Wednesday, 4 February 2015

PERMERHATIAN, PEMIKIRAN DAN KESIMPULAN

Konsep Pemikiran Kritis

Definisi

Pemikiran kritis dapat dilihat sudut pengertiannya dari segi bahasa dan istilah. Frasa ‘pemikiran kritis’ adalah merupakan gabungan atau hubungan antara dua perkataan iaitu ‘pemikiran’ dan juga ‘kritis’. Mudah untuk mentafsirkan maksud ‘pemikiran’ iaitu merujuk kepada kebolehan manusia untuk mencipta gagasan-gagasan dan pengertian-pengertian, berhujah, menilai, serta membuat keputusan.

Dari sudut bahasa perkataan kritis berasal daripada perkataan Inggeris ‘ Critic’. Namun begitu kata dasar ‘kritis’ merupakan perkataan Greek ‘Kriths’ ( kritikos) yang bermaksud menimbang (judge). Menimbang pula membawa maksud menilai (evaluates), membezakan (distinguishes), memutuskan (decide) dan menyoal (question) sama ada sesuatu itu benar atau salah.[1] Dalam Kamus Dewan (1984) pula, perkataan ‘kritis’ ditakrifkan sebagai “tidak dengan begitu sahaja menerima atau mempersetujui sesuatu malahan menimbangkan buruk dan baiknya terlebih dahulu”.

Pemikiran kritis dari sudut istilahnya membawa pengertian sebagai ikhtiar dan daya intelektual dan moral untuk membangun, mempertajam dan memperhalusi serta mengembangkan sesuatu bidang ilmu tersebut. Disamping itu, pemikiran kritis juga boleh ditakrifkan sebagai pemikiran reflektif yang berusaha untuk memutuskan sama ada untuk menerima atau menolak sesuatu maklumat. Ia juga turut menekankan tentang soal fakta yang benar ataupun salah, soal bahasa yang mana jelas atau kurang jelas dan terutama sekali soal susunan hujah sama ada sah atau sebaliknya bagi sesuatu perkara.

Selain itu, pemikiran kritis dalam erti kata lain boleh ditakrifkan oleh Nik Azis sebagai “pemikiran yang meletakkan logik antara gerak hati dengan tindakan. Pemikiran kritis akan menganalisa isu-isu, tetapi berfikir secara holistik dan melihat masalah daripada berbagai- bagai dimensi. Mereka berusaha menyelesaikan masalah dan bukan bergiat mencetuskan pelbagai krisis baru”.[2]

Setiap ahli sarjana sains pemikiran meletakkan pengertian terhadap frasa ‘pemikiran kritis’ kepada pelbagai maksud berasaskan kepada pengalaman dan hasil kajian mereka. Antara definisi yang telah diletakkan adalah seperti “...berfikir secara serius (mendalam) dan seterusnya membuat pertimbangan daripadanya”,[3] merupakan definisi yang diletakkan oleh Dewey pada tahun1993. Selain itu, Som dan Mohd Dahalan pada tahun 1999 telah mentakrifkan pemikiran kritis sebagai “kecekapan dan keupayaan menggunakan minda untuk menilai kemunasabahan atau kewajaran sesuatu idea, meneliti kebernasan, kebaikan dan kelemahan sesuatu hujah dan membuat pertimbangan yang wajar dengan menggunakan alasan dan bukti yang munasabah”.[4]

Ciri-Ciri Pemikiran Kritis

Pemikiran kritis mempunyai beberapa elemen iaitu elemen pemikiran yang bersifat konsisten, logikal, analisis, penilaian, kritikal dan tidak berat sebelah. Ciri-ciri pemikiran kritis ini adalah saling berkaitan antara satu sama lain. Andaikata bersifat konsisiten maka akan mempunyai kaitan dengan ciri pemikiran berbentuk logikal dan sebagainya. Hal ini dibincangkan lebih lanjut dalam menceritakan mengenai budaya berfikir kritis Saidina Abu Bakar As-Siddiq dalam perbincangan selanjutnya.

Elemen pemikiran kritis bersifat konsisten bererti bahawa pemikiran yang dibuat adalah tetap dan tidak berubah. Setelah membuat keputusan tentang sesuatu perkara, maka ia tidak akan berganjak daripada keputusan tersebut. Namu begitu, ia mesti bersesuaian dengan prinsip benar kerana benar dan salah kerana salah.[5]

Kedua, pemikiran kritis bersifat logikal yang boleh difahami bahawa logik akan menentukan sama ada sesuatu itu benar atau tidak dan ia bersandarkan kepada hujah akal. Ketiga, pemikiran kritis bersifat analisis yang bererti memberi perhatian terhadap unsur, elemen, bahan, perkara satu persatu dan bertujuan menghurai dan meneliti satu persatu sesuatu perkara itu.

Sekiranya diperhatikan, pemikiran kritis yang bersifat penilaian penting dalam membantu individu membuat keputusan secara bijak dalam sesuatu perkara. Tanpa cirri pemikiran kritis seumpama ini maka seseorang tidak dapat membuat keputusan dengan bijak dan tepat.

Selain itu, pemikiran kritis bersifat kritikal boleh difahami sebagai menimbang yang membawa maksud menilai, membezakan, memutuskan dan menyoal sama ada sesuatu perkara itu benar atau salah. Elemen pemikiran ini adalah penting dalam kemahiran pemikiran kritis.

Akhir sekali, pemikiran kritis juga bersifat tidak bias atau tidak berat sebelah. Tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam meletakkan sesuatu keputusan. Bersifat neutral dan tidak berat sebelah membolehkan ia rasional dan waras dalam membuat justifikasi sesuatu perkara. Keenam-enam ciri atau elemen pemikiran kritis ini telah diterapkan oleh Abu Bakar As-Siddiq dalam kepimpinannya ketika beliau menjadi khalifah umat Islam pertama selepas kewafatan Rasululllah s.a.w. Hal ini boleh diperhatikan dalam perbincangan selanjutnya mengenai pemikiran kritis Abu Bakar As-Siddiq yang menjadi tajuk utama perbincangan.

Tujuan dan Kepentingan Pemikiran Kritis

Bidang pemikiran kritis bertujuan mengajarkan kaedah-kaedah pemikiran yang digunakan untuk berhujah secara lebih berkesan. Hal ini bermaksud bahawa yang penting bukan pada aspek psikologi pemikiran. Psikologi mengkaji cara pemikiran yang sebetulnya digunakan oleh manusia.

Pemikiran kritis menumpukan perhatian kepada kaedah-kaedah yang seharusnya digunakan oleh manusia untuk berfikir secara berkesan. Aspek yang diutamakan dalam bidang pemikiran kritis ialah penghujahan, iaitu cara memberi alasan untuk menyokong atau menentang sesuatu pendapat.

Pemikiran kritis adalah amat penting dalam kehidupan seharian baik kepada petani, penjaja, guru, jurutera, pensyarah, ahli korporat mahupun sebagai seorang pelajar.[6] Budaya berfikir secara kritis perlu dititikberatkan dalam konteks kehidupan seharian dalam segala situasi dan keadaan sekalipun yang dihadapi sepanjang perjalanan hidup.

Bukan semua perkara yang dinyatakan adalah benar dan adil. Adakalanya perkara yang dinyatakan adalah tidak benar, dipalsukan dan diselewengkan. Oleh itu, tidak boleh menerima sesuatu perkara itu secara keseluruhan malahan perlu kepada penilaian secara kritis. Daya pemikiran memerlukan ketajaman dan kepersisan berfikir. Segala pengaruh negatif dapat melumpuhkan pemikiran individu.

Oleh yang demikian, pemikiran kritis amat penting sama ada dalam hal yang kecil mahupun besar. Hal ini kerana berkemungkinan hal yang kecil itu memberi kesannya sangat besar kepada masa depan dalam kehidupan individu. Oleh itu, pemikiran kritis perlu dalam kehidupan seharian.

No comments:

Post a Comment