ruh pada hakikat yang sebenar adalah kejadian dari alam keanehan Tuhan yang dibahasakan kepada latifah-rabbaniah, iaitu serupa dengan maksud (ii) pengertian kalbu tadi. Oleh itu ruh dan kalbu adalah sama pada hakikat dalam erti yang satu, iaitu kejadian Tuhan yang seni. Malah ia berbadan halus dan seni.

Maksud ruh yang ini langsung tidak dapat dimengertikan oleh otak manusia tentang dari jenis apakah ia dijadikan? "Dan mereka lagi akan bertanya kepada engkau wahai Muhammad, berkenaan dengan ruh hendaklah engkau menjawab kepada mereka bahawa ruh itu adalah daripada urusan Tuhanku."

Nafsu pun mempunyai 2 pengertian juga;

i) Ia meliputi segala tabiat; marah, nafsu berahi dan syahwat termasuk sifat-sifat keji yang lain seperti hasad-dengki, dendam kesumat, tamak haloba, ria, 'ujub dsb. Sifat ini sama sahaja dengan yang terdapat pada kejadian binatang dan manusia. Sifat ini tidak ada pada malaikat sebagaimana sabda Baginda saw;

"Sejahat-jahat musuh engkau ialah nafsu engkau yang terletak di antara dua lambung engkau."

ii) Ia sama dengan huraian berkait dengan latifah-rabbaniah pada ruh dan kalbu tadi. Oleh itu kalimah nafsu, kalbu dan ruh bolehlah dipakai kepada satu hakikat latifah yang sama pada kejadian manusia. Ia amat berbeza dengan makhluk lain seperti binatang.

Namun pada ghalibnya, nafsu ini disabitkan dengan nafsu jahat; yang apabila dibasuh, dicuci dan digosok dengan sabun pencuci berupa zikir kepada Allah dan diberus pula dengan berus tembaga mujahadah dan ikhlas kepada Allah dengan dipandu oleh seorang guru yang ahli, maka sedikit demi sedikit terkikislah sifat-sifat karut kejahatan nafsu itu tadi. Kemudian ia pun menunggu ketibaan warid atau nur daripada Allah swt dan kemudian berpeluang mengecap dzauk.

Dzauk atau syuhud yang kita namakan sebagai hakikat dan makrifat, pada waktu itu nafsu-nafsu jahat tadi akan bertukar mendapat gelaran baru, iaitu nafsu mutma-innah; nafsu yang tenang dan teguh daripada godaan syaitan. Dan dengan itu ia bererti telah masuk ke dalam darjah permulaan wali kecil wilayah sughra.

Namun sebelum sampai ke maqam nafsu mutma-innah, maka nafsu tadi tidak dapat tidak mesti menempuh jalan 3 peringkat;

a) Peringkat amma-rah, iaitu nafsu yang seentiasa suka dan pecah liur kepada kejahatan. Nafsu ini adalah sejahat-jahat dan sehina nafsu daripada peringkat yang lain.
b) Peringkat lawwa-mah, iaitu nafsu yang kerap mengkritik diri sendiri apabila dia terjatuh ke lembah angkara dosa, dengan cepat-cepat menyesal, bertaubat dan memohon ampun daripada Allah swt.

c) Peringkat mulhamah, iaitu nafsu yang telah bersih daripada segala kekotoran hati peringkat pertama dan kedua tadi. Oleh itu ia sudah biasa mendapat ilham yang berguna dan luar biasa.

Akal pun mempunyai 2 pengertian juga;

i) Akal dengan tabiatnya dapat memikir dan mengetahui segala hakikat sesuatu.

ii) Akal yang alim dengan ilmunya. Ilmunya adalah sebagai sifat bagi akal tersebut. Pengertian ini sama dengan pengertian latifah-rabbaniah disebabkan tidak mungkin apa yang dimaksudkan dengan akal itu berlainan daripada pengertian bagi kalbu dan ruh.

"Seawal-awal benda yang dijadikan Allah Taala ialah akal, kemudian berkata Allah kepada akal; "Berhadap olehmu. Maka berhadap ia, kemudian berkata Allah kepadanya; Pergi olehmu, maka jauhlah ia."

Hati yang segumpal itu....

Adalah jelas bahawa hakikat kalbu, ruh, nafsu dan akal itu hanya berlainan dari segi sebutan, tetapi hakikatnya tetap satu iaitu latifah-rabbaniah yang dibahasakan kepada ruhani. Apa yang berbeza cuma bentuk dan sebutan; apabila ia kekal dalam zulmah syahwat nafsu dan maksiat, maka pada ketika itu ia dinamakan nafsu. Apabila ia terasa gerun dan takut hendak melakukan maksiat dengan sebab terfikir ia adalah perbuatan yang dibenci Allah dan masyarakat, maka pada waktu itu ia dinamakan akal.

Apabila ia tenang berada di bawah cahaya taat, tetapi perasaannya sentiasa berbolak-balik dalam hal perkara tadbir kehidupan dunia, maka pada ketika itu ia dinamakan kalbu. Dan apabila ia tenang dan tetap jelira dengan Allah serta dibukakan mata ruhnya basirah dan disyuhudkan nur aslinya maka pada ketika itu ia dinamakan ruh.

Di sana pula terdapat 'sirr', iaitu apabila nafsu sudah bersih daripada tarikan jahat hingga terjadi ia sebagai rahsia atau 'sirr' semata-mata. Namun ini semua tidak lari daripada satu hakikat jua, iaitu hakikat latifah-rabbaniah, namanya. Ia merupakan satu daripada rahsia yang datang dari alam ghaib Allah swt. Firman Allah swt;

"Katakanlah wahai Muhammad, ruh itu satu daripada urusan rahsia alam Tuhan yang ghaib."

No comments:

Post a Comment