Wednesday, 7 January 2015

GOLONGAN BAIK YANG DIBINASAKAN.

Golongan Baik Yang Dibinasakan
Analisa sesuatu peristiwa, penafsiran sejarah dan penjelasan sebab tersembunyi terhadap natijah yang tampak.. kesemuanya itu bergantung mengikut akidah penganalisis dan penafsir tersebut dan menurut juga neraca yang digunakan bagi mengukurnya. Ini melibatkan semua fenomena samada sosial, politik mahupun ekonomi.
Dari sinilah berlaku perbezaan ketara dalam penafsiran dan ijtihad. Seorang beriman akan dapat melihat dengan jelas hubungan di antara natijah dengan peristiwa-peristiwa dan keadaan disekelilingnya, seolah-olah ia boleh dilihat, disentuh dengan tangannya, dikupas lalu terbukalah kulit yang menutupnya. Tetapi, si kafir, jahiliyyah atau fasik tidak dapat melihat kesemua ini kerana hatinya telah tertutup oleh kelalaian, hawa nafsu dan syahwat.
Perbezaan begini semuanya adalah disebabkan oleh perbezaan neraca.
Di antara fenomena sejarah terpenting yang berbeza penafsiran atau analisanya ialah fenomena gejala sosial, kemunduran dan keruntuhan tamaddun yang berlaku selepas sesuatu kemajuan sains, binaan dan kebudayaan yang tinggi. Kejatuhan ini berlaku secara beransur-ansur sehingga berakhir dengan kemusnahan total mengejut oleh satu kuasa luar biasa.
Si kafir dan fasik berlegar-legar berputar di circle kosong dan semuanya adalah andaian bingung terhadap fenomena ini. Tetapi bagi muslim, mereka mempunyai satu kata putus dan pasti di dalam tafsirannya. Ia di ambil dari al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. dan telah disimpulkan oleh Amirul Mukminin Umar bin Al-Khattab r.a. dengan satu perkataan yang jamik tatkala beliau ditanya:
“Adakah sesebuah negeri itu boleh musnah padahal ia kelihatan makmur maju?”
Beliau menjawab: “Ya, apabila orang-orang jahat menguasai orang-orang baik.” 60
Inilah sebabnya dan inilah penyakit pembunuhnya.
Penguasaan si zalim ke atas golongan yang baik adalah sebab kepada segala kelam kabut dan rosaknya dunia.
Apabila si zalim atau fasik berkuasa, mereka akan melantik orang yang jahat dan fasik seperti mereka juga untuk mengurus apa-apa urusan. Mana-mana si fasiq tak dapat tidak adalah tawanan nafsu dan dah tertutup hatinya. Mereka hidup lalai dan tidak berfikir pun untuk kebaikan bangsa dan negara mereka.
Mereka juga bekerja untuk kepentingan peribadi mereka. Bertindak zalim, menindas dan menyeleweng. Banyak tenaga dan kemampuan kemanusiaan dipersia-siakan. Orang yang benar-benar layak dan berpotensi terpaksa bersembunyi mencari perlindungan kehormatan dan jasad mereka dari dicerobohi dan diseksa. Tinggallah urusan pentadbiran umat dipegang oleh mereka yang jahil dan berkepentingan. Hasilnya tersebarlah gejala keruntuhan masyarakat yang akhirnya membawa kemusnahan ekonomi dan ketamadunan ilmu.
Allah S.W.T. sangat sayang kepada agama dan kehormatan hamba-hambaNya. Oleh itu, tatkala ummat ini dikuasai oleh golongan fasiq, Dia memberi peluang kepada mereka. Allah S.W.T. suka sekiranya ada sekumpulan hambaNya yang baik akan bersegera memperbaiki keadaan ini, melawan dan menjatuhkan golongan yang jahat itu demi untuk mengembalikan manusia ke pangkal jalan dan mengembalikan kemakmuran. Jika ada kumpulan yang segera merealisasikan usaha ini, Allah menyuruh para malaikat untuk menolong mereka dan membukakan pintu limpah kurniaNya, berkatNya dan taufiqNya kepada mereka.
Jika ini tidak berlaku, Allah akan memberi masa lagi dan terus memberi masa. Hingga bila golongan fasiq itu terus bermaharajalela dan orang baik pula terus takut dan bacul untuk menjalankan misi amar makruf nahi mungkar, ketika itu Allah akan tersangat murka. Apabila Allah murka, kemurkaanNya akan terkena kepada seluruh manusia sama ada yang jahat; kerana kejahatan dan kezaliman mereka, dan juga orang yang baik; kerana diam mereka, malas dan redha menjadi hina.
Ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w membuktikan perkara ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-du’ah, Syeikhul Islam Taqiyuddin Ahmad Ibnu Taimiyah Al-Harrani ketika menjelaskan firman Allah S.W.T. :
وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً
“Takutilah fitnah (azab bencana) yang tidak khusus hanya menimpa orang-orang yang zalim saja di kalangan kamu..” (Al-Anfal 8:25)
Ibnu Taimiyah berkata:
“Sekumpulan salafussoleh telah membaca ayat tersebut dengan satu qiraat lain لتصيبن yang maksudnya:
“Azab itu pasti akan menimpa khusus ke atas mereka yang zalim sahaja.”
Kedua-dua qiraat di atas betul kerana orang yang telah melampaui batas-batas Allah adalah termasuk di dalam kategori zalim. Manakala orang yang tidak menegah orang zalim dari kezaliman di sini ada dua kemungkinan. Kemungkinan pertama dia dianggap tidak zalim kerana dia tidak bersubahat dengan orang zalim itu. Kemungkinan kedua mereka juga dianggap zalim kerana tidak menegah orang zalim padahal perbuatan zalim itu wajib dihalang.
Sebagaimana firman Allah S.W.T. :
فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ أَنْجَيْنَا الَّذِينَ يَنْهَوْنَ عَنْ السُّوءِ وَأَخَذْنَا الَّذِينَ ظَلَمُوا بِعَذَابٍ بَئِيسٍ بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ
“Tatkala mereka melupakan apa-apa yang diperingatkan kepada mereka, kami selamatkan orang­-orang yang melarang kejahatan dan Kami seksa orang­-orang yang zalim dengan azab yang keras, disebabkan mereka fasik.” (Al-A‘raf 7:165)
Allah menyelamatkan orang-orang yang menjalankan nahi mungkar dan menegah. Manakala mereka yang hanya benci pada dosa dan kejahatan dan berkata :
لِمَ تَعِظُونَ قَوْمًا اللَّهُ مُهْلِكُهُمْ أَوْ مُعَذِّبُهُمْ عَذَابًا شَدِيدًا
“Untuk apa kamu menasihati kaum yang Allah nak binasakan mereka atau menyiksa mereka dengan azab yang keras.” (Al-A’raf 7:164)
Sebahagian besar dari ulama’ menyatakan bahawa golongan kedua ini pun selamat kerana mereka itu benci kepada kejahatan dan menegah sekadar kemampuan mereka.
Manakala golongan yang tidak menyangkal langsung, maka mereka itu juga adalah termasuk dalam kategori zalim dan akan diazab, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w :
إِنَّ النَّاسَ إِذَا رَأَوْا ظَالِمًا فَلَمْ يَأْخُذُوا عَلَى يَدَيْهِ أَوْشَكَ أَنْ يَعُمَّهُمْ اللَّهُ بِعِقَابٍ مِنْهُ
“Sesungguhnya manusia, apabila mereka melihat si zalim dan mereka tidak menghalangnya, hampirlah Allah mengenakan mereka semua dengan azab daripadaNya.”61
Hadis itu menyokong ayat di atas. Apa yang dimaksudkan di sini bahawa kedua-dua bacaan tersebut (dengan penafian dan pengesahan – nafi dan ithbat) boleh dipakai dengan makna:
“Bukan sahaja menimpa orang yang zalim dan melampau sahaja bahkan azab itu terkena juga sesiapa yang melihat kemungkaran tetapi tidak merubahnya.”
Manakala siapa yang membaca dengan qiraat : لتصيبن
“Pasti akan menimpa khusus orang yang zalim dari kamu sahaja” Maka akan termasuk dalam pengertian zalim ialah orang yang tidak menyangkal kezaliman sedangkan dia mampu berbuat demikian. Mungkin erti ayat ini ialah mereka itu diazab di dunia dan dibangkitkan di akhirat mengikut niat mereka. Sama seperti angkatan tentera yang memerangi kakbah lalu mereka dibinasakan seluruhnya termasuk askar-askar yang dipaksa. Mereka ini dibangkitkan mengikut niat mereka.” 62
Di dalam tafsir ayat ini, Syed Qutb menyatakan bahawa Allah S.WT. menyebut balasan mereka yang melarang dari kejahatan ialah selamat. Manakala balasan bagi mereka yang zalim pula ialah ditimpa azab yang keras. Mereka yang mengingkari di dalam hati sahaja dan tidak melarang dari kemungkaran, Allah s.w.t. tidak menerangkan kepada kita balasan mereka dan tidak memberitahu kita nasib mereka. Senyapnya Allah dari menceritakan nasib mereka merupakan satu balasan untuk golongan yang seperti ini.
Majoriti ulama’ yang memperkatakan tentang ayat ini telah menyatakan bahawa mereka yang mendiamkan diri itu akan diazab juga kerana sikap mereka itu. Kenyataan ini ada diterangkan dengan jelas oleh Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya.
Sebahagian ulama’ mensifatkan balasan itu sebagai ‘qanun azab jama’I’ dalam sunnatuLlah. Ianya adalah qanun yang menggerun dan menakutkan, mendorong mereka yang tahu dan faham, atau menjadikan mana-mana orang yang berkuasa untuk segera mengubah kemungkaran yang sedang berlaku, supaya azab yang demikian tidak menimpa seluruh masyarakat.63
Tugas ini lebih berat lagi terkena ke atas pemerintah; kerana mereka mempunyai kuasa untuk menyuruh dan menghalang. Allah mengubah dengan kuasa apa-apa yang tidak dapat diubah oleh al-Quran. Sekiranya mereka memperbaiki masyarakat menurut hukum syariat Islam, membasmi kemungkaran, menegakkan keadilan dan memusnahkan punca maksiat, maka Allah akan memberi pahala kepada mereka; dengan sebaik-baik pahala di dunia dan sebaik-baik pahala di akhirat dan seterusnya mengukuhkan kekuasaan mereka di bumi. Tetapi sekiranya mereka mengabaikan tugas ini, Allah akan menjatuhkan hukumanNya ke atas mereka dan menimpakan azab kepada mereka dan rugilah mereka di dunia dan di akhirat, semoga Allah memperlindungi kita dari kehinaan itu.64
Orang yang memiliki hati yang hidup, dengan fitrah imannya mereka dapat merasai bahawa semua malapetaka, kekalahan dan kemunduran yang menimpa orang Islam hari ini, itu semua hanyalah suatu muqaddimah dan amaran terhadap azab yang lebih besar yang akan berlaku di hadapannya.
Umat Islam pada hari ini hanya tinggal Islam pada nama sahaja. Penyelewengan telah berlaku jauh. “Seseorang Islam itu sudah cukup untuk dikatakan menyeleweng apabila dia meninggalkan jihad di jalan Al­lah, melekat pada dunia, mencintai dunia melebihi akhirat, tunduk kepada syahwat dan tenggelam dalam maksiat, hingga mereka dihina oleh Allah dengan kegagalan yang paling besar kepada mereka dan menjadikan pimpinan mereka pada tangan golongan yang menyeleweng dan rosak.” 65
Menyedari hakikat ini, orang yang berhimmah tinggi wajarlah menyayangi dirinya agar tidak terkena qanun azab yang menggerunkan itu. Qanun azab itu adalah kepungan kukuh yang sedang mengepungnya sekarang. Usaha melepaskan diri dari menjadi mangsa rancangan penjinakan anak-anak singa sahaja belum memadai. Bahkan tidak memadai juga apabila telah selamat dari semua itu.
Tidak ada jalan untuk melepaskan diri dari kepungan qanun azab Allah yang menggerunkan itu kecuali satu tingkap sahaja sekarang. Tingkap ini ialah amar ma’ruf, nahi mungkar, menentang ahli mungkar, berjalan di jalan dakwah dan menyeru manusia kepada solat serta tunduk kepada syariat Allah.
Langkah di atas perlu dilaksanakan sebelum tibanya ‘qanun tamathul – persamaan’ qanun sunnatullah di alam ini yang akan membinasakan mereka. Sebelum mereka ditimpakan azab kerana melakukan maksiat-maksiat yang menyebabkan Allah membinasakan umat yang lalu.
“Sesuatu yang serupa itu mengambil hukum yang sama dengan yang serupanya. Apa yang terjadi kepada sesuatu, terjadi juga kepada apa yang sama dengannya. Mustahil dua perkara yang sama mempunyai hukum yang berbeza sebagaimana mustahilnya dua perkara berbeza sama hukumnya.
Qanun ini berlaku sama saja, ke atas individu atau bangsa-bangsa, hal dunia atau akhirat. Perkara ini ditunjukkan oleh al-Quran, di antaranya:
1. Firman Allah yang menerangkan apa yang berlaku ke atas kaum Yahudi Bani Nadhir, yang ditimpa azab dunia akibat kufur, memungkiri janji dan menipu Rasulullah s.a.w. dan orang-orang yang beriman :
هُوَ الَّذِي أَخْرَجَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مِنْ دِيَارِهِمْ لِأَوَّلِ الْحَشْرِ مَا ظَنَنْتُمْ أَنْ يَخْرُجُوا وَظَنُّوا أَنَّهُمْ مَانِعَتُهُمْ حُصُونُهُمْ مِنْ اللَّهِ فَأَتَاهُمْ اللَّهُ مِنْ حَيْثُ لَمْ يَحْتَسِبُوا وَقَذَفَ فِي قُلُوبِهِمْ الرُّعْبَ يُخْرِبُونَ بُيُوتَهُمْ بِأَيْدِيهِمْ وَأَيْدِي الْمُؤْمِنِينَ فَاعْتَبِرُوا يَا أُولِي الْأَبْصَارِ
“Dia yang mengeluarkan orang-orang yang kafir ahli kitab (Yahudi) dari kampung mereka, bagi kali pertamanya. Kamu tidak pernah menyangka bahawa mereka akan keluar, dan mereka pula merasai benteng-benteng mereka akan dapat melindungi mereka dari (seksaan) Allah. Allah datangkan (seksaan) kepada mereka dari luar jangkaan mereka dan dicampakkan ketakutan ke dalam hati mereka. Mereka robohkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri dan dengan tangan orang-orang Mukmin (dalam pertempuran). Maka ambillah pengajaran(iktibar) hai orang-orang yang berakal.” (Al-Hasyr 59: 2)
Perintah Allah supaya orang-orang yang berakal mengambil iktibar di dalam ayat: “Maka ambillah pengajaran(iktibar) hai orang-orang yang berakal”, jelas menunjukkan kepada ‘qanun persamaan’. Dengan kata lain, ayat itu bermaksud, “Wahai orang-orang yang mempunyai akal yang ok! Perhatilah apa yang terjadi itu dan jaga-jaga supaya kamu tidak ditimpa azab yang sama sekiranya kamu berbuat perbuatan yang sama.” Sesungguhnya sunnatullah (undang-undang Allah) hanya satu dan ia berlaku kepada semua. Apa yang terjadi ke atas sesuatu akan terjadi ke atas sesuatu yang seumpama dengannya.
Jelasnya, arahan supaya mengambil pengajaran itu tidak ada faedahnya jika perkara perbandingan itu tidak menerima hukuman yang sama dengan hukum yang terkena kepada perkara yang seumpama dengannya.
Allah S.W.T. berfirman :
وَلَقَدْ أَهْلَكْنَا الْقُرُونَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَمَّا ظَلَمُوا وَجَاءَتْهُمْ رُسُلُهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ وَمَا كَانُوا لِيُؤْمِنُوا كَذَلِكَ نَجْزِي الْقَوْمَ الْمُجْرِمِينَ
“Sesungguhnya Kami telah binasakan beberapa umat sebelum kamu, tatkala mereka berlaku zalim. Dan telah datang beberapa rasul kepada mereka dengan (membawa) keterangan, tetapi mereka tidak mahu beriman. Begitulah kami membalas kaum yang jahat.” (Yunus 10: 13)
Ayat al-Quran yang bermaksud “Begitulah kami membalas kaum yang jahat(mujrim)” menunjukkan bahawa apa yang terjadi kepada mujrim dahulu akan terjadi kepada mujrim yang muncul selepas mereka. Suatu perkara itu dihukum sama dengan yang seumpama dengannya. Sunnatullah itu satu dan ia berlaku kepada setiap orang yang jahat. Al­lah sahajalah tempat kita meminta pertolongan.
Allah S.W.T. telah berfirman :
أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَيَنظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ دَمَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ وَلِلْكَافِرِينَ أَمْثَالُهَا
“Mengapa mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu memperhatikan bagaimana kesudahan buruk orang-orang yang sebelum mereka? Allah telah membinasakan mereka; dan untuk orang-orang kafir (akan mendapat kebinasaan) yang sama seperti itu.” (Muhammad 47: 10)
Ayat itu jelas menunjukkan bahawa kemusnahan yang menimpa orang-orang kafir dahulu akan menimpa juga kepada orang-or­ang kafir yang kemudian kerana mereka itu sama-sama bersifat kufur, degil dan dusta. Oleh itu mereka akan menerima kesudahan yang sama.
4. Allah S.W.T. telah berfirman :
لَيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ وَلَا أَمَانِيِّ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِهِ
“Bukanlah semata-mata angan-angan kamu saja dan bukan semata-mata angan-angan ahli Kitab. Barangsiapa mengerjakan kejahatan, nescaya akan dibalas dengan kejahatan pula.” (An-Nisa’ 4: 123)
Balasan jahat akan menimpa sesiapa yang membuat kejahatan, siapapun juga yang membuatnya tanpa pengecualian, perbezaan dan penangguhan.
5. Allah S.W.T. telah berfirman :
أَفَنَجْعَلُ الْمُسْلِمِينَ كَالْمُجْرِمِينَ (35) مَا لَكُمْ كَيْفَ تَحْكُمُونَ
“Adakah patut Kami akan jadikan orang-orang Islam sama seperti orang-orang yang berdosa? Macamana lah kamu ni..!, kamu hukum macammana ni..? “ (Al-­Qalam 68: 35-36)
Firman Allah S.W.T. :
أَمْ حَسِبَ الَّذِينَ اجْتَرَحُوا السَّيِّئَاتِ أَنْ نَجْعَلَهُمْ كَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ
سَوَاءً مَحْيَاهُمْ وَمَمَاتُهُمْ سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ
“Bahkan adakah orang-orang yang memperbuat kejahatan mengira bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal saleh, bersamaan hidup dan mati mereka. Amat jahat hukuman mereka itu!(menyamakan orang jahat dengan orang baik).” (Al-Jaathiyah 45: 21)
Firman Allah S.WT. :
أَمْ نَجْعَلُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَالْمُفْسِدِينَ فِي الْأَرْضِ أَمْ نَجْعَلُ الْمُتَّقِينَ كَالْفُجَّارِ
“Adakah Kami jadikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh sama seperti orang-orang yang berbuat rosak di muka bumi ni? Bahkan, adakah Kami jadikan orang-orang yang takwa (baik), seperti orang-orang yang fasik (jahat)?” (As-Shaad 38: 28)
Al-Quran menjadi dalil benarnya ‘qanun al-tamathul-persamaan’ pada kedua pihaknya. Iaitu, hukuman dan akibat yang sama bagi dua perkara yang sama dan hukuman yang berbeza bagi dua perkara yang berbeza.
Apabila muslim memahami ayat-ayat al-­Quran yang membuktikan kebenaran ‘qanun tamathul’ dan ayat-ayat yang mencela kaum yang jahat pada masa dahulu seperti Yahudi dan kaum lain kerana perbuatan jahat dan sifat-sifat hina mereka, maka muslim akan dapat faham bahawa kutukan adakah kerana perbuatan. Dan pembalasan itu akan pasti menimpa mereka juga sekiranya mereka melakukan perbuatan yang sama. Balasan buruk akan menimpa mereka sebagaimana yang telah menimpa orang-orang terdahulu. Mereka tidak boleh leka dengan hanya menjadi Islam pada nama, sedangkan mereka tidak beramal dan memsibghah diri mereka menurut kehendak Islam.66
Muhammad Iqbal rahimahullah menjadikan qanun ini sebagai sebahagian dari asas hidayah Islam. Beliau menjelaskannya di dalam kuliah kelima dari ceramah-ceramahnya yang pernah di adakan di Madras India:
“Semua bangsa dan kumpulan-kumpulan manusia akan dihukum terus mengikut amalan mereka semasa hidup. Kerana itulah al-­Quran banyak menyebut kisah-kisah terdahulu dan menyuruh kita berfikir pada apa yang telah dilalui oleh mereka dahulu dan sekarang.” 67
Qanun-qanun yang menggerunkan ini tidak dapat difahami oleh kebanyakan manusia. Mereka ini tidak pula bersedia untuk mempercayainya. Ia hanya difahami oleh du’ah sahaja. Sepatutnya mereka mesti segera bangkit melaksanakan tugas nahy mungkar yang sedang berlaku, supaya semua manusia selamat dari malapetaka hari tersebut.
Wahai orang-orang baik dan soleh!
Wahai ahli zuhud dan ahli ibadat!
Di hadapanmu sedang mara bahaya qanun Rabbani yang menggerunkan sekiranya kamu terus membisu.
Janganlah kamu diperdayakan oleh zuhud dan solatmu
Perkatakan kebenaran, halanglah kemungkaran,
Jika tidak… tunggulah kebinasaan dan kemusnahan.

No comments:

Post a Comment