Friday, 27 February 2015

GIBAH ATAU MENGUMPAT.

Ghibah (Mengumpat) – Adakah Dibenarkan?

Bilakah Masanya Ghibah (Mengumpat) Dibenarkan?

Persoalan Gihibah Secara Umum

أَتَدْرُوْنَ مَا الْغِيْبَةُ ؟ قَالُوْا الله ورسولُهُ أَعْلَمُ . قَالَ : ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ قِيْلَ : أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِيْ أَخِيْ مَا أَقُوْلُ ، قَالَ : إِنْ كَانَ فِيْهِ مَا تَقُوْلُ فَقَدْ اغْتَبْتَهُ وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيْهِ فَقَدْ بَهَتَّهُ

“Tahukah kamu apa itu ghibah? Mereka menjawab Allah dan Rasul-Nya lebih tahu. Bagaimana pendapat kamu jika apa yang aku katakan ada pada orang itu? Baginda menjawab: Engkau telah menghibah dia tetapi bila tidak ada padanya maka engkau telah berdusta kepadanya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Erti ghibah atau umpat (mengumpat) ialah: Kata-kata yang bermaksud untuk menodai nama orang (merugikan orang). Kata-kata mengeji (mengejek). (Lihat: KAMUS DEWAN, Edisi Ketiga, Dewan Bahasa dan Pustaka) Atau memperkatakan tentang keburukan orang lain di belakangnya yang tidak disukai oleh orang tersebut. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah menjelaskan erti ghibah dengan sabdanya:

أَنْ تَذْكُرَ الرَّجُلُ بِمَا فِيْهِ مِنْ خَلْفِهِ

“Ghibah adalah engkau menyebut-nyebut seseorang tentang apa yang ada padanya dari belakangnya (tanpa diketahuinya)”. (Lihat: Sahihul Jami’ No. 4062. Al-Albani)

أَلْغِيْبَةٌ ذِكْرُكَ أَخَاكَ بَمَا يَكْرَهُ

“Ghibah ialah engkau menyebut-nyebut saudaramu dengan sesuatu yang dia tidak disukainya”. (Lihat: Sahihul Jami’ No. 4062. Al-Albani)

Setiap mukmin wajib mengetahui hakikat ghibah agar tidak diperangkap oleh iblis (talbisu-iblis-تلبيس ابليس) melalui ghibah yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Ghibah yang haram atau yang batil wajib ditinggalkan. Namun para ulama Salaf as-Soleh tidak mengharamkan secara mutlak semua jenis ghibah, sama ada ghibah yang melalui perkataan, kritikan, tulisan, ucapan, perbuatan dan sebagainya.

Secara umumnya, ghibah adalah dilarang sebagaimana dalil berikut,

“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan pra-sangka (kecurigaan), kerana sebahagian dari pra-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seseorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (al-Hujurat 49: 12)

“Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela…” (al-Humazah 104: 1)

Dalam suatu riwayat dikemukakan bahawa Utsman dan Ibnu Umar berkata: "Masih segar terdengar di telinga kami bahwa ayat ini (104: 1, 2) turun berkenaan dengan Ubay bin Khalaf, seorang tokoh Quraisy yang kaya raya, yang selalu mengejek dan menghina Rasul dengan kekayaannya." (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi hatim yang bersumber dari Utsman dan Ibnu Umar)

Dalam riwayat lain dikemukakan bahwa ayat ini (104: 1, 2, 3) turun berkenaan dengan al-Akhnas bin Syariq yang selalu mengejek dan mengumpat orang. Ayat ini turun berkenaan sebagai teguran terhadap perbuatan seperti itu. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi hatim yang bersumber dari as-Suddi)

Dalam riwayat lain dikemukakan bahwa ayat ini (104:1-3) turun berkenaan dengan Jamil bin Amir al-Jumbi seorang tokoh musyrik yang selalu mengejek dan menghina orang. (Diriwayatkan oleh Ibnu jarir yang bersumber dari seorang suku Riqqah)

Dalam riwayat lain dikemukakan bahawa Ummayah bin Khalaf selalu mencela dan menghina Rasulullah apabila berjumpa dengannya. Maka Allah menurunkan ayat ini (104: sampai akhir surat) sebagai ancaman siksa yang sangat dahsyat terhadap orang-orang yang mempunyai anggapan dan berbuat seperti itu. (Diriwayatkan oleh Ibnul Mundzir yang bersumber dari Ibnu Ishaq)

Ghibah (Mengumpat) Yang Dibenarkan

Para ulama Salaf as-Soleh telah menghalalkan ghibah dalam beberapa hal:

Pertama: Dibolehkan menghibah, mengkritik keburukan, kesesatan, kekufuran, penyimpangan dan kenifakan para penyesat. Iaitu dengan niat untuk memberikan peringatan dan nasihat kepada umat Islam agar berwaspada terhadap mereka. Malah menurut kesepakatan ulama, dibolehkan menghibah dan menyebut bid’ah dan keburukan mereka supaya menjadi peringatan kepada orang-orang yang beriman agar menjauhi mereka dan bid’ah-bid’ahnya. Amalan inilah yang dipilih oleh Imam Ahmad rahimahullah sebagaimana yang dapat difahami dari jawapan beliau ketika ditanya:

قَالَ مُحَمَّدُ بْنُ بَنْدَار الْجرْجَانِي للا مَامِ اَحْمَد : اِنَّهُ لَيَشْتَدُّ عَلَيَّ اَنْ اَقُوْلَ : فُلاَنٌ كَذَا وَفُلاَنٌ كَذَا ، فَقَالَ اَحْمَدُ : اِذَا سَكَتَّ اَنْتَ وَسَكَتُّ اَنَا , فَمَتَى يَعْرِفُ الْجَاهِلُ الصَّحِيْحَ مِنَ السَّقِيْمِ ؟

“Telah bertanya Muhammad bin Bandar al-Jurjani kepada Imam Ahmad: Sesungguhnya amat berat bagiku untuk mengatakan: Si Fulan itu begini dan Si Fulan itu begini. Maka berkata Imam Ahmad: Jika engkau mendiamkan diri dan aku mendiamkan diri, maka bilakah Si Jahil akan mengetahui yang benar dan yang keji (yang berpenyakit di hatinya)?” (Lihat: مجموع الفتاوى 28/231. Ibnu Taimiyah. Lihat: شرح علل الترمزي , 1/350)

Imam Ahmad dengan ketegasannya menghibah (menceritakan keburukan) seseorang ahli bid’ah jika sudah jelas bid’ahnya. Beliau ditanya berkenaan Husin al-Karabisi (ahli bid’ah), beliau menjawab:

هُوَ مُبْتَدِعٌ

“Dia Ahli Bid’ah”. (Lihat: تاريخ بغداد 8/65-66)

Di jalur riwayat yang lain, Imam Ahmad berkata:

اِيَّاك ، اِيَّاكَ وَحُسَيْنُ الْكَرَابِيْسِي ، لاَ تُكلّمهُ ، وَلاَ تكلم مَنْ يُكَلِّمَهُ

“Hati-hati, hati-hatilah terhadap Husin al-Karabisi, janganlah engkau bercakap dengannya, janganlah engkau bercakap dengan orang yang berbual dengannya!”. (Lihat: تاريخ بغداد 8/65-66)

Menurut Imam Ahmad rahimahullah: Apabila seseorang itu telah ternyata sebagai ahli bid’ah, maka beliau berpendirian wajib mendedahkan (menghibah) ahli bid’ah tersebut dan bid’ah yang dilakukannya. Ketika beliau ditanya:

قِيْلَ للاِمَامِ اَحْمَد : اَلرَّجُلُ يَصُوْمُ وَيُصَلِّي وَيَعْتَكِفُ اَحَبَّ اِلَيْكَ اَوْ يَتَكَّلَمُ فِى اَهْلِ الْبِدَعِ ؟ فَقَالَ : اِذَا صَامَ وَصَلَّى وَاعْتَكَفَ فَاِنَّمَا هُوَلِنَفْسِهِ وَاِذَا نَكَلَّمَ فِىاَهْلِ الْبِدَعِ فَاِنَّمَاللمُسْلِمِ هَذَا اَفْضَلُ

“Ditanyakan kepada Imam Ahmad: Manakah yang paling engkau cintai, seorang yang solat, puasa dan i’tikaf ataukah orang yang memperkatakan (menghibah) ahli bid’ah? Maka beliau berkata: Apabila seseorang itu bersolat, puasa dan i’tikaf, itu hanya untuk dirinya sendiri. Apabila membincangkan (menghibah) keburukan ahli bid’ah, maka itu untuk kaum Muslimin. Inilah yang lebih utama”. (Lihat: مجموع الفتاوى 28/231. Ibn Taimiyah)

Abu Zur’ah rahimahullah juga menjelaskan tentang al-Harith al-Mahasibi dan kitab-kitabnya, beliau berkata:

اِيَّاكَ وَهَذَهِ الْكُتُبُ ، هَذِهِ كُتُبٌ بِدْعٌ وَضَلاَلَةٌ ، فَعَلَيْك بِالأَثَرِ.
“Hendaklah kamu berhati-hati terhadap buku-buku ini. Ini buku-buku (kitab-kitab) bid’ah dan sesat. Maka wajib bagi kamu berpegang kepada atsar (pegangan para sahabat)”. (Lihat: الاجوبة المفيدة عن اسئلة المناهج الجديدة hlm. 13. Soleh bin Fauzan)

Walaupun mereka yang dighibah mempunyai beberapa kebaikan, namun pendirian dan sikap para ulama Salaf as-Soleh dengan niat untuk membanteras kemungkaran, kejahatan dan kesesatan, maka melalui kaedah Jarh wa-Ta’dil dibolehkan menghibah mereka demi untuk menghalang dari tersebarnya kemungkaran. Sebagai contoh, para ulama Salaf as-Soleh telah menghibah golongan Jahmiyah, Mu’tazilah, Khawarij dan semua firqah yang sesat dan penyesat.

Begitu juga dibolehkan menghibah keburukan para perawi hadis demi untuk menyelamatkan kesahihan hadis, maka mereka tidak dilarang menghibah para perawi dengan menyebut kesalahan-kesalahannya, seperti dikatakan Si Fulan mungkar, tidak dipercayai, lemah, pelupa, kazzab (pembohong) dan sebagainya. Imam asy-Syaukani berkata:

“Dan yang menjadi hujah atas hal ini adalah dalil-dalil yang jelas seperti hadis mengenai nasihat kepada Allah, kitab-Nya, Rasulnya dan para pemimpin Islam khususnya dan umat Islam umumnya kerana menjelaskan pembohongan para pendusta adalah merupakan nasihat yang paling besar kepada Allah dan Rasul-Nya”. (Lihat: Raf’u ar-Raibah. Hlm. 27. Tahqiq Muhammad Ibrahim asy-Syaibani. Maktabah Ibnu Taimiyah)

Ibnu Taimiyah juga banyak membantah, mengkritik dan menghibah Ahli Kalam, Jahmiyah, Mu’tazilah, Sufiyah dan Asy’ariyah. Ibnu Taimiyah menghibah al-Akhnai’i الأخنائي)), al-Bakari dan selain mereka.

Dalam persoalan yang sama, Sheikh Dr. Rabi’ al-Madkhali pernah membantah kenyataan Salman al-Audah sebagaimana berikut, yang mana Salman al-Audah pernah berkata mengenai keadilan muwazanah, menurut beliau:

“Ketika kamu mengkritik sesebuah tulisan, maka tidak adil jika hanya mengatakan: Kitab ini termuat hadis-hadis palsu atau lemah dan pendapat-pendapat yang janggal. Kamu menyebut sudut keburukannya sedangkan melupakan sudut kebaikannya dari kitab tersebut. Misalnya jika kitab tersebut mengandungi berbagai-bagai kebaikan dan kajian ilmiyah maka jika hanya mendedahkan separuh dari kitab itu bererti telah melalaikan setengah yang lain, ini adalah tindakan yang curang. Ramai yang hanya memandang pada sudut kesalahan sahaja pada sebuah kitab yang ditahzir تحذير (diberi peringatan) disebabkan kitab itu mengandungi hadis lemah, atau disebabkan kesalahan pada suatu masalah. Seandainya kita perhatikan secara teliti kitab yang ditulis oleh para ulama dengan muwazanah ini, nescaya kita tidak akan temui suatu kitab pun yang sunyi dari kesalahan”. (Lihat: منهج اهل السنة والجماعة فى نقد الرجال والكتب والطوائف Dr. Rabi’ bin Hadi)

Syeikh Rabi’ bin Hadi Umair al-Madkhali hafizahullah apabila mengulas pendapat Salman al-Audah, beliau berkata:

“Adil lawannya zalim, apabila pada sesebuah kitab terdapat pelbagai bid’ah dan khurafat di dalamnya, kemudian ada orang Islam menasihati agar kaum muslimin berwaspada terhadap kitab tersebut maka ini bukanlah suatu kezaliman sedikitpun. Demikian juga apabila seorang memiliki aib atau bid’ah, lalu disebut hal tersebut, ini bukan bererti zalim atau mengumpat (ghibah). Tetapi ini adalah bentuk nasihat (yang dituntut. Pent.) dan merupakan suatu tanggungjawab menurut kalangan para ulama Islam. Yang dinamakan kezaliman adalah apabila meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya, sedangkan menyebut aib dan bid’ah yang terdapat dalam sesebuah kitab atau aib yang terdapat pada seseorang dengan tujuan nasihat bagi kaum muslimin, maka itu adalah merupakan hal yang dituntut secara syariat. Tujuannya adalah untuk mewujudkan kemaslahatan serta menghindari pelbagai kerosakan”. (Lihat: منهاج اهل السنة والجماعة فى نقد الرجال والكتب والطوائف , Syeikh Rabi’ bin Hadi)

Dengan penjelasan di atas, bahawa menghibah penyelewengan dan hakikat kesesatan bid’ah yang ditulis oleh para penulis dan aktiviti bid’ah, semua itu adalah tindakan yang wajar menurut kesepakatan kaum muslimin agar umat berwaspada dan menjauhi kegiatan bid’ah, khurafat dan syirik. Malah dibolehkan menghibah dengan menyusun banyak kitab untuk melawan dan mengkritik ahli bid’ah (penyebar bid’ah), memberi peringatan kepada ahli Sunnah agar berhati-hati terhadap ahli bid’ah demi membela sunnah. Imam Yahya bin Yahya an-Naisaburi berkata: Membela sunnah lebih baik daripada jihad. (Keseluruhan wasiat ini dinukil dari: Manhaj Ahli Sunnah Dalam Mengkritik Tokoh, Kitab Dan Aliran. Oleh Sheikh Dr. Rabi’ bin Hadi Umair al-Madkhali)

Menurut Syeikh Soleh bin Fauzan bin Abdullah al-Fauzan:

اذا كان الْمنتَقَد من اهل السنة والجماعة ، واخطاؤه فى الامور التي لا تخِلّ بالعقيدة ، فنعم ، هذا تُذكر ميزاته وحسناته ، وتُغمر زلاته فى نصرته للسنة
“Apabila yang dikritik itu Ahli Sunnah wal-Jamaah dan kesalahannya dalam perkara yang tidak berkaitan dalam masalah akidah. Ya! Sewajarnya disebut keistimewaan dan kebaikannya dan ditutup ketergelincirannya kerana pembelaannya terhadap sunnah”. (Lihat:الاجوبة المفيدة عن اسئلة المناهج الجديدة hlm. 29. Syeikh Dr. Soleh bin Fauzan al-Fauzan, Darus Salaf)

Beliau berkata lagi:

وَاَمَّا اذا كان المردود عليه من اهل السنة والجماعة فان الردَّ يكون بادب ، وينبَّه على اغلاطه التى تكون فى مسائل الفقه ومسائل الاستنباط والاجتهاد فنقول : فلان اخطا فى كذا والصواب كذا بالدليل غفر الله له ، وهكذا اجتهاده ، وهكذا كما كانت الردود بين الفقهاء من المذاهب الاربعة وغيرهم ، وهكذا لا بقدح فى مكانته العلمية اذا كان من اهل السنة والجماعة. واهل السنة والجماعة ليسوا معصومين ، عندهم اخاء وقد يفوت احدهم الدليل او اختلال الاستنباط ، فلا نسكت على الخطأ وانما نبينه مع الاعتذار عنه. لِقَوْلِ النبي صَلَّى اللهُ عليه وسلم :

“Sedangkan apabila yang dikritik itu adalah Ahli Sunnah wal-Jamaah, dalam mengkritik harus menggunakan adab-sopan. Kemudian menjelaskan kesalahannya dalam masalah-masalah fiqh, istimbat dan ijtihad. Beginilah bantah-membantah di kalangan fuqaha antara imam yang empat dan selain mereka. Ini dalam masalah-masalah fiqh. Dan ini tidak tercela secara ilmiyah. Ahli Sunnah wal-Jamaah tidak maksum. Mereka mempunyai kekeliruan-kekeliruan, kadang-kadang mereka belum mendaptkan dalil atau salah istimbat. Maka kita jelaskan kesalahannya dan tidak diam atas hal ini. Kemudian kita memberi uzur kepadanya kerana Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

اِذَا اجْتَهَدَ الْحَاكِمُ فَاَصَابَ فَلَهُ اَجْرَانِ ، وَاِنْ اجْتَهَدَ فَاَخْطَاَ فَلَهُ اَجْرٌ وَاحِدٌ.

“Apabila seorang hakim (mujtahid) telah berijtihad dan benar maka baginya dua pahala. Apabila dia berijtihad dan salah maka baginya satu pahala”. (Hadis Riwayat Bukhari. 6919. Dan Muslim. 1718)

اما اذا كان فى مسائل العقيدة فانه لا يجوز لنا ان نمدح المضللين والمخلفين لأهل السنة والجماعة من : معتزلة ، وجهمية ، وزنادقة وملاحدة ، واناس مشبوهين فى هذا العصر وما اكثرهم

“Adapun dalam masalah-masalah akidah, tidak dibenarkan bagi kita memuji-muji penyesat dan penyimpang dari Ahli Sunnah wal-Jamaah, seperti Mu’tazilah, Jahmiyah, Zanadiqah dan Mulahadah. Dan dewasa ini terlalu ramai manusia yang tergelincir (lantaran masalah yang timbulkankan oleh para penyesat. Pent.)”.

اَمَّا اذا كان المنتَقَد من اهل الضلال ، ومن اهل الانحراف ومن اهل المبادئ الهدَّامة او المشبوهة ، فهذا لايجوز لنا ان نذكر حسناته ان كان له حسنات

“Oleh kerana itu jika yang dikritik para penyesat, penyeleweng dan pencipta prinsip-prinsip yang menghancurkan dan syubhat, maka tidak boleh bagi kita menyebutkan kebaikan-kebaikannya walaupun dia mempunyai banyak kebaikan”.

Selanjutnya beliau menjelaskan:

لأننا اذا ذكرناها فان هذا يغرر بالناس ، فيحسنون الظن بهذا الضال ، او المبتدع ، او هذا الخرافى ، او الحزبي ، فيقبلون افكار هذا الضال ، او هذا المبتدع ، او ذاك المتحزب

“Jika sekiaranya kita menyebutkan kebaikan-kebaikannya, ini bererti kita menipu manusia, sehingga mereka bersangka baik (فيحسنون الظن) kepada penyesat ini atau ahli bid’ah atau ahli khurafat atau orang-orang yang suka hizbi. Mereka (orang awam. Pent.) akan menerima buah fikiran penyesat, ahli bid’ah atau (orang-orang) hizbi tersebut”.

Kedua: Dibolehkan menghibah semasa membuat aduan atau meminta bantuan kepada pihak yang berkuasa seperti menceritakan sifat seseorang semasa membuat aduan atau laporan kepada mereka. Memberi keterangan kepada hakim, mahkamah sivil, mahkamah syariah dan sebagainya, iaitu berdasarkan hadis:

“Dari Aisyah radiallahu ‘anha berkata: Hindun, isteri Abu Sufyan pernah mengadu kepada Rasulullah: Sesungguhnya Abu Sufyan orang yang lokek, tidak memberi nafkah yang cukup buat anak-anakku, sehingga aku mengambil dari hartanya tanpa pengetahuan darinya”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ketiga: Dibolehkan ghibah dan menceritakan sifat orang yang dighibah untuk meminta fatwa. Seperti seseorang berkata: Si Fulan telah menzalimiku dengan membuat itu dan ini.

Keempat: Kerana kemaslahatan umum. Seperti peranan akhbar (mas media) menceritakan sifat seseorang yang hilang agar mudah dikesankan. Begitu juga dalam usaha membenteras keganasan, maksiat, mengesan orang-orang yang membahayakan orang-orang awam dan sebagainya.

Kelima: Menyebut (Menghibah) keaiban (menjarh) saksi palsu (yang membuat pengakuan atau persaksian palsu) dalam persoalan yang berkaitan dengan nyawa (darah) kehormatan atau harta. Iaitu berdasarkan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

لَيُّ الْوَاجِدِ يُحِلُّ عِرْضَهُ وُعُقُوْبَتَهُ

“Seseorang yang mampu membayar hutang, tetapi tidak membayarnya, maka halal kehormatannya dan hartanya”. (Hadis ini disahihkan oleh syeikh al-Albani rahimahullah. Lihat: Al-Misykah, No. 2919)

Menurut al-Munawi rahimahullah ketika mensyarahkan hadis di atas ini bahawa: لَيُّ الْوَاجِدِ bermaksud: “Orang kaya”. (Lihat: Kitab Faidhul Qadir (dalam mensyarahkan hadis ini). Oleh al-Munawi) Di dalam kalimah عُقُوْبَتُهُ ia membawa maksud: “Seorang hakim membantu melaksanakan hukuman terhadap yang tidak mahu membayar hutangnya dengan cara disebat atau dipenjarakan”. (Lihat: Kitab Faidhul Qadir (dalam mensyarahkan hadis ini). Oleh al-Munawi) Penjelasan ini menandakan bahawa orang kaya yang tidak mahu membayar hutangnya boleh dighibah sebagai peringatan kepadanya.

Walau bagaimanapun tidak dihalalkan menghibah orang yang telah bertaubat dari kesalahannya, sebagaimana larangan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam terhadap mereka yang menghibah al-Aslami radiallahu ‘anhu yang telah bertaubat, yang mana setelah bertaubat beliau mendatangi Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam untuk membersihkan dirinya dari dosa berzina sehingga dilaksanakan hukuman rejam ke atasnya. (Lihat: Al-Ghibah wa-Atsaruha fi al-Muhtama, Bab 2, Syeikh Husin al-Awayisyah)

Tidak Menyebutkan Kebaikan (Muwazanah/Timbangan) Kepada Ahli Bid’ah (Perosak Agama) Ketika Mengkritik Kesesatannya

Erti atau makna muwazanah (موازنة) secara bahasa ialah: “Penilaian Seimbang”. Namun maksud yang dikehendaki oleh pencetus manhaj ini ialah: Apabila mengkritik tentang keburukan atau kesalahan seseorang wajib disebutkan juga kebaikan-kebaikannya.

Para ulama Salaf as-Soleh tidak menerima secara mutlak dan tidak menolak secara mutlak akan prinsip muwazahan, keranaa muwazanah (الموازنة) termasuk bab al-Insaf (الانصاف) atau ‘adl.

Tetapi kenyataan sebenar dari penggunaan kalimah (Muwazanah) yang bid’ah ini telah disalah guna oleh golongan ahli bid’ah seperti golongan Ikhwanul Muslimin dan yang sealiran dengannya. Mereka mendifinisikan muwazanah secara hawa nafsu. Muwazanah meurut mereka ialah:

“Apabila menilai, mengkritik atau mengomentar seseorang individu atau jamaah tentang keburukannya, maka wajib ada muwazanah iaitu (menimbang) sudut kebaikannya dengan menyebut kebaikannya di samping muwazanah (menimbang) sudut keburukannya, supaya berlaku adil dan tidak berlaku zalim. Sama ada bermuwazanah pada hasil tulisan seperti kitab, makalah, ceramah, sikap, amalan atau sebagainya”.

Manhaj muwazanah yang seperti ini adalah manhaj yang bid’ah kerana ia sangat asing, malah ternyata amat bertentang dengan manhaj Salaf as-Soleh. Muwazanah telah menjadi manhaj baru kepada ahli bid’ah dan kepada orang-orang yang gemar membela bid’ah seperti kelompok Khawarij dan golongan hizbiyah. Golongan pertama yang menyerukan “Muwazanah” ialah Yayasan al-Hikmah, Ikhwanul Muslimin dan Sururiyun. (Lihat: إعلام اخوان بما قاله المحدث العلامة مقبل الوادعي أبوعبدالرحمن في الداعية عبدالرحمن عبدالخالق وجمعيته ومجلتة الفرقان. )

Walaupun orang-orang munafik, orang-orang fasik, orang-orang syirik, orang-orang zalim, Yahudi, Nasrani serta Majusi, mereka juga mempunyai kebaikan-kebaikan. Namun, Allah Subhanahu wa-Ta’ala sebagai Rabb (Tuhan) kita, dalam membantah orang-orang fasik, zalim, syirik atau orang-orang kafir sama ada Yahudi, Nasrani dan Majusi yang nyata telah berbuat dosa maka Allah tidak menyebut kebaikan mereka walaupun sedikit. Inilah manhaj yang wajib kita ikuti sebagai manhaj pegangan para Nabi, para Rasul dan para ulama Salaf as-Soleh.

Pendirian para ulama Salaf as-Soleh dalam mengkritik dan membantah kemungkaran, kejahatan dan kesesatan Jahmiyah, Mu’tazilah, Khawarij dan semua firqah yang sesat dan penyesat, sama sekali tidak menyebutkan kebaikan mereka. Kerana semua kebaikan mereka tertutup dan terhapus dengan kejahatan, kesesatan, kekufuran dan bid’ah-bid’ah yang mereka lakukan.

Begitu juga, al-Quran telah memuji orang-orang beriman, tetapi tidak menyebutkan kesalahan mereka, sebaliknya mencela orang-orang kafir dan munafik namun tidak menyebutkan pula kebaikan mereka. (Lihat: منهج اهل السنة والجماعة فى نقد الرجال والكتب والطوائف Rabi’ bin Hadi Umair al-Madkhali)

Adakah Dibolehkan Mengkritik Keburukan Pemerintah/Pemimpin/Penguasa

Maka hal ini telah dijelaskan secara panjang lebar sebagaimana di dalam artikel-artikel yang lalu yang mana boleh dicapai/dilihat melalui capaian link berikut:

1 – Sikap Ahlus Sunnah Terhadap Pemerintah (http://an-nawawi.blogspot.com/2007/12/sikap-rakyat-terhadap-pemerintah-yang.html)

2 – Menasihati Pemerintah Menurut as-Sunnah – (http://an-nawawi.blogspot.com/2007/09/menasihati-pemerintah-menurut-as-sunnah.html)

Kesimpulan:
Kritikan secara terang-terangan atau mengumpat/ghibah ke atas sesuatu individu atau kumpulan tertentu adalah dibolehkan dengan beberapa syarat yang ketat yang iaitu mana jika mereka (yang di-ghibah) yang mana sikapnya/pemikirannya membahayakan kelangsungan aktiviti umat dalam persoalan agama (bagi tujuan menjaga/menjamin ketulenan agama), dalam persoalan aqidah, dan keselamatan nyawa, atau dengan sebab menerangkan persoalan jenayah di dalam mahkhamah.

Adapun mengumpat bagi tujuan memburuk-burukkan individu tertentu tanpa sebarang sebab yang boleh membahayakan kepada umat/masyarakat, maka itu adalah tidak dibolehkan dan ditegah sama sekali. Dan perlulah difahami bahawa dalam persoalan dibenarkan mengumpat inibukanlah tujuan utamanya untuk memburukkan pihak yang diumpat, tetapi lebih kepada bertujuan menyelamatkan ummat.

Adapun mengumpat pemerintah/penguasa, ia memiliki kaedah yang berbeza dan sebenarnya dilarang kerana ia memiliki prinsip dan adab yang khusus sebagaimana yang dijelaskan melalui pelbagai hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

No comments:

Post a Comment