BAHASA : Menuntut sesuatu perkara yang dilarang menurut syarak dengan melibatkan kezaliman dan penindasan.
ISTILAH : Pengertian bagi al-bughah tidak tertakluk pada satu-satu makna secara mutlak. Para ulama muktabar dan pakar pemikir Islam mempunyai istilah yang pelbagai dalam mentakrifkannya, Antaranya :
1. Mazhab Hanafi: Orang-orang yang bertindak keluar daripada mentaati pemimpin yang sah secara tanpa hak (tidak sah). [Hasyiyah Ibn `Abidin dan Syarhu Fath Al-Qadir]
2. Mazhab Maliki: Menahan diri dari melaksanakan ketaatan kepada khalifah dalam perkara selain maksiat secara mughalabah(menentang) walaupun dengan takwil(alasan tertentu sama ada benar ataupun tidak), serta menyanggahi pemerintah yang berkuasa atau wakilnya untuk mencegah hak pemerintah yang wajib mereka tunaikan, dengan tujuan untuk menggantikannya.
[Hasyiah Az-Zarqani dan Hasyiah As-Syaibani]
3. Mazhab Syafie: Sekumpulan muslim yang menentang pemimpin dengan menggunakan kekerasan dan meninggalkan ketaatan atau enggan menunaikan hak yang wajib ke atas mereka. Dengan syarat mereka itu memiliki kekuatan senjata, mempunyai alasan penentangan dan mempunyai ketua. [Nihayah Al-Muhtaj]
4. Mazhab Hanbali: Mereka yang keluar daripada mentaati pemimpin sekalipun yang tidak adil dengan alasan yang patut(takwil sa-igh), dan mereka mempunyai kekuatan senjata walaupun tidak mempunyai ketua. [Asna Al-Matolib]
AL-BUGHAH MENURUT SEBAHAGIAN ULAMA KONTEMPORARI
Dr.Abdul Qadir `Awdah:
“Para ulama Islam tidak sekata dalam membuat takrifan tentang Al-Bughah kerana mereka berselisih pendapat tentang syarat-syarat bahawa sesuatu kumpulan itu boleh dikatakan melakukan pemberontakan terhadap kerajaan yang sah, namun bukanlah berselisih pada sifat dan rukunnya.
Walau bagaimanapun mereka bertungkus-lumus berijtihad untuk melahirkan suatu takrifan yang disepakati meliputi rukun-rukun asas yang menyebabkan sesuatu penentangan itu diambil kira sebagai pemberontakan(al-Baghyu). Maka satu takrif atau definisi yang disepakati oleh seluruh ulama Islam tentang al-Bughah ialah penentangan terhadap pemerintah dengan menggunakan kekerasan.”
Dr.Abdul Fattah Muhammad Fayed:
“Saya cenderung untuk memilih pengertian al-bughah yang dihuraikan menurut mazhab Maliki berdasarkan dua faktor berikut:
1. Mana-mana individu yang terkeluar daripada mentaati pemerintah dianggap sebagai pemberontak berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda: “Barangsiapa yang telah berbaiah kepada seorang pemimpin, dan telah menghulurkan tangan dan hatinya(memberi baiah atau kesetiaan) kepadanya, maka hendaklah dia mentaatinya selagi termampu. Sekiranya datang seorang lain yang cuba menentangnya (memerangi pemimpin yang dibaiah itu), maka pancunglah kepala penentang itu”.
2. Mana-mana individu yang bercanggah dengan pemerintah sekalipun tidak mempunyai takwil(alasan), mereka tetap dikira sebagai pemberontak bersandarkan kepada beberapa dalil umum yang mewajibkan hukuman dijatuhkan ke atas pemberontak yang mentakwil selagimana mereka beragenda untuk menggulingkan pemerintah dan menahan diri daripada taat setia. Hendaklah dijatuhkan ke atas mereka hukuman pemberontak, bukannya hukuman ke atas kaum kafir yang memerangi Islam.”
SYARAT-SYARAT JENAYAH Al-BUGHAH
Terdapat beberapa syarat yang perlu disahihkan untuk menyabitkan jenayah pemberontakan seperti berikut:
1. Berpaling daripada melaksanakan ketaatan terhadap pemerintah.
2. Hendaklah kerajaan yang memerintah merupakan kerajaan yang adil.
3. Hendaklah tentangan yang dilakukan bersifat takwil(penafsiran agama).
4. Terbukti akan kewujudan mens rea(niat melakukan jenayah) oleh pemberontak.
5. Hendaklah tuntutan tersebut bersifat menentang berserta tindakan yang zalim.
6. Terbukti bahawa pemberontak mempunyai kekuatan sama ada dari sudut bilangan, persenjataan, material dan sebagainya yang mampu mencetuskan konflik.
7. Hendaklah para pemberontak mempunyai tokoh yang memimpin dan menyokong pergerakan mereka.
Sekiranya kesemua syarat di atas dapat disahihkan, maka secara automatik kerajaan pemerintah mempunyai hak untuk mencegah perbuatan mereka secara berperingkat. Bermula dengan rundingan sehinggalah menghalalkan darah pemberontak yang enggan bertaubat.
HUKUM MEMBUNUH PEMBERONTAK
Para ulama bersepakat bahawa hukum membunuh pemberontak adalah fardhu kifayah. Sekiranya pelaksanaan hukuman tersebut dilaksanakan oleh sebahagian golongan, maka gugur dosa bagi sebahagian yang lain yang tidak melaksanakannya. Maka dalam konteks negara yang mempunyai kerajaan, kuasa menjatuhkan hukuman hanya layak dilaksanakan oleh pihak pemerintah atas dasar amanah kepimpinan dan kekuasaan yang dipertanggungjawabkan ke atasnya.
PELAKSANAAN MEMERANGI PEMBERONTAK
Syariat telah menetapkan bahawa wajar memerangi dan menjatuhkan hukuman ke atas para pemberontak yang terbukti mempunyai agenda serta usaha menggulingkan kerajaan Islam yang adil. Namun terdapat beberapa perbezaan antara pelaksanaan hukuman ke atas pemberontak dengan pelaksanaan hukuman ke atas kaum kafir yang memerangi Islam walaupun kedua-duanya mempunyai tujuan yang sama, antaranya:
1. Langkah memerangi pemberontak hendaklah berlaku atas dasar pencegahan, bukan permusuhan.
2. Tidak mencederakan dengan sengaja, bahkan perlu bertindak menghulurkan bantuan dan rawatan sekiranya mereka dalam kesakitan.
3. Tidak menghina dengan menjadikan ahli keluarga mereka sebagai tebusan.
4. Tidak membunuh ahli keluarga mereka.
5. Tidak membekukan harta mereka.
6. Tidak melabel mereka sebagai golongan yang mensyirikkan Allah.
7. Tidak membakar rumah dan menghancurkan tanaman yang mereka miliki.
No comments:
Post a Comment