PENINGLAH ZAHID NI...ORANG NAK TAHU DALANG YANG TERLIBAT, BUKAN DALANG TAK TERLIBAT!!
Dulu ketika menjadi Menteri Pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi pernah berjanji untuk mendedahkan siapakah dalang di sebalik pencerobohan Lahad Datu, tapi sampai sekarang ianya senyap begitu saja.
Kali ini beliau mendedahkan pula dalang yang mahu menggulingkan kerajaan melalui undi tak percaya di Parlimen dengan kerjasama Ahli-Ahli Parlimen pembangkang.
Bahkan, mungkin disebabkan sudah naik pangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri di samping Menteri Dalam Negeri yang tambah luas jajahan kuasanya, maklumat yang diperolehinya mengenai dalang menggulingkan kerajaan ini lebih langkap dan terperinci lagi.
Beliau siap mendedahkan bahawa perancangan tok dalang itu ialah melibatkan akaun bersumpah tujuh halaman dengan kertas kuning yang disediakan oleh peguam yang juga diketahuinya identitinya.
Sehari selepas pendedahan itu pula, Zahid kemudiannya mengatakan tok dalang tersebut sudah sedar mengenai tindakannya dan akan bertemu Perdana Menteri, Najib Razak pada jam 6 petang semalam (Ahad) untuk meminta maaf.
Maklumat yang diberikan Zahid itu menyebabkan para wartawan berkampung di Seri Perdana dan kediaman peribadi Najib di Jalan Duta, Kuala Lumpur untuk mengetahui siapakah dalang tersebut.
Malangnya, setelah menunggu kira-kira lima jam bermula jam 5 petang hingga 10 malam, langsung tiada kelibat sesiapa yang datang menemui Perdana Menteri.
Najib pula dikesan sampai ke rumahnya daripada merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Gerik menjelang jam 8 malam.
Kesian wartawan...
Pewakilan Wanita UMNO Langkawi, Anina Saduddin yang video ucapannya tersebar luas beberapa hari lalu barangkali ada istilah yang sesuai mengenai perlakuan Zahid ini.
Bagaimanapun pada sebelah malamnya pula ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Lumut, Zahid mendedahkan bahawa Muhyiddin Yassin tidak terlibat dalam komplot mahu menggulingkan kerajaan itu.
Sambil itu, di depan Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Perak yang juga Ketua UMNO Bahagian Lumut yang memang diketahui penyokong kuat Muhyiddin, Zahid turut mendedahkan mereka berdua mempunyai hubungan yang akrab dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Kami (Zahid dan Zambry) pernah sama-sama jatuh, jadi kami faham perasaan orang jatuh, tambahnya lagi.
Ehem, ehem...pertahankan Muhyiddin pulak?
Tidakkah Muhyiddin sehari dua ini banyak mempersoalkan kepimpinan Najib Razak berkaitan 1MDB dan derma RM2,600 juta yang diakui masuk ke akaun peribadinya?
Dari Kemaman, kemudian ke Semporna hinggalah ke Pontian, pentas perasmian mesyuarat perwakilan UMNO minggu ini meriah dengan peluru-peluru yang dilepaskan oleh Muhyiddin kepada Najib.
Tetapi Zahid yang antara peranan utamanya dilantik sebagai orang nombor dua dalam kerajaan ialah untuk mempertahankan Najib, bukan saja tidak menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh Muhyiddin itu, bahkan membersihkan lagi nama Timbalan Presiden UMNO itu tidak terlibat dalam komplot mahu menjatuhkan kerajaan.
Selepas beliau mendedahkan adanya dalang yang mahu menjatuhkan Najib dan menggulingkan kerajaan, jawapan yang ditunggu oleh orangramai tentunya ialah siapakah orang yang dimaksudkannya itu?
Kalau betul sudah ada cukup maklumat dan yakin ianya bukan maklumat tepi jalan atau khabar yang dibawa oleh burung-burung berterbangan, malah berdegar-degar mengatakan langkah mayatnya dulu jika pertukaran kerajaan melalui pintu belakang mahu dilakukan juga, maka dedahkanlah nama siapa dalang itu?
Buat apa mendedahkan tentang Muhyiddin yang tidak terlibat? Orang ingin tahu siapa yang terlibat, bukan siapa yang tak terlibat.
Peninglah....
Hutang kepada rakyat siapa dalang Lahad Datu masih tertunggak, kini Zahid menambah hutangnya lagi untuk kita sama-sama menilai wibawa dan prestasinya. (SH 17/08/2015)
No comments:
Post a Comment