Ulama-us su’ – Manusia paling bahaya
`Ulama-us su’ ertinya ulama yang buruk. Namun, pada umumnya masyarakat mengertikan ulama-us su’ ini sebagai ulama yang keji atau ulama yang jahat. Ulama yang tidak mengikuti jejak nabi s.a.w. ini, mempunyai bermacam-macam model. Ada yang menjadi tukang fitnah, ada yang menjual agama dan ada pula yang rosak akhlaknya. Golongan ulama jenis ini, sentiasa wujud pada setiap masa dan zaman untuk merosakkan masyarakat.
Di dalam sejarah Islam, hampir setiap zaman dapat ditemui ulama semacam ini. Namun, agama suci ini tetap dapat di bersihkan dengan kemunculan ulama-ulama yang ikhlas mempertahankan dan membersihkan agama Allah. Di kalangan masyarakat awam di negara kita, gelaran ulama yang diberikan kepada seseorang itu amat disanjungi lagi di hormati. Gelaran-gelaran seperti tok guru, ustaz dan sebagainya merupakan simbol penghormatan masyarakat terhadap golongan ini, yang mempunyai kelulusan tinggi dalam pengetahuan Islam.
Oleh kerana kedudukan ulama di dalam ajaran Islam adalah tinggi seperti mana sabda Rasulullah s.a.w. “Ulama itu adalah pewaris para nabi” (Riwayat Tirmizi), maka masyarakat awam amat mempercayai golongan yang dilabelkan sebagai ulama tersebut. Sedangkan tidak semua ulama boleh dilabel dan di katakan sebagai pewaris para nabi, apatah lagi untuk mengikutinya, jika terbukti mereka tidak menurut jejak serta akhlak baginda Rasulullah s.a.w.
Hal ini pernah diisyaratkan oleh sabda baginda: “Celakalah bagi umatku (akibat) daripada (perbuatan) ulama-us su’.” (Riwayat al-Hakim). Sabdanya lagi “Seburuk-buruk sesuatu daripada yang paling buruk ialah ulama yang buruk dan sebaik-baik sesuatu daripada yang paling baik ialah ulama yang baik.” (Riwayat Ad-Darimi). Masyarakat akan musnah dan rosak apabila ulama-us su’ ini dijadikan imam untuk diikuti serta dipercayai. Oleh itu, masyarakat awam harus mengetahui perbezaan antara ulama-us su’ dengan ulama yang mewarisi ilmu para nabi.
Dua ciri ulama us-su’ yang paling berbahaya di dalam masyarakat kita pada hari ini, iaitu: Ulama us-su’ yang menyesatkan orang ramai dan kedua, ulama-us su’ yang menjadi tukang fitnah. Golongan pertama ini menyesatkan orang ramai dengan fatwa-fatwa mereka yang salah. Oleh kerana mereka orang-orang yang dipercayai, maka apa sahaja yang mereka katakan, akan di anggap sebagai pedoman serta menjadi pegangan di dalam masyarakat. Namun sebenarnya mereka mengeluarkan pendapat atau fatwa yang mengelirukan. Apa yang sebenarnya `haram’ menurut Allah dikatakan `halal’, dan sebaliknya apa yang halal menurut Allah di `haram’ kan pula.
Ulama-ulama demikian suka mentafsir ayat-ayat al-Quran serta hadis-hadis nabi mengikut nafsu serta selera mereka sahaja. Mereka gemar mengeluarkan fatwa tanpa banyak berfikir serta membuat rujukan. Dan bagi masyarakat awam yang jahil pula akan mudah percaya dan terpesona dengan gelagat ulama-ulama-us su’ ini. Kesannya, masyarakat akan hidup di dalam kesesatan dan kehancuran. Ulama-us su’ ini tidak hanya terdapat di dalam agama Islam, malah ulama seperti ini pernah merosakkan masyarakat Yahudi serta Nasrani seperti yang pernah diceritakan oleh seorang sahabat nabi bernama Ady bin Hatim.
“Aku pernah datang kepada Rasulullah s.a.w., dan pada leherku tergantung sebuah salib yang diperbuat daripada emas, Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku “Wahai `Ady lemparkanlah berhala ini (salib).” Kemudian baginda membaca ayat ini: “Mereka menjadikan orang-orang alim (ulama-ulama atau ketua-ketua agama) dan pendeta-pendeta mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah.” (At-Taubah: 31). Maka saya bertanya: “Wahai Rasulullah, mereka itu tidak menyembah ulama-ulama dan pendeta-pendeta mereka itu.” Nabi pun bertanya: “Bukankah para ketua agama dan para pendeta itu menghalalkan bagi mereka terhadap barang yang diharamkan oleh Allah, maka kemudian mereka (pengikut) ikut menganggap halal, dan para ketua agama dan para pendeta itu mengharamkan bagi mereka terhadap barang yang dihalalkan oleh Allah, maka kemudian mereka ikut menganggap haram?” Saya menjawab “Betul ya Rasulullah.” Maka baginda pun menjawab: “Demikian itulah yang di namakan ibadah ( menyembah ) kepada mereka.”
Ulama-us su kedua ialah ulama yang menjadi penyebar fitnah. Rasulullah pernah bersabda: “Akan datang suatu zaman di mana agama Islam hanya tinggal namanya sahaja, dan al-Quran pula hanya tinggal huruf dan tulisannya. Masjid-masjidnya cantik dan megah, tetapi sunyi daripada petunjuk. Ulama mereka adalah manusia yang paling jahat di antara yang ada di bawah langit. Daripada para ulama ini muncul bermacam-macam fitnah dan (fitnah itu) kembali ke dalam lingkungan mereka.” (Riwayat Baihaqi ).
Ulama jenis ini merupakan golongan ulama yang paling berbahaya sekali. Ini kerana ia bukan hanya memporak perandakan masyarakat semata-mata tetapi turut sama mencemarkan nama serta imej institusi ulama itu sendiri. Kesannya. Masyarakat akan hilang hormat serta memandang rendah kepada ulama-ulama lain yang ikhlas di dalam perjuangan mereka.
Bagaimanakah seorang ulama boleh menjadi penyebar fitnah?
Jawapannya mudah sahaja. Sama ada disengaja atau tidak, apabila seseorang ulama itu mula membenci terhadap sesuatu fahaman atau golongan lain, maka sudah tentu golongan atau fahaman yang tidak sealiran dengannya itu bakal dicerca, dikutuk atau dituduh dengan pelbagai cara, agar masyarakat menjauhi serta menolak fahaman atau golongan yang tidak sealiran dengannya itu. Maka tanpa disedari oleh ulama tersebut, ketika dia mengeluarkan penilaiannya terhadap fahaman atau golongan tertentu itu, penilaiannya sudah mula bercampur baur dengan rasa marah, iri hati, benci serta berprasangka. Dan fitnah pun terjadi tanpa disedarinya.
Ulama tukang pembawa fitnah ini, tidak hanya menabur fitnah semata-mata tetapi lebih daripada itu kadang kala dia sanggup membuka aib serta keburukan orang lain di hadapan khalayak ramai. Sedangkan Allah telah mengingatkan kita dengan firman-Nya: “Sesungguhnya orang-orang yang suka agar tersebar keburukan di kalangan orang-orang beriman, bagi mereka adalah azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui (segala perkara), sedang kamu tidak mengetahui.” (An-Nur: 19). Inilah janji Allah kepada mereka yang suka menabur fitnah.
Fitnah yang dilakukan oleh ulama-us su’ ini adalah lebih bahaya daripada fitnah yang dilakukan oleh masyarakat awam. Ini kerana golongan ulama lebih mudah dipercayai orang ramai, kerana mereka berselindung di sebalik pakaian ala-ulama serta ucapan-ucapan mereka juga di campurkan adukkan dengan ayat-ayat al-Quran serta hadis-hadis nabi. Dan ini akan lebih meyakinkan lagi bagi masyarakat yang kurang pengetahuannya mengenai agama Islam. Kesannya, tingkah laku ulama-us su’ yang gemar memfitnah ini sedikit demi sedikit akan diikuti oleh masyarakat tanpa kita sedari.
Islam sebenarnya telah memberi garis panduan menghadapi golongan semacam ini di antaranya: Pesanan serta ingatan daripada firman Allah “Hai orang-orang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal di atas perbuatanmu itu.” (Al-Hujurat: 6 ). Dan “Maka bertanyalah kamu semua kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (An-Nahl: 43).
Kesimpulannya, ulama-us su’ yang suka mencetuskan fitnah serta gemar memberi fatwa-fatwa yang sesat adalah amat berbahaya kepada masyarakat. Maka tidak hairanlah mengapa Rasulullah mendakwa bahawa ulama-us su’ merupakan sejahat-jahat manusia sebagaimana kisah ini. Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah, “Ya Rasulullah, siapakah manusia yang paling buruk atau jahat?” Rasulullah menjawab, “Ya Allah, hapuskanlah dosa-dosa kami. Bertanyalah kamu daripada hal-hal kebaikan dan janganlah bertanya daripada hal kejahatan. (Ketahuilah) Sejahat-jahat manusia itu, ialah seburuk-buruk ulama di tengah-tengah manusia.” (Riwayat al-Bazzar). Dan benarlah juga pesanan yang diutarakan oleh Mu`az bin Jabal “Hendaklah kamu berhati-hati dan takut terhadap tergelincirnya seorang alim kerana kedudukannya yang agung di sisi orang ramai. Kemudian orang ramai itu ikut sama tergelincir dengannya.”
(Oleh MUHAMMAD AZLI SHUKRI )
No comments:
Post a Comment