Friday, 6 March 2015

PERGESERAN WAHABI DENGAN SYIAH DALAM PAS.

Pergeseran Wahbi-Syiah dalam PAS


Pergeseran yang sedang berlaku dewasa ini bolehlah disifatkan seperti bibit-bibit perpecahan kerana kalau tidak dibendung segera maka ianya berpotensi untuk mencetuskan api permusuhan.
FEATURE
Silap hari bulan, pergeseran di antara ahli-ahli PAS yang menyokong fahaman Wahbi dan ahli-ahli PAS yang pro-Syiah, boleh mencetuskan konflik dalam PAS, na’uzubillah min zalik.
Mungkin para pembaca akan bertanya kenapa penulis tidak menggunakan tajuk “Pergeseran Sunni-Syiah dalam PAS”. Penulis sengaja memilih tajuk ini kerana perkataan Wahbi lebih tepat digunakan kerana Wahbi menganggap para pengikut Syiah sebagai “musuh” sedangkan umat Islam secara keseluruhan atau lebih tepat umat Islam bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak bersikap sedemikian.
Pergeseran yang sedang berlaku dewasa ini bolehlah disifatkan seperti bibit-bibit permusuhan yang muncul di peringkat awal kerana kalau tidak dibendung segera maka ianya berpotensi untuk mencetuskan api permusuhan.
Pucuk pimpinan PAS perlu melihat perkara ini dari sudut yang neutral, tidak memihak dan berfungsi sebagai timbangtara (arbitrator) atau penasihat dalam menangani isu ini, sebaik-baiknya sebelum berlangsungnya Muktamar Tahunan PAS kali ke 59 di Kuala Lumpur pada November depan.
Kita khuatir jika ada pihak yang tidak bertanggungjawab yang akan memainkan isu ini untuk melaga-lagakan dua kumpulan ‘kecil’ ini dalam PAS bagi kepentingan politik mereka dalam parti.
Timbulnya perbalahan di antara golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah (waktu itu belum ada golongan Wahbi) dengan Syiah atau dikenali sebagai pengikut Ahlul Bait (pendokong dan pencinta keluarga Rasulullah SAW) sebenarnya dapat dikesan sejak zaman baginda masih hidup lagi.
Namun perpecahan umat Islam menjadi lebih ketara selepas baginda wafat dan berlakunya pemilihan pengganti Rasulullah SAW di Saqifah Bani Saidah, Madinah di mana umat Islam pada ketika itu terdiri daripada golongan Ansar (Aus dan Kazraj) berkumpul dan kemudian disertai oleh golongan Muhajirin.
Satu golongan dari umat Islam berpendapat jawatan khalifah perlu dilantik oleh umat Islam sendiri manakala sebahagian kecil yang lain menganggap jawatan khalifah telah ditetapkan dan dipilih oleh Allah.
Maka terbentuklah dua golongan umat Islam; yang satu memilih Saidina Abu Bakar As-Siddiq sebagai khalifah yang pertama dan satu golongan lagi para pengikut Saidina Ali bin Abi Talib yang menganggap beliau adalah pengganti Rasullah SAW yang ditunjuk oleh baginda sendiri.
Golongan yang menyokong Abu Bakar disebut sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah dan golongan yang lebih kecil bilangannya disebut Syiah. Namun begitu, perkataan Ahli Sunnah atau Sunni itu diwartakan semasa pemerintahan Muawiyah bin Abi Suffian.
Fahaman Wahbi ini muncul kemudian yang diasaskan Muhammad bin Abdul Wahab yang membawa reformasi dalam Islam di Arab Saudi pada abad ke 19 dan berkembang dengan pesat di negara yang kaya minyak itu.
Beliau menggali ilmunya daripada Ibnu Taimiyyah (meninggal tahun 728 Hijrah) dan Ibnu Qayyum Al Jauzi (meninggal tahun 751H) hingga kepada Imam Ahmad bin Hanbal (meninggal tahun 241H), salah satu pendiri mazhab yang empat. Para pengikut Wahbi juga disebut sebagai golongan Salafi.
Bermusuhan
Berbalik kepada pergeseran di antara dua golongan, Wahbi dan Syiah dalam PAS, perselisihan mereka ini sebenarnya memang wujud dan kita khuatir ianya berkembang hingga boleh menyebabkan ahli-ahli PAS bermusuhan sesama sendiri.
Kewujudan puak Syiah dalam PAS yang lebih kecil bilangannya berbanding Wahbi, telah menimbulkan kerisauan bukan sahaja di kalangan ahli-ahli akar umbi tetapi termasuk juga beberapa pemimpin PAS.
Seorang ustaz yang bertugas sebagai pensyarah di universiti tempatan yang berasal dari Kedah memberitahu, pengikut Syiah dalam PAS di Kedah semakin bertambah dan suasana ini amat membimbangkan.
Menurut sumber, beberapa pemimpin PAS di Kedah cuba menyekat perkembangan ajaran Syiah dari merebak dengan lebih luas dan pelbagai usaha telah dijalankan untuk menghalang dan menyekat perkembangannya.
Masalah yang mendepani PAS ketika ini, jika kita menganggapnya sebagai satu masalah, ialah beberapa pemimpin PAS juga tertarik dengan fahaman Syiah yang dianggap lebih tepat dan pragmatik untuk dianuti.
Kalau pengikut Ahli Sunnah menganggap mazhab yang mereka anuti adalah mazhab Islam yang sebenar maka orang-orang Syiah juga menganggap mazhab mereka adalah mengikut Islam yang sebenar.
Kalau Ahli Sunnah mempunyai bukti dan dalil yang kukuh berhubung pegangan aqidah mereka maka pengikut Syiah juga mempunyai bukti dan dalil yang kukuh untuk mempertahankan aqidah mereka.
Usaha untuk menyekat pengaruh Syiah dari terus berkembang adalah satu usaha yang sia-sia kerana Syiah juga merupakan sekte dalam masyarakat Islam walaupun tidak dikira termasuk dalam golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Bagaimana untuk menyekat perkembaangan Syiah kerana terdapat lebih 200 juta umat Islam yang berfahaman Syiah di peringkat global walaupun mereka masih merupakan golongan minoriti berbanding Ahli Sunnah di kebanyakan negara Islam.
Sabotaj
Kekalahan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu juga dikaitkan dengan tindakan sebahagian kecil ahli akar umbi dan beberapa pemimpin PAS di Kedah yang mensabotaj beliau dengan mendakwa Mat Sabu adalah pengikut Syiah tegar.
Seorang ahli PAS juga mengakui bahawa di antara faktor kekalahan Mat Sabu adalah kerana masalah dalaman PAS sendiri yang memainkan isu Syiah, selain kekuatan kewangan yang dimiliki pencabarnya Datuk Osman Abdul dari Barisan Nasional untuk memenangi kerusi Parlimen Pendang dalam Pilihan Raya Umum ke 13 lalu.
Lebih memburukkan keadaan apabila para tokoh agama termasuk para ustaz turut menyerang Syiah dengan pelbagi tohmahan dan fitnah sewaktu mereka mengajar di masjid dan surau serta di markas-markas PAS di seluruh negara.
Antara fitnah yang sering dilontarkan ialah pengikut Syiah mengamalkan nikah muta’ah atau lebih tepat menyalah guna nikah muta’ah dan kaum lelakinya gemar mencium kemaluan wanita.
Fitnah lain yang ditimbulkan ialah pengikut Syiah sujud atas batu dan orang-orang Syiah menghalalkan darah pengikut ahli sunnah (dan ini merupakan satu tuduhan yang sangat merbahaya).
Tidak cukup dengan itu, bekas Presiden Iran Mahmood Ahmedinejad ditohmah dengan mendakwa beliau memelihara tiga ekor anjing; masing-masing diberi nama Abu Bakar (As-Siddiq), Omar (Al-Khattab) dan Othman (Ibn Affan).
Apabila kita mendengar seorang pemimpin tertinggi negeri Kelantan menyerang Syiah kerana menyifatkan penganut Syiah adalah merbahaya kepada penganut Islam yang lain, berita ini amat mengecewakan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Mohamad Amar Nik Abdullah dalam satu kenyataannya di akhbar Utusan Malaysia Sabtu lalu menyifatkan para pengikut Syiah sebagai membahayakan penganut Islam yang lain.
“Kita tidak boleh biarkan fahaman Syiah berkembang dengan bebas, walaupun kita hormati pegangan dia, tapi dalam konteks masyarakat kita di Malaysia, pada pandangan kita, kerajaan persekutuan dan kerajaan Kelantan sendiri, pegangan kita adalah (mazhab) Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Kumpulan Syiah ini apabila mereka di atas, mereka menekan orang-orang Sunni,” kata Nik Mohamad Amar.
Apabila bilangan mereka (Syiah) sedikit tidak mengapa, tidak mendatangkan bahaya tetapi apabila bilangan mereka besar maka keadaan ini merbahaya dan boleh mengancam umat Islam yang lain, begitulah yang difahami oleh beliau.
Konflik di Syria
Mungkin beliau merujuk kepada konflik di Syria di mana pengikut Sunni mendakwa Presiden Bashar Al-Assad telah melakukan kekejaman dan membunuh rakyatnya sendiri.
Pegangan Mohamad Amar dikuatkan lagi dengan penyertaan dan bantuan Republik Islam Iran yang bermazhab Syiah Imamiyyah kepada kerajaan Bashar untuk mengekang para pemberontak yang menyerang kerajaannya dari pelbagai arah.
Ini ditambah lagi dengan kemasukan tentera dan pejuang Hizbullah dari selatan Lubnan (yang juga bermazhab Syiah Imamiyyah) di bawah kepimpinan Hassan Nasrullah untuk membantu kerajaan Bashar di mana Syria dianggap sebagai ‘buffer state’.
Namun apa yang berlaku di Syria membuat umat Islam menjadi keliru, termasuk masyarakat Islam di Malaysia. Di satu pihak, Syria dibantu oleh Iran, Rusia dan Hizbullah manakala di pihak pemberontak pula dibantu oleh Amerika Syarikat, Israel, Arab Saudi, Qatar, Kuwait dan Turki.
Yang mana satu yang harus kita sokong. Dalam soal ini, Pemuda PAS dianggap bertindak bijak sewaktu berdemonstrasi di hadapan Kedutaan Syria pada 14 Jun lalu. Di samping membantah kekejaman tentera Bashar Al-Assad ke atas rakyatnya, mereka juga mendesak supaya pembangkang dan pemberontak tidak menjadi perkakas kuasa asing. Tidak bijak dan tidak cerdik kalau kita menyalahkan Syiah tentang konflik di Syria ini.
Sebenarnya tidak timbul isu mazhab di sini.  Lagi pun menurut Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Bashar adalah pengikut mazhab Alawi, yang terasing dari mazhab Syiah Imamiyyah.
Sila rujuk tulisan Hadi dalam blog rasminya bertajuk “Apa yang tersirat di sebalik konflik di Syria” bertarikh 23 Februari 2012 dan disiarkan semula pada 18 Jun 2013 serta dikutip akhbar harakah keluaran 21-23 Jun 2013.
Di antara lain beliau menulis, Syria mempunyai kedudukan yang agak berbeza dengan negara Arab yang lain kerana tidak mengiktiraf Israel dan tidak mengadakan hubungan diplomatik dengannya.
Syria juga menjadi pintu keluar bagi negara Iran yang dikepung, dalam masa yang sama mengizinkan buminya menjadi pangkalan bagi gerakan Islam Hamas dan Jihad Islami, serta pangkalan bantuan bagi Hizbullah yang berada di Selatan Lubnan.
Hamas dan Jihad Islami bermazhab Sunni, tidak sama dengan Bashar Assad yang menganut mazhab Alawi. Begitu juga Republik Islam Iran dan Hizbullah yang bermazhab Syiah Imamiyyah yang bertentangan juga dengan mazhab yang dianut oleh Bashar dan keluarganya, kata Hadi dalam tulisannya.
Sewaktu menyampaikan ucapan penutup pada Muktamar Tahunan PAS kali ke 58 pada 18 November lalu di Kota Bharu, Kelantan, Presiden PAS itu tidak menyalahkan mana-mana pihak tentang berlakunya konflik di Syria.
Dalam teks ucapannya di bawah tajuk kecil “Perubahan Geo-Politik Antarabangsa” beliau berkata, konflik yang sedang berlaku di Syria amat menyentuh hati dan perasaan kita. Pertumpahan darah dan penderitaan penduduk awam Syria sehingga kini tidak menampakkan jalan penyelesaian.
“PAS ingin menegaskan sikap kita bahawa konflik di Syria tidak boleh sekali-kali diselesaikan dengan campur tangan kuasa luar terutama Amerika Syarikat dan sekutunya. Biarlah rakyat Syria sendiri yang menentukannya melalui suara rakyat tanpa sebarang campur tangan asing yang mempunyai kepentingan strategik.
Kepentingan strategik yang dimaksudkan Hadi ialah kerakusan Amerika Syarikat dan Israel untuk menguasai minyak di Syria dan “menakluk” bumi Syria dengan melantik para pemimpin Arab yang sanggup menjadi boneka mereka.
Kedudukan Syria yang amat strategik, jika dapat dikuasai, akan memudahkan tugas bala tentera Amerika dan Israel untuk memantau dan membendung pergerakan Iran dan Hizbullah, sebuah gerakan Islam yang pernah dua kali mengalahkan Israel dalam perang tahun 2000 dan 2006.
Bertapak
Realitinya, Amerika dan Israel mahu bertapak di Syria dengan melantik para pemimpin Arab yang boleh dicucuk hidung. Mereka mahu mengaut hasil minyak seperti mana mereka bebas mengaut hasil minyak Arab Saudi dan Iraq dengan semahu-mahunya, termasuk Iran pada suatu ketika dahulu iaitu pada zaman Shah Pahlavi.
Jadi apa yang perlu kita buat dalam konteks pergeseran Wahbi-Syiah dalam PAS. Yang paling penting ialah para ustaz, tokoh agama dan pemimpin politik harus berhenti dari memburuk-burukkan sesuatu mazhab dan berusaha untuk memadamkan api permusuhan di antara pengikut Wahbi dan pengikut Syiah.
Jauhilah dari memainkan sentimen dan isu yang boleh menimbulkan kontroversi sesama Islam, walaupun kita berlainan pegangan, fahaman atau mazhab dan belajarlah untuk menghormati pegangan dan kepercayaan masing-masing kerana yang untung adalah musuh-musuh Islam, jika kita terus bermusuhan.
Hadi juga bersikap lunak apabila menyentuh isu pelbagai fahaman, pegangan dan mazhab dalam PAS.  Beliau bersikap terbuka terhadap golongan-golongan kecil ini dengan menyatakan:
“Biar pun dia pengikut Wahbi, Syiah, Arqam, Tabliq atau lain-lain, mereka dialu-alukan menyertai PAS tetapi dengan syarat apabila mereka menjadi ahli PAS, dia mesti mengikut peraturan PAS.”
Sikap terbuka beliau ini sejajar dengan sikap Saidina Ali bin Abi Talib ketika menjawat jawatan Khalifah Islam ke empat pada masa itu. Saidina Ali juga bersikap terbuka dan tidak menindas mana-mana golongan umat Islam yang terdiri dari kumpulan-kumpulan kecil.
Anggaplah kumpulan-kumpulan kecil ini sebagai asam garam dalam kehidupan dan jangan sekali-kali menganggap mereka sebagai musuh jika kita benar-benar mahu menyaksikan umat Islam bersatu padu dan pemerintahan Islam kembali berdaulat.
Hadi sendiri pernah menganggotai Jawatankuasa Taqrib Mazahib (pendekatan penyatuan di antara mazhab Ahli Sunnah dan Syiah) dan sentiasa memelihara hubungan baik dengan Parti Motafeleh dari Iran.
Bekas Reaktor Universiti Al Azhar, Kaherah, Mesir, Sheikh Mahmud Shaltut pernah mengeluarkan fatwa bahawa selagi seseorang penganut Islam itu mengucapkan dua kalimah syahadah iaitu mengakui Allah sebagai Rabnya dan Nabi Muhammad saw sebagai Rasulnya maka kita tidak boleh menghukumnya kafir atau terkeluar dari Islam.

1 comment:

  1. saya PAK SLEMET posisi sekarang di malaysia
    bekerja sebagai BURU BANGUNAN gaji tidak seberapa
    setiap gajian selalu mengirimkan orang tua
    sebenarnya pengen pulang tapi gak punya uang
    sempat saya putus asah dan secara kebetulan
    saya buka FB ada seseorng berkomentar
    tentang AKI NAWE katanya perna di bantu
    melalui jalan togel saya coba2 menghubungi
    karna di malaysia ada pemasangan
    jadi saya memberanikan diri karna sudah bingun
    saya minta angka sama AKI NAWE
    angka yang di berikan 6D TOTO tembus 100%
    terima kasih banyak AKI
    kemarin saya bingun syukur sekarang sudah senang
    rencana bulan depan mau pulang untuk buka usaha
    bagi penggemar togel ingin merasakan kemenangan
    terutama yang punya masalah hutang lama belum lunas
    jangan putus asah HUBUNGI AKI NAWE 085-218-379-259
    tak ada salahnya anda coba
    karna prediksi AKI tidak perna meleset
    saya jamin AKI NAWE tidak akan mengecewakan










    saya PAK SLEMET posisi sekarang di malaysia
    bekerja sebagai BURU BANGUNAN gaji tidak seberapa
    setiap gajian selalu mengirimkan orang tua
    sebenarnya pengen pulang tapi gak punya uang
    sempat saya putus asah dan secara kebetulan
    saya buka FB ada seseorng berkomentar
    tentang AKI NAWE katanya perna di bantu
    melalui jalan togel saya coba2 menghubungi
    karna di malaysia ada pemasangan
    jadi saya memberanikan diri karna sudah bingun
    saya minta angka sama AKI NAWE
    angka yang di berikan 6D TOTO tembus 100%
    terima kasih banyak AKI
    kemarin saya bingun syukur sekarang sudah senang
    rencana bulan depan mau pulang untuk buka usaha
    bagi penggemar togel ingin merasakan kemenangan
    terutama yang punya masalah hutang lama belum lunas
    jangan putus asah HUBUNGI AKI NAWE 085-218-379-259
    tak ada salahnya anda coba
    karna prediksi AKI tidak perna meleset
    saya jamin AKI NAWE tidak akan mengecewakan

    ReplyDelete