Monday, 13 July 2015

Siapa pula pemimpin yang Tun Mahathir anggap sebagai tamak, peralat nama Allah, halalkan yang haram demi kuasa ni?


Siapa pula pemimpin yang Tun Mahathir anggap sebagai tamak, peralat nama Allah, halalkan yang haram demi kuasa ni?

SUARAKAMI 04:43 BLOGGER


Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melahirkan kebimbangannya mengenai masa depan bangsa Melayu jika mereka "kembali dijajah" kerana sikap pemimpinnya dan permainan politik yang tidak lagi membela bangsanya sendiri.

Dr Mahathir yang genap usianya 90 tahun Jumaat lalu, menulis sebuah puisi di blognya, mendakwa politik yang satu masa dulu menjadi penyelamat bangsa kini menghancurkan bangsa itu sendiri.

Malah, beliau turut membidas sikap pemimpin negara yang tamak mengejar kuasa dan kedudukan yang tinggi sehingga katanya, memperalatkan nama Allah dan menghalalkan perbuatan yang haram bagi kepentingan peribadi.

"Politik yang menyelamat Menjadi politik yang menghancur Pemimpin semakin tamak Untuk tempat dan kedudukan tinggi Perbuatan yang haram dihalalkan Nama Allah diperalatkan, dijual untuk nikmat yang sementara di dunia," katanya dalam puisi Malaysia Tanahair-Ku yang disiarkan melalui blog chedet.cc.

Dr Mahathir berkata, bangsa Melayu tidak sepatutnya lupa sejarah apabila mereka pernah menjadi bangsa yang dijajah, dihina dan diperhamba penjajah.

Katanya, Melayu sebagai bangsa yang merdeka dan mulia pada suatu ketika dulu kini sanggup menjual hak mereka bagi mendapatkan kesenangan yang sedikit dengan cara mudah.

Beliau yang pernah menerajui negara selama 22 tahun menyuarakan kerisauan pada akhir hayatnya akan melihat segala perjuangannya membangunkan bangsa dan negara musnah akibat nafsu pemimpin yang berlumba mengaut kekayaan.

"Aku akan pergi tidak lama lagi

Dapatkah aku pejam mata dan hembus nafas terakhir

Kerana bangsaku

Negaraku

Masih mulia

Masih bermaruah

Masih dipandang tinggi

Atau mataku terbeliak

Nafasku tersesak, terhenti, kerana segala yang diperjuangkan luput ditelan nafsu," katanya.

Dr Mahathir berkata, merdeka bukan hanya bermaksud bebas daripada penjajah sebaliknya ia diukur daripada segi kemajuan, sama ada setanding dengan bekas penjajah dan bangsa lain atau lebih tinggi berbanding mereka.

Dr Mahathir berkata, politik yang dulunya menjadi penyelamat seharusnya terus berfungsi menjadi pembela bangsa dan membangunkan negara dan bangsa serta memuliakan agama.

"Bangsa yang berjiwa kental, bersemangat besi

Diserang oleh nafsu dan perasaan tamak

Aku dapat apa dari kemerdekaan tanya mereka?

Mana bahagian aku?

Dan semangat pun menjadi luntur, tidak terdaya mengawal nafsu," katanya.

No comments:

Post a Comment