Wednesday, 12 August 2015

Soalan mudah untuk Najib – Mana baki RM2,600 juta, masih ada atau sudah habis?

Soalan mudah untuk Najib – Mana baki RM2,600 juta, masih ada atau sudah habis?

Shahbudin-Husin_blog-Najib_1mdb 

Derma RM2,600 juta yang masuk ke dalam akaun perbadi Najib Razak bukan saja terus menjadi topik perbualan, bahkan telah membuatkan nama beliau melonjak popular di seluruh dunia dalam sekelip mata.
Popularnya Najib ketika ini sehingga masyarakat seolah-olah tidak lagi menyebut beliau sebagai anak Tun Razak yang sederhana dan berintergriti, tetapi lebih sebagai “raja duit” yang banyak wang dengan tiba-tiba.
Sepertimana kata Tun Mahathir Mohamad, Barack Obama sebagai manusia paling berkuasa pun tidak pernah menerima derma sebesar itu dan keyakinan penderma menyumbang sejumlah itu menjadikan Najib penerima derma paling bertuah dan dipercayai sekali di dunia ini.
Ini tentunya rekod dunia yang lebih tinggi daripada KLCC, walaupun kita kadangkala sedih melihat ada masjid setiap Jumaat terpaksa merayu sumbangan untuk memasang penghawa dingin atau membesarkan lagi ruangan bagi kemudahan jemaah, namun derma yang diterima hanya “ciput” saja sehingga rayuan terpaksa dilakukan setiap minggu.
Jika benar RM2,600 juta itu hanya derma, Najib nampaknya lebih dimuliakan berbanding surau dan masjid yang merupakan laluan utama menuju syurga.
Rekod dunia lagi…
Bagaimanapun, sejak wang itu ditakrifkan sebagai derma, Najib masih berkias-kias mengenainya. Beliau hanya menyatakan ia untuk kepentingan parti dan sedia mendedahkannya jika parti-parti pembangkang juga mahu mendedahkan akaun masing-masing. Namun tidak pula Najib menyatakan sedia mendedahkan akaun peribadinya.
Beliau juga enggan memberitahu siapakah penderma itu, cuma dikatakan daripada Timur Tengah. Siapakah agaknya manusia berhati malaikat yang menderma tidak mengharapkan balasan itu?
Selebihnya, untuk mengesahkan beliau menerima derma itu, Najib turut menyatakan rasa kesal kerana pemimpin-pemimpin UMNO tidak mempertahankannya dengan bersungguh-sungguh sedangkan sudah mengambil wang daripadanya.
Abdul Rahman Dahlan, Pengarah Komunikasi Strategik BN dalam mempertahankan Najib menyatakan, penggunaan akaun peribadi lebih selamat berbanding akaun parti dan beliau serta ahli-ahli parti pula lebih yakin mengenainya.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz dalam nada yang sama berkata, kemasukan ke dalam akaun peribadi lebih telus berbanding pemberian wang tunai kepada Najib.
Tengku Adnan Tengku Mansor turut menyatakan amalan biasa bagi mana-mana parti membenarkan presidennya memiliki akaun amanah atas nama peribadi.
Hakikatnya, hanya para menteri yang banyak berkata-kata menyokong kemasukan wang tunai ke dalam akaun peribadi sebagai halal manakala di peringkat bahagian atau akar umbi, lebih banyak yang berdiam diri, malah mengeluh kerana tidak mampu berdepan dengan orangramai dalam isu itu.
Dalam masa yang sama, kiranya kata-kata menteri ini mahu dijadikan pegangan, ia memberi gambaran seolah-olah para pemimpin, ketua jabatan, guru besar, pengerusi PIBG dan sebagainya tidak dianggap bersalah jika menerima sumbangan derma ke dalam akaun peribadi mereka.
Rakyat, bagaimanapun terutamanya ibu bapa tentu pening kepala dengan pendirian menteri-menteri ini kerana selama ini mereka sering menasihatkan anak-anak agar bekerja dengan baik dan jangan mudah menerima sebarang bentuk sumbangan sama ada dalam bentuk tunai, barangan, hamper atau derma sekali pun.
Anak-anak muda yang sedang belajar, terutama dalam bidang undang-undang dan pentadbiran pula terpaksa membuka lebih banyak buku untuk menjustifikasi penerimaan wang, termasuk derma, rupa-rupanya bukan lagi suatu bentuk rasuah.
Tetapi di sebalik itu, semuanya menyatakan derma RM2,600 juta itu adalah dana politik untuk UMNO bagi kelangsungan perjuangannya dalam mempertahankan kuasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low bagaimanapun nampaknya masih ada sedikit intergriti apabila mengatakan dana politik hanya boleh dimasukkan ke dalam akaun parti dan tidak kepada akaun peribadi pemimpin.
Tak tahulah bagaimana nasib beliau dalam kabinet selepas ini…
MCA turut menyatakan dana politik untuk parti sepatutnya disalurkan kepada akaun parti.
Setiausaha Agungnya, Ong Ka Chuan berkata, bukan amalan parti itu mendepositkan wang ke dalam akaun peribadi presiden dan memegangnya bagi pihak parti untuk menghalang kemungkinan ia digunakan untuk kepentingan peribadi.
Barangkali hanya di era Najib, derma parti disimpan dalam akaun peribadi. Ohh, ini pun mungkin rekod dunia juga!!
Okaylah…oleh kerana para pemimpin UMNO tak habis-habis berkuntau dan bersilat mempertahankan wang itu sebagai derma politik untuk UMNO, manakala SPRM pula sudah mengesahkan demikian, kita terima terima sajalah hakikat tersebut walaupun bukan dengan sepenuh hati dan masih banyak tanda tanya dalam sanubari.
Terus berhujah pun tidak ke mana-mana, cuma sekadar boleh mengurangkan lagi sokongan rakyat kepada Najib dan UMNO saja. Kalau masih mahu menghukum, tunggulah waktu pilihanraya atau pemilihan parti nanti.
Atau boleh juga ikut nasihat sesetengah pemimpin yang bijaksana, pindah saja ke luar negara atau planet Marikh kalau tidak suka negara ini….hehehe.
Cumanya, soalan perlu ditanyakan kepada Najib, kalau wang tersebut merupakan derma untuk dana politik, di mana baki selebihnya?
Apakah wang berkoyan-koyan sebanyak RM2,600 juta itu sudah habis dibelanjakan?
Jika ada bakinya, kenapa Najib masih menyimpannya dan tidak segera dipulangkan kepada akaun parti? Bukankah derma itu diberikan untuk UMNO dan Najib cuma pemegang amanahnya saja?
Bagaimana jika Najib tiba-tiba meletakkan jawatan atau usianya tidak panjang, siapakah yang mewarisi baki wang itu?
Kalau wang itu sudah habis pula, sejak menerimanya pada 2013, tentu saja Najib layak tercatat dalam rekod dunia sekali lagi dengan kemampuan berbelanja yang begitu luar biasa sekali.
Hanya kerana wang RM2,600 juta, banyak rekod dunia tercatat untuk Najib dan negara kita rupanya.
* Ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pandangan kami. Untuk membeli buku-buku politik Shahbudin Husin klik SINI.

No comments:

Post a Comment