Tuesday, 9 June 2015

Selesaikan hutang 1MDB atau berdepan risiko RM4 kepada US$1



Selesaikan hutang 1MDB atau berdepan risiko RM4 kepada US$1

Jadi, kerajaan persekutuan telah tunduk kepada tekanan dan mengakui yang ringgit boleh jatuh di bawah paras RM4 kerana masalah hutang 1MDB yang semakin serius.



Pada 2 Jun, Malay Mail memetik Menteri Kewangan Kedua Ahmad Husni Hanadzlah (kiri) yang memberikan amaran Malaysia perlu menyelesaikan masalah hutang 1MDB atau berhadapan dengan risiko kesan buruk keadaan itu, termasuklah kemungkinan diturunkan tahap kredit negara atau menjunamkan nilai ringgit.

Husni berkata yang jika Putrajaya dipaksa menanggung hutang 1MDB sebanyak RM42 bilion ditambah dengan perbelanjaan pembangunan bernilai RM 52bilion bagi tahun depan, ia akan menyebabkan kerajaan akan mempunyai defisit lebih daripada 3.2 peratus Bajet 2015 dan terpaksa meningkatkannya kepada empat peratus.

“Apa akan terjadi? Penarafan kita akan jatuh, bila itu berlaku, syarikat-syarikat kita terpaksa meminjam dari luar, nilai matawang akan jatuh seperti yang berlaku pada tahun 1998, apabila nilai ringgit pada satu ketika melebihi RM4, bagaimana hendak membayar hutang?

“Dalam keadaan ini, perkara utama yang perlu diselesaikan ialah masalah hutang supaya rakyat tidak perlu bimbang,” katanya dalam temubual secara langsung yang disiarkan oleh saluran TV1.

Ya, Husni. Anda tepat sekali.

Isu hutang 1MDB perlu diselesaikan tetapi bukankah anda dan Kementerian Kewangan (boleh dibaca sebagai kerajaan persekutuan), bertanggungjawab sepenuhnya kepada hutang RM 42 bilion itu?

Jadi, Husni, siapa yang anda berikan amaran ini? Rakyat Malaysia? Mengapa?

Adakah kerana rakyat Malaysia terlalu lantang menyuarakan ketidakpuasan hati mereka kepada kerajaan persekutuan atau tuntutan mereka kepada kebertanggungjawapan serta tindakan diambil kepada mereka yang bertanggungjawab kepada penggunaan kapital 1MDB yang sangat bermasalah?



Ketika krisis kewangan Asia 1997-1998, nilai matawang Malaysia jatuh dan pada satu ketika melebihi petanda aras RM4 dalam kadar tukaran matawang asing berbanding dolar Amerika.

Masih ingatkah anda apakah yang berlaku kepada ekonomi selepas gelembung industi hartanah pecah?

Kini, sejak setahun atau dua tahun lepas, terdapat banyak khabar angin di peringkat tempatan, rantau dan dunia mengenai bakal pecahnya gelembung industri hartanah.

Adakah khabar angin ini akan menjadi “benar” dan apakah yang akan berlaku nanti?

Laporan terbaru AsiaOne mengatakan yang ramai rakyat Singapura sedang mengurangkan pelaburan di luar negara, terutama sekali dalam bidang hartanah, pastinya menggerunkan dan membimbangkan para spekulasi dan pemaju di Malaysia.

Laporan itu mendakwa pasaran luar kehilangan daya tarikan kepada pembeli hartanah rakyat (Singapura) dengan pelaburan dalam hartanah luar negara jatuh tahun lepas.

Hartanah di Britain, Malaysia dan Australia meliputi 91 peratus jumlah nilai perdagangan dan 76 peratus daripadanya berlaku dalam enam bulan pertama tahun lepas, mengikut penilaian kestabilan kewangan Pihak Berkuasa Monetari Singapura pada bulan November.

Hartanah di Jepun, Filipina dan Thailand juga termasuk dalam senarai belian pembeli.

Penurunan jualan pada enam bulan terakhir tahun lepas mungkin disebabkan oleh keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan pasaran tradisional, kata pakar.

“Britain terkesan dengan krisis hutang kawasan eropah dan pilihanraya tertangguh, Australia disebabkan oleh ekonomi yang lembap dan Malaysia disebabkan oleh hala tuju pertumbuhan ekonomi yang tidak jelas,” kata Tan Kok Keong, ketua eksekutif REMS Advisors.

Doris Tan, ketua perkhidmatan kediaman antarabangsa JLL di Singapura pula, berkata yang jualan hartanah di Britain telah perlahan selepas pembelian rancak pada tahun 2012 dan 2013.

“Harga hartanah di Britain telah stabil dan para pelabur kini semakin memilih,” katanya.

Hartanah di Malaysia semakin hilang tarikan kerana tambahan halangan kepada pelaburan asing yang dikenakan pada awal tahun lepas dan amaran bahawa terdapat lebihan penawaran di Iskandar, kata ketua eksekutif Century 21, Ku Swee Yong.

Halangan itu termasuklah menaikan harga minimum hartanah yang boleh dibeli orang asing kepada RM 1 juta (S$368,000) dan kenaikan cukai hartanah pada kadar 30 peratus.

Pelabur di sini menjadi berhati-hati dan bimbang, kata Linda Chern, ketua pemasaran projek antarabangsa di Knight Frank Singapura, terutama sekali selepas terjadinya pelbagai skim penipuan yang menjejaskan pembeli hartanah luar negara, termasuklah EcoHouse di Brazil.

“Sesetengah penduduk Singapura terjejas dengan kenaikan kadar faedah untuk hartanah tempatan mereka dan kekurangan pulangan sewa,” katanya.

Pembelian hartanah luar negara tahun ini dijangkakan akan terus perlahan.

“Ramai rakyat Singapura juga telah banyak melabur dalam lebih daripada satu hartanah, jadi mereka tidak lagi tergesa-gesa dan mengambil pendekatan tunggu-dan lihat,” kata Tan daripada JLL.

Kesuraman pasaran hartanah global menimbulkan persoalan membimbangkan bagaimana 1MDB boleh terus meletakkan harapannya dalam harga pembangunan hartanah dan tanah yang tidak seimbang.

Ditambah lagi dengan pelbagai skandal melibatkan 1MDB, tidakah sesiapa terfikir masih ada lagikah bank dan pemaju yang berminat dengan bank tanah 1MDB yang harganya semakin meningkat?

Kepada mereka yang masih berfikir mahu membeli hartanah hanya kerana spekulasi dan keuntungan, pastikan anda bertahan sehingga ke akhir.

Jika tidak, apabila gelembung hartanah pecah, anda cuma ada diri anda untuk dipersalahkan.

Jangan terkejut jika anda menangis sendirian.

No comments:

Post a Comment