Friday, 27 February 2015

AKHLAK DAN BUDI PEKERTI AHLUS SUNNAH WAL JAMA’AH

AKHLAK DAN BUDI PEKERTI AHLUS SUNNAH WAL JAMA’AH

Ahlus Sunnah wal Jama’ah selalu memperindah din mereka dengan akhlaqul karimah dan budi pekerti yang mulia yang merupakan penyempurna akidah. Dan di antara buahnya adalah:

1. Selalu ber-amar ma’ruf dan nahi munkar, sebagaimana Allah s.w.t. ungkapkan tentang mereka, Allah s.w.t. berfirman,

“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk umat manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.” (Ali Imran: 110).

Ma’ruf adalah sebutan untuk segala sesuatu yang dicintai oleh Allah, seperti iman dan amal soleh. Sedangkan Munkar (kemungkaran) adalah sebutan untuk segala sesuatu yang tidak disukai Allah dan dicegah-Nya, berdasarkan bimbingan syariat agama, iaitu dengan tangan, lalu dengan lisan dan kemudian dengan hati sesuai dengan kemampuan dan maslahat. Ini tentu sangat berbeza dengan kelompok Mu’tazilah yang berpandangan bahawa amar ma’ruf dan nahi munkar itu adalah keluar (membelot dan menentang) dari para pemimpin (pemerintah).

2. Ahlus Sunnah berpandangan: melaksanakan ibadah haji, solat juma’at dan solat ‘ied itu harus dilaksanakan bersama para umara’, sama ada mereka sebagai orang soleh ataupun sebagai orang fajir; dan mereka berkeyakinan bahawa kewajiban penegakkan syi’ar ini (amar ma’ruf dan nahi munkar) dilakukan bersama barisan pemerintah kaum muslimin, yang soleh ataupun fajir, apakah mereka adalah orang-orang yang soleh konsisten kepada din mahupun fasik yang kefasikannya tidak sampai menyebabkan keluarnya dari Islam, (yang demikian itu) demi persatuan dan menghindari perpecahan dan perselisihan, dan juga kerana pemimpin yang fasik itu tidak boleh diturunkan dari jabatannya kerana kefasikannya dan tidak boleh membangkang terhadap dia, sebab akan berakibat hilangnya hak-hak dan ditakuti boleh mengakibatkan berlakunya pertumpahan darah.

Syaikhul Islam lbnu Taimiyah rahimahullah berkata, “Hampir tidak ada suatu kelompok yang rnembangkang terhadap pemimpin (penguasa) melainkan pembangkangannya itu menimbukan kerosakan yang lebih besar daripada usaha pembaikannya. Sedangkan Ahlul Bid’ah berpandangan, para penguasa wajib diperangi dan ditentang (khuruj) apabila mereka melakukan kezhaliman atau telah diduga melakukan kezhaliman. Mereka berpandangan demikian sebagai wujud dari amar ma’ruf dan nahi munkar.

3. Di antara ciri Ahlus Sunnah wal Jama’ah adalah mereka selalu memelihara jamaah, melaksanakan solat wajib secara berjamaah (di masjid), melaksanakan solat Juma’at dan lain-lain, ini adalah kerana hal-hal tersebut merupakan syi’ar-syi’ar Islam yang paling agung, ketaatan kepada Allah, dan Rasul-Nya.

4. Mereka selalu memberikan nasihat kepada umat, kerana mereka memandang nasihat merupakan sebahagian dari Dinul Islam. Nasihat adalah keinginan tercapainya kebaikan bagi yang diberi nasihat dan membimbingnya menuju kemaslahatannya.

Jadi, Ahlus sunnah wal Jama’ah selalu menghendaki kebaikan bagi umat dan membimbing mereka menuju apa yang menjadi maslahat baginya.

5. Termasuk ciri dan sifat Ahlus sunnah adalah saling tolong menolong di dalam kebajikan dan bersimpati terhadap penderitaan orang lain sesama mereka. Mereka benar-benar meyakini makna sabda Rasulullah s.a.w.,

“Seorang rnukmin terhadap saudara mukmin lainnya adalah bagaikan satu bangunan yang sebahagiannya rnenguatkan sebahagian yang lain.” Beliau bersabda sambil merangkai jari-jari tangan beliau yang satu kepada jari-jari tangannya yang lain.” (Muttafaq alaih)

Sabda beliau juga,

“Perumpamaan kaum mukmin di dalam saling cinta-mencintai, sayang menyayangi dan saling tenggang rasa adalah bagaikan satu batang tubuh, apabila satu anggota tubuh sakit, maka seluruh tubuh turut merasakan sakit dan tidak boleh tidur.” (Muttafaq alaih)

6. Ciri Ahlus Sunnah juga adalah keteguhan pendirian di dalam pelbagai cubaan, mereka menyuruh bersabar di kala mendapat cubaan dan ujian, bersyukur di saat senang, dan redha terhadap pahitnya ketentuan Allah.

Sabar ketika mendapat cubaan adalah menahan diri dari rasa sedih, menahan lisan dari keluhan dan rasa tidak rela, menahan anggota tubuh (tangan), dan perbuatan (jahiliyah, seperti) memukul-mukul pipi dan merobek-robek baju di bagian dada.

Bala’ adalah ujian berbentuk musibah dan kesengsaraan.

Bersyukur di saat senang, ertinya menggunakan nikmat yang dikurniakan Allah pada jalan ketaatan kepada-Nya.

Kelapangan atau kesenangan yang dimaksudkan adalah berlimpah-ruahnya kenikmatan.

Redha terhadap getirnya Qadha’ (ketetapan) Allah. Ertinya, kita tidak murka dan murung kerananya.

Qadha’ ertinya kehendak Allah yang berhubung dengan segala sesuatu sebagaimana adanya.

Murr al-Qadha’ (getirnya/beratnya/oayahnya ketetapan), ertinya segala sesuatu yang tidak disukai yang menimpa pada seseorang, seperti sakit, kemiskinan, gangguan orang lain, panas, dingin, dan bencana-bancana lainnya.

7. Ahlus Sunnah sangat memperlihatkan akhlaqul Karimah. Mereka mempercantik diri dengan akhlak mulia dan mengajak orang lain untuk berakhlak mulia. Mereka mengajak kepada amal-amal yang terbaik, seperti keberanian, kejujuran dan amanah. Mereka sangat meyakini sabda Rasulullah s.a.w.:

“Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah mereka yang paling baik akhlaknya.” (Diriwayatkan oleh Ahmad dan at-Tirmidzi, at-Tirmidzi menyatakan ia Hasan Sahih)

Mereka benar-benar meyakini hadis tersebut dan mengamalkan kandungannya.

Dalam hadis tersebut, أحسنهم خالقا ia membawa erti: yang lembut, lebih ramah, dan lebih indah akhlaknya.

Ahlus Sunnah mengajak untuk bermuamalat (bergaul) dengan sesama manusia dengan cara yang terbaik, memberikan hak-hak kepada pemiliknya, dan mereka juga melarang sifat-sifat tersela, seperti sombong (takabbur) dan mengganggu orang lain. Mereka menyerukan kepada anda agar menjalin silaturrahmi dengan orang yang memutus hubungan dengan anda. Maksudnya adalah berlaku baik terhadap orang yang berlaku buruk kepada anda; memberi kepada orang yang bakhil kepada anda. Anda keluarkan pemberian, berupa pemberian sukarela, hadiah, dan lain-lain, kepada orang yang meemrlukan terhadpa anda. Perbuatan seperti itu termasuk ihsan; dan anda juga memaafkan orang yang menzalimi anda, sama ada terhadap harta, darah, atau pun kehormatan, kerana sikap seperti itu dapat menimbulkan rasa cinta dan kasih dari pelaku kezaliman itu dan mendatangkan pahala dari Allah.

Ahlus Sunnah memerintahkan apa yang diperintahkan oleh Allah, seperti memberikan hak kepada orang-orang yang berhak menerimanya. Mereka mengajak untuk berbakti kepada ibu bapa (kedua orang tua) dengan cara patuh kepada mereka di dalam masalah yang tidak berupa kemaksiatan, berbuat baik kepada mereka dalam bentuk ucapan da perbuatan; bersilaturrahmi, yakni berbuat baik kepada kaum kerabat yang dekat, sama ada terhadap tetangga dengan mengorbankan kebaikan dan tidak mengganggu mereka; dan berbuat ihsan kepada anak-anak yatim, dengan cara mengelola dan membina keadaan mereka dan harta mereka serta berbelas kasih kepada mereka. Juga berbuat ihsan kepada kaum dhu’afa (fakir dan miskin) dengan cara memberi sedekah dan bersikap ramah kepada mereka; berbuat ihsan kepada musafir, ramah kepada apa saja yang dimiliki, termasuk kepada haiwan ternak sendiri. Ramah atau ebrsikap lembut itu lawan dari sikap kasar.

Ahlus Sunnah mencegah sikap membangga-banggakan diri, sombong dan zalim. Maksud membangga-banggakan diri dan sombong adalah membangga-banggakan kehormatan dan kelebihan, seperti kedudukan dan keturunan. Zalim ertinya, penganiayaan terhadap orang lain dan mempersendakannya, seperti mereka lebih mulia daripada orang lain dan menganggap remeh mereka serta menyakiti mereka dengan haq ataupun tidak haq. Sebab, orang yang melecehkan/memperkecilkan orang lain dengan haq maka ia telah berbangga diri; dan jika melecehkan dengan cara tidak haq maka ia telah berbuat zalim. Kedua-duanya tidak boleh dilakukan.

Ahlus Sunnah sangat mengajak kepada akhlak yang mulia, iaitu akhlak yang terpuji dan melarang akhlak yang buruk dan perendahan.

Semua apa yang dikatakan dan dikerjakan oleh Ahlus Sunnah dan apa yang mereka perintahkan dan apa yang mereka larang sebagaimana tersebut di atas dan hal-hal yang tidak disebutkan, semuanya mereka ambil dari al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah s.a.w., mereka sama sekali tidak mengada-ada (melakukan bid’ah) dari sisi mereka sendiri dan tidak bertaklid kepada siapa-siapa, sebab Allah s.w.t. telah berfirman,

“Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu bapa, karib kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak rnenyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.” (An-Nisa’: 36)

Hadis-hadis di atas yang semakna dengan ayat di atas sangat banyak sekali, di antaranya adalah yang telah tersebut di atas.

Keunggulan Ahlus Sunnah wal Jama’ah Yang Teragung

Iaitu bahawa jalan mereka adalah al-Islam. Islamlah mazhab dan jalan mereka menuju Allah di saat terjadi iftiraq (perpecahan) sebagaimana telah diberitakan oleh Rasulullah s.a.w. yang akan terjadi pada umat ini; mereka konsisten kepada Islam dan mereka menjadi golongan yang selamat (firqah Najiyah) di antara firqah-firqah yang ada, dan mereka pulalah jamaah yang konsisten berpegang teguh kepada ajaran yang dianut oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya, iaitu Islam yang murni dari segala noda syirik dan bid’ah. Maka dari itu mereka berhak menyandang julukan “Ahlus Sunnah wal Jama’ah”, dan di antara mereka ada orang-orang yang shiddiq yang benar-benar telah mencapai peringkat kejujuran dan keimanan, ada syuhada yang gugur di jalan Allah dan orang-orang soleh yang banyak mempunyai amal soleh. Di antara mereka juga ada yang sebagai tokoh-tokoh panutan/ikutan, lentera terang di kegelapan malam yang mempunyai banyak kelebihan dan keunggulan.

Jadi, di dalam Ahlus Sunnah terdapat para tokoh ulama terkemuka yang mempunyai segala sifat terpuji, sama ada secara teori (ilmu) mahupun amalan. Terdapat pemuka-pemuka agama di dalam Ahlus Sunnah, seperti empat tokoh panutan/ikutan terkemuka (Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam asy-Syafi’i dan Imam Ahmad) berserta lain-lainnya. Merekalah golongan yang mendapat pertolongan Allah (ath-Tha’ifah al-Manshurah). Maksudnya: Ahlus Sunnahlah ath-Tha’ifah al-Manshurah yang disebut di dalam hadis, “Akan tetap ada segolongan dari umatku...” yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim.

Akhirnya, kami memohon kepada Allah s.w.t. semoga Dia membela agama-Nya dan meninggikan kalimah-Nya dan mengalahkan musuh-musuhnya.

No comments:

Post a Comment