HARI GELAP BUAT MALAYSIA
Ia bukan saja berkaitan pemecatan Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran, tetapi bersekali dengan Shafie Apdal, Naib Presiden UMNO yang disingkirkan sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Pemecatan menteri yang lain seperti Hasan Malek dan G Palanivel memang tidak menghairankan dan tiada kena mengena dengan 1MDB tetapi nasib yang menimpa Muhyiddin dan Shafie jelas kerana pendirian mereka mengenai syarikat tersebut.
Dalam apa yang dilakukan Najib hari ini, ia mencatat sejarah di mana Timbalan Presiden dan Naib Presiden UMNO telah dimangsakan hanya kerana berani menyatakan kebenaran serta mahukan ianya ditegakkan berkaitan 1MDB.
Tidak pernah dalam sejarah UMNO, seorang Timbalan dan Naib Presiden UMNO diperlakukan sebegini rupa, bukan kerana mereka ada skandal atau apa-apa kesalahan jenayah yang lain, tetapi hanya kerana mengkritik sebuah syarikat pelaburan yang bermasalah iaitu 1MDB.
APA JADI DENGAN PETUGAS KHAS?
Sementara dengan penyingkiran Muhyiddin dan Shafie ini menyebabkan tiada lagi suara lantang yang berani mengkritik 1MDB, hari ini juga berlaku pemecatan Gani Patail sebagai Peguam Negara.
Gani ketika ini sedang mengetuai pasukan petugas khas bersama SPRM, Bank Negara dan PDRM untuk menyiasat dakwaan The Wall Street Journal (WSJ) mengenai dakwaan pengaliran masuk wang 1MDB berjumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun Najib.
Beliau diumumkan dipecat atas alasan kesihatan sedangkan biasanya jika seseorang itu menghadapi masalah kesihatan, tuan punya badan sendiri yang membuat pengumuman untuk mengundurkan diri.
Tetapi dalam kes Gani ini ia diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa dan tambah pelik apabila Gani kemudiannya memberitahu tidak tahu menahu mengenai pemecatannya itu.
Sudah tentu tanggapan umum ialah pemecatan Gani ini ada kaitan dengan siasatan pasukan petugas khas yang sedang diketuainya dan sudah melakukan lima tangkapan setakat ini.
Lalu, apa jadi dengan pasukan petugas khas dan hasil siasatan mereka nanti?
Ada juga yang mula meramalkan, siapa lagi selepas ini yang akan menerima nasib yang sama seperti Gani. Apakah Gabenor Bank Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Ketua Polis Negara juga sedang terancam kedudukannya?
Atau pemecatan Gani hanya permulaan amaran kepada yang lain-lain itu?
SIASATAN PAC JADI TERGENDALA - ANNUAR MUSA BAKAL GANTI NUR JAZLAN?
Selain itu, dalam rombakan kabinet hari ini, Najib juga melantik Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara atau PAC, Nur Jazlan Mohamed sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Sama seperti pasukan petugas khas, PAC juga sedang menjalankan siasatan terhadap 1MDB dan dalam proses untuk memanggil Jho Low, CEOnya Arul Kanda Kandasamy serta bekas CEO Shahrul Helmi untuk proses pendengaran. Beberapa yang lain yang ada kaitan dengan 1MDB sudah pun dipanggil oleh PAC.
Nur Jazlan selama ini agak terbuka serta kritikal dalam isu 1MDB dan lebih mahukan kebenaran yang menjadi dambaan rakyat dapat ditegakkan dalam kemelut yahg menyelubungi syarikat pelaburan itu.
Beberapa kenyataannya dilihat menggembirakan rakyat dan seolah-olah ada harapan kebenaran dapat ditegakkan melalui PAC yang dipimpinnya.
Perlantikan Nur Jazlan lebih dilihat kerana kedudukannya sebagai Pengerusi PAC yang sedang menyiasat 1MDB dan bukannya kerana kelayakannya sebagai akauntan bertauliah atau untuk mengenang jasa ayahnya, Mohamed Rahmat yang pernah menjadi Setiausaha Agung UMNO dan Menteri Penerangan.
Ini kerana jika faktor tersebut diambil kira, sudah pasti Najib melantiknya dalam kerajaan lebih dulu sebelum memberi jawatan kepada Ahmad Maslan yang lebih dipertikaikan rakyat kredibilitinya.
Bersama Nur Jazlan, empat Ahli Parlimen lain yang menganggotai PAC turut terlibat dalam rombakan kabinet yang diumumkan Najib hari ini. Mereka yang lain ialah Reezal Merican Naina Merican, Mas Ermieyanti Samsul dan Wilfred Madius Tangau.
Kehilangan empat anggota PAC ini bukan saja menyebabkan sesi penyiasatan terhadap 1MDB akan tertangguh lagi sehingga perlantikan baru dibuat, malah hasil siasatan nanti juga mula menimbulkan keraguan.
Menjadi perbualan ketika ini bahawa bekas Pengerusi Mara, Annuar Musa akan dilantik sebagai Pengerusi PAC kerana beliau dilihat berpengelaman serta vokal mempertahankan kerajaan. Apabila khidmatnya di Mara tidak disambung pada 17 Julai lalu, beliau pada mulanya dijangka akan dilantik semula ke dalam kabinet, tetapi dengan ketiadaan namanya sebagaimana yang diumumkan Najib tengahari tadi, jawatan Pengerusi PAC adalah paling munasabah buat Ahli Parlimen Ketereh, Kelantan itu.
ZAHID - DARI SETPOL JADI ORANG PALING KANAN NAJIB
Secara umumnya perlantikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin sudah mula diperbualkan ramai sejak beliau pergi menunaikan umrah ke Mekah bersama Najib dan Hishammuddin tidak berapa lama dahulu lagi.
Diperbualkan bahawa berlaku perjanjian atau "baiah" di Mekah untuk melantik Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan dipersetujui oleh Hishammuddin berikutan Muhyiddin dan Shafie Apdal ketika itu sudah mulai kritikal mengenai 1MDB serta menunjukkan kecondongan kepada Tun Mahathir Mohamad.
Jika ikut nalurinya, Najib dikatakan ingin melantik terus sepupunya, Hishammuddin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan sekaligus calon penggantinya sebagai Perdana Menteri tetapi dibimbangi ianya menimbulkan serangan nepotisme terhadapnya.
Dengan itu, oleh kerana Zahid lebih berusia daripada Najib, beliau hanyalah watak Timbalan Perdana Menteri sementara saja sehingga ke suatu masa di mana Hishammuddin benar-benar boleh diterima sebagai bakal Perdana Menteri.
Walaupun Zahid agak popular dalam UMNO dan mendapat undi tertinggi sebanyak dua kali bagi jawatan Naib Presiden UMNO, ramai yang masih skeptikal terhadapnya berikutan pengalamannya yang belum cukup luas dalam kerajaan serta kedudukannya sebagai bekas Setiausaha Politik kepada Najib sebelum ini.
Bagaimana janggalnya bekas Setiausaha Politik menjadi Timbalan Perdana Menteri ialah seperti kita membayangkan ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dulu, tetapi Timbalan Perdana Menterinya ialah Aziz Shamsudin atau Megat Junid Megat Ayob.
Atau ketika Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri dulu, namun Timbalan Perdana Menterinya ialah Othman Desa atau Reezal Merican.
Bolehkah kita membayangkannya? Tentu janggal dan melucukan bukan?
Itulah yang berlaku kepada gandingan Najib dan Zahid ini dan yang demikian, kedudukan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tanggapan ramai hanyalah sementara dan sebagai "budak suruhan" semata-mata kepada Perdana Menteri.
Rakyat tidak akan meyakini Zahid, lebih-lebih lagi pengundi bukan Melayu langsung tidak menyenanginya sebagai pemimpin kerajaan.
HARI UNTUK SELAMATKAN DIRI
Apa yang berlaku hari ini, melalui pemecatan Muhyiddin dan Shafie, penyusunan baru kabinet, penyingkiran Peguam Negara yang sekaligus menimbulkan keraguan terhadap peranan pasukan petugas khas dan melantik Pengerusi serta beberapa ahli PAC ke dalam kabinet yang menyebabkan jawatankuasa itu dapat disusun semula dan dilengahkan daripada menjalankan peranannya, ia adalah semata-mata untuk mengekalkan kedudukan Najib lebih lama lagi di Seri Perdana.
Perlantikan Mahadzir Khalid sebagai menteri dan Johari Baharom, Ketua UMNO Kubang Pasu sebagai timbalan menteri pula tidak lain adalah untuk membendung pengaruh Mukhriz Mahathir di Kedah dan sekaligus sebagai persiapan untuk menghalang pengaruh Tun Mahathir Mohamad.
Kedua-dua mereka inilah juga yang memainkan peranan menyekat kemenangan Tun Mahathir sebagai perwakilan UMNO Kubang Pasu ketika Mahadzir Khalid menjadi Menteri Besar Kedah dahulu.
Ia jelas memperlihatkan bahawa demi mempertahankan kuasa dan kedudukannya, Najib sanggup melakukan apa saja tanpa memperdulikan perasaan atau tanggapan rakyat yang semakin memburuk terhadapnya.
Ia akan membawa awan mendung berarak lebih tebal mengelilingi bumi Malaysia sehinggalah tarikh pilihanraya umum akan datang. (SH 28/07/2015)
Tak ada yg gelap pun...
ReplyDeleteHati kamu & mata kamu ajer yg gelap
Sebab dah dirosakkan dengan fitnah dan berita palsu yg berleluasa...
Nak bekerja satu team, kena ada semangat satu pasukan
Betul kata Najib, dia tak kisah kalau ada org kritik, perbezaan pendapat dan tak puas hati...Yg dia dia tak suka bila TPM buat statement open seolah olah dia tak diberi ruang untuk bertanya, mendapatkan penjelasan dan mengutarakan pendapat atau ketidakpuasan beliau...
sebagai ahli kabinet, dia sepatutnya bertanggungkawab secara kolektif...
Nampak sangat TPM kurang bijak....memang gali kubur sendiri..