NAJIB DEGIL KERANA TAHU DIRINYA BAKAL DIHUKUM
NAJIB MESTI BERUNDUR
1. Pendedahan demi pendedahan mengenai salah laku Dato' Seri Najib semakin hari semakin berat. Yang terbaru, dakwaan Najib mempunyai simpanan dalam akaun peribadi sebanyak RM2.6 billion. Bagaimana seorang Perdana Menteri boleh mempunyai wang sebanyak itu? Gaji Perdana Menteri cuma RM23,000 sebulan. Jika dicampur keseluruhan gaji Najib selama 6 tahun menjadi Perdana Menteri, jumlahnya sekitar RM1.65 juta sahaja. Dicampur elaun-elaun barangkali jumlahnya sekitar RM3 juta.
2. Takkanlah Najib tak pernah berbelanja apa-apa sepanjang 6 tahun beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri. Belanja percutian mewah ke luar negara dan majlis perkahwinan besar-besaran anaknya sahaja sudah mencecah jutaan ringgit.
3. Maka apabila seorang Perdana Menteri dikatakan memiliki simpanan peribadi sebanyak RM2.6 bilion, sudah tentulah ramai yang terbeliak biji mata. Najib ada harta warisan kah? Atau ada perniagaan kah? Atau Najib ada menerima hadiah berupa wang ringgit daripada sesiapakah? Jika ada, maka apa salahnya diberitahu. Kerana sebagai seorang Perdana Menteri, beliau sememangnya wajib mengisytiharkan harta.
4. Sumber dalaman mengatakan bahawa Najib telah mengaku memiliki akaun peribadi di Ambank seperti yang didakwa oleh Wall Street Journal. Jadi, kalau dah mengaku tak perlulah nak saman pihak yang mendedahkan. Yang perlu dibuat oleh Najib ialah beri penjelasan. Duit itu datang daripada mana? Dibelanjakan untuk apa?
5. Sekarang ini sudah ada satu pasukan petugas khas ditubuhkan yang diketuai oleh Peguam Negara untuk menyiasat dakwaan ini. Peguam Negara juga telah membuat kenyataan beliau telah menerima dokumen-dokumen yang berkaitan dengan dakwaan ini. Maknanya, dakwaan terhadap Najib bukanlah tidak berasas. Apabila Peguam Negara berkata demikian, sudah tentulah pada pandangan Peguam Negara ada bukti-bukti yang perlu disiasat secara lebih lanjut. Jika tiada asas, maka sudah tentu Peguam Negara awal-awal lagi mengatakan dakwaan tersebut tidak benar dan fitnah semata-mata.
6. Bukan setakat itu sahaja, Gabenor Bank Negara juga tidak menafikan apa-apa. Ini adalah tuduhan berat melibatkan Perdana Menteri. Bukan orang biasa. Bank Negara tentu sekali mengetahui keluar masuk wang ke dalam sesuatu akaun, apa lagi dalam jumlah yang begitu besar. Jika tuduhan itu tiada asas, tentu sekali Gabenor Bank Negara cepat-cepat mengeluarkan kenyataan bahawa tiada wang yang masuk ke dalam akaun Najib seperti yang didakwa. Sehingga kini Gabenor Bank Negara tidak membuat sebarang penafian.
7. Najib juga merupakan Menteri Kewangan. Bank-bank adalah di bawah seliaan Kementerian Kewangan. Susah sangat ke untuk Ambank mengeluarkan penafian. Katakan saja Najib tiada akaun simpanan di bank itu, atau ada akaun tetapi jumlah simpanan tidaklah seperti didakwa. Habis, selesai cerita. Tapi sehingga kini Ambank tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan.
8. Ini menunjukkan bahawa dakwaan itu ada asas dan perlu disiasat. Sementara siasatan dibuat, maka wajarlah Najib bercuti dahulu supaya tidak mengganggu siasatan. Maklumlah, Najib adalah Perdana Menteri. Berundur sementara daripada kedudukan sebagai Perdana Menteri sementara menunggu hasil siasatan bukanlah pelik. Jika siasatan mendapati Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan, maka kembalilah duduk di kerusi Perdana Menteri.
9. Sebaliknya, jika siasatan mendapati ada kes terhadap Najib dan beliau didakwa di mahkamah, maka Najib wajib meletak jawatan. Ini bukanlah sesuatu yang pelik. Tan Sri Muhammad Muhammad Taib meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor setelah didakwa di Mahkamah Australia kerana gagal mengisytihar sejumlah wang yang dibawa masuk ke negara itu. Tan Sri Rahim Thamby Chik juga meletak jawatan Ketua Menteri Melaka kerana dikaitan dengan kesalahan jenayah yang akhirnya gagal dibuktikan. Begitu juga Tan Sri Abu Hassan Omar yang meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.
10. Tak perlulah Najib dan konco-konconya menuduh itu dan ini. Kononnya ada konspirasi lah, ada tangan-tangan jahat lah, dan macam-macam lagi. Sehingga Tun Mahathir yang diketahui antara pemimpin dunia yang lantang mengkritik Barat dikatakan berkonspirasi dengan kuasa Barat untuk menjatuhkan Najib. Tak masuk akal! Nasihat kepada Najib - ambil cuti dan beri kerjasama kepada pasukan penyiasat.
11. Tapi nampaknya Najib tak mahu berundur walau seinci. Mungkinkah Najib tahu pasukan penyiasat mempunyai bukti-bukti kukuh untuk mendakwa beliau atas kesalahan jenayah? Maka itu beliau perlu terus mempertahankan kerusi Perdana Menteri selagi terdaya dan menggunakan kuasa sebagai Perdana Menteri untuk mengganggu siasatan dan mengelak diri daripada didakwa di mahkamah? Renung-renungkanlah.
No comments:
Post a Comment