Wednesday, 1 July 2015

BERAS SUBSIDI PUN KENA KEBAS JERUNG .

BERAS SUBSIDI PUN KENA KEBAS JERUNG .
---------------------------
Dari Blog Celah Gelegar
Berlakunya salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan agihan kuota pembelian program beras subsidi Super Tempatan 15% hancur (ST15) sehingga menyebabkan faedahnya tidak dinikmati rakyat miskin dan menindas pemborong berlesen lain, kata Datuk Noridan Spee Yee.
Sebaliknya, Pengerusi Eksekutif DCT Beras (M) Sdn Bhd itu mendakwa, ada "ikan jerung" memegang jawatan ketua bahagian parti, wakil rakyat, ahli politik hingga bertaraf menteri yang mengaut keuntungan besar melalui pengagihan kuota.
Noridan berkata, berlakunya pembayaran "atas angin" untuk mendapatkan kuota apabila ramai yang mendapat kuota itu tidak mematuhi syarat garis panduan dan perintah, menyebabkan kerugian RM6 juta subsidi kerajaan sebulan.
Saya ada bukti. "Saya ingin bertanya kepada perdana menteri dan semua agensi yang tahu perkara ini berlaku kenapa berdiam diri tanpa bertindak.
"Adakah kita nak tunggu sehingga negara kita muflis seperti banyak negara yang berlaku rasuah dan salah guna kuasa?
"Kita harus ingat Pilihan Raya Umum (PRU) 14 akan tiba tidak lama lagi. Jangan menyalahkan rakyat jika tidak menyokong kerajaan yang ada sekarang," katanya pada sidang media di Shah Alam, Selangor hari ini.
Katanya, bukti sudah dikemukakan dalam aduannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak dua kali pada tahun lalu dan Februari lalu namun masih tiada respons.
Katanya, surat aduan juga ditulis kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail pada 5 Februari lalu, mengadu tentang kuota, serta pelantikan pangampit dan pemborong yang tidak adil dan tidak telus.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dalam Dewan Rakyat pada Mei lalu mencabar ahli Dewan supaya membuat laporan kepada SPRM berkaitan isu itu.
"Tanya timbalan menteri, dia pun minta kuota dengan ketua pengarah untuk bahagian dia di Pasir Salak semasa bantuan banjir Disember tahun lalu.
"Berapa yang perlu dibayar untuk dapat kuota kena tanya timbalan menteri," kata Noridan.
Akhbar Harian Metro sebelum ini juga melaporkan hasil kajian makmal mendapati beras ST15 yang sepatutnya mempunyai gred 15% beras hancur mempunyai 37% beras hancur, manakala beras gred ST5 mengandungi 27% bijian hancur.
"Tukar gred beras memang berlaku kerana ramai pemborong dikenakan bayaran (toci) untuk dapat kuota. Saya sudah buat laporan kepada SPRM sebanyak dua kali sekarang masih dalam siasatan," kata Noridan.
Putrajaya memperuntukkan beras subsidi 40,000 tan sebulan bagi Semenanjung Malaysia manakala 20,000 tan bagi Sabah dan Sarawak.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerima subsidi kerajaan sebanyak RM528 juta untuk diagihkan kepada 895 pemborong beras seluruh negara sejak program tersebut diperkenalkan pada tahun 2008.
Objektif program ini adalah untuk membantu golongan berpendapatan rendah bagi mendapatkan beras pada harga yang lebih murah dengan menampung kos pengeluaran beras.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Parlimen pada April lalu menyarankan supaya program itu digantung kerana gagal mencapai matlamatnya umtuk membela nasib golongan berpendapatan rendah.
– 30 Jun, 2015. The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment