Kejayaan Dakwah Para Ulama Silam – Suatu Renungan
17
JUL
Tanah Melayu telah menerima Islam kira-kira 700 tahun dahulu hasil usaha para pendakwah yang tidak mengenal penat dan lelah menyampaikan agama Allah kepada kita. Mereka meninggalkan tanah air dan merantau ke serata pelusuk dunia bagi menyebarkan ajaran Tauhid.Apa yang perlu kita lihat disini ialah kejayaan para ulama ini dalam menyampaikan dakwahnya sehingga seluruh Alam Melayu atau Nusantara dapat diIslamkan. Dakwah yang mereka bawa bukannya dengan pedang tetapi dengan kebijaksanaan. Mereka begitu dihormati sehingga orang Melayu yang kuat berpegang pada agama Hindu dan Buddha telah berjaya diIslamkan. Bukan sekadar rakyat jelata tetapi juga di kalangan raja-raja.
Hasil dari dakwah mereka, maka lahirlah ulama-ulama yang berwibawa sehingga orang Melayu amat cinta kepada Islam dan menjadi bangsa yang dihormati. Ulama-ulama seperti Syeikh Daud al-Fathani, Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Abdul Malek (Tok Pulau Manis), Tokku Paloh, Tok Kenali, Syeikh Muhammad Said al-Linggi dan sebagainya telah berjaya menyuburkan ruh Islam dalam masyarakat Melayu. Amalan kerohanian dan keagamaan bukan sahaja hidup di kalangan rakyat, malah pemerintah dan ulama bergandingan memerintah negeri. Contohnya Tokku Paloh yang menjadi regu kepada Sultan Zainal Abidin III di Terengganu. Para ulama di zaman itu amat dihormati pemerintah dan dikasihi rakyat.
Apa yang mahu difokuskan disini ialah kita sering lupa bahawa Tanah Melayu sudah mempunyai model-model dakwah yang perlu kita ikuti. Hal ini terjadi kerana kita kadang-kadang terlalu terpengaruh dengan idea dan pendekatan tokoh-tokoh Islam dari luar seperti Maulana Illias, Imam Hassan al-Banna, al-Maududi, Syed Qutub dan sebagainya, sehingga terlupa kepada ulama-ulama dan tokoh pendakwah yang telah berjaya membina Tamadun Islam di Tanah Melayu ini. Idea dan pendekatan dakwah yang kita ambil dari luar, walaupun mempunyai kebenaran dan terbukti berjaya di tempat mereka, tapi tidak semuanya sesuai dengan jiwa orang Melayu.
Sehingga hari ini, tokoh-tokoh pembaharuan Islam dalam masyarakat yang hebat dakwahnya di kalangan (jamaah) mereka masih tidak boleh menandingi kasih sayang dan ingatan masyarakat terhadap ulama-ulama dahulu. Ini dapat dilihat dimana sehingga kini kitab-kitab, ilmu dan sejarah mereka masih menjadi sebutan dibibir masyarakat. Maqam mereka masih dikunjungi, ilmu dan nasihat mereka masih memberi kesan pada jiwa anak Melayu.
Kalau ditanya pada orang-orang Kelantan, nasihat siapakah yang mereka akan dengar sama ada Tok Kenali atau ulama/pendakwah zaman ini, nescaya mereka akan memilih Tok Kenali, walaupun mereka tidak pernah melihatnya. Ini kerana pendekatan ulama tersebut memberi kesan kepada orang Melayu sehingga kehebatannya menjadi buah mulut dari satu generasi ke satu generasi. Oleh itu, kenapa kita perlu mengambil model yang jauh, sedangkan belum tentu ideanya akan berjaya di sini.
Apa yang diperhatikan, banyak gerakan Islam menjadi hancur pada kemuncaknya. Ada yang menjadi beku dan buntu dengan tidak tahu ke arah mana mereka mahu tuju. Programnya, sama ada program dalaman atau luaran streotaip sahaja, malah makin perlahan.Malah masyarakat semakin rosak walaupun pelbagai usaha yang mereka lakukan.
Idea menubuhkan parti sebagai wasilah untuk berdakwah dan menegakkan Islam juga semakin memperlihatkan banyak kelemahan. Ia bukan menjadi semakin kuat tetapi semakin lemah. Memang tidak dinafikan ia juga banyak memberi manfaat kepada Islam, dapat menghimpunkan masyarakat dan ulama supaya menerima idea-idea yang dilontarkan. Tapi, pada pandangan saya, adalah tidak praktikal menghimpunkan semua anggota masyarakat dalam parti kerana politik kepartian hanyalah salah satu daripada ribuan wasilah dakwah yang boleh dilakukan, sebagaimana istilah “bil hikmah – bijaksana” dalam al-Quran.
Apa yang dibimbangkan, apabila masing-masing asyik menumpukan kepada soal perebutan kuasa sesama sendiri, sibuk membida’ahkan sesama sendiri, sibuk menyalahkan sesama sendiri, sibuk untuk mendapat nama dan pengiktirafan – akhirnya penumpuan kepada agenda pembinaan manusia diabaikan tanpa kita sedari. Masyarakat semakin rosak, iman makin luntur dari jiwa mereka. Lebih malang lagi, keorsakan ini turut berlaku ke atas anak-anak para pendukung jamaah Islam sendiri.
Dalam satu kajian yang dilakukan oleh pakar motivasi Dato’ Dr. Fadhilah Kamsah, didapati 80% umat Islam hari ini tidak menyempurnakan dengan cukup sembahyang fardhu lima kali sehari. Semua orang tahu bahawa sembahyang merupakan tiang agama. Jika tiangnya sudah tiada, apa lagi kekuatan kekuatan yang ada pada bangsa Melayu Islam ini. Ingatlah kata-kata Saidina Umar al-Khattab (r.a) bahawa, “Bangsa Arab menjadi mulia bukan kerana ia Arab, tetapi Arab mulia kerana ia memilih Islam. Jika ia meninggalkan Islam, nescaya ia kembali menjadi hina”.
Hal yang sama boleh berlaku kepada bangsa Melayu. Islam juga telah membawa kemuliaan pada bangsa ini; dari bangsa yang menyembah dewa-dewa, pohon kayu dan perkara tahyul, Islam telah membawa mereka kepada Tuhan Semesta Alam. Umat Melayu diberi penekanan ilmu sehingga lahirnya dari nusantara ini ulama-ulama dan pemerintah yang dihormati. Islam telah membina jatidiri bangsa ini, Islam juga telah memberi kekuatan pada bangsa ini, namun bangsa ini akan hilang jatidirinya bila mereka meninggalkan Islam. Mereka akan menjadi bangsa yang lemah, idealogi dan budaya Barat dijadikan pegangan, dan menuju kehancuran. Apa yang dibimbangkan lagi, Allah akan menghina bangsa ini dan Allah memilih bangsa lain untuk menegakkan agamaNya.
Gerakan yang mendakwa mahu kembali kepada al-Quran dan Sunnah sehingga membida’ahkan beberapa amalan yang sudah hidup subur dalam masyarakat Islam, melarang bermazhab, menolak pengajian kitab tua dan sebagainya tidak akan berjaya walaupun pelbagai usaha dilakukan. Ini disebabkan idea tersebut bertentangan dengan pegangan para ulama-ulama tradisional yang amat dihormati masyarakat. Idea tersebut mungkin diterima di kalangan orang Melayu kelas menengah tetapi akan ditolak oleh orang Melayu ‘bawahan’. Golongan pertengahan pun belum tentu semuanya menerima idea itu kerana mereka juga tidak boleh menerima jika ada golongan yang mahu memperlekehkan atau menolak ulama-ulama dahulu. Apakah kelayakan golongan itu pada kacamata mereka untuk membida’ahkan ulama-ulama dahulu.
Begitu juga dengan golongan yang merendahkan para sahabat Nabi SAW. Mereka juga tidak boleh bertapak jauh walaupun tidak dinafikan ada segelintir orang yang terpengaruh dengan idea-idea tersebut. Kebanyakan mereka tidak mempunyai pengajian yang mendalam terhadap kitab-kitab para ulama dahulu. Justeru itu sebaiknya kita cuba menoleh kepada ulama-ulama dahulu dengan melakukan kajian yang mendalam sehingga kita makrifat (mengenal dengan sebenar-benarnya) pada mereka. Kita juga perlu mendalami dan mempelajari kehebatan ilmu, ibadah, akhlak, dakwah, politik dan kepimpinan mereka untuk dijadikan model dalam aspek pembinaan masyakat Islam di Malaysia. Dalam konteks negara kita, mereka merupakan role-model yang terbaik untuk kita ikuti.
Cuba kita lihat kejayaan para ulama dahulu dalam menyebarkan dakwah Islam. Contohnya Syarif Muhammad al-Baghdadi yang memulakan dakwah di Kuala Berang, Terengganu 700 tahun yang lampau, Wali Sembilan di Indonesia dan pengIslaman Kerajaan Pattani. Mereka telah berjaya mengembangkan Islam dengan meluas hasil kebijaksanaan dakwah mereka. Islam tidak sukar diterima sehingga dapat menukar budaya dan cara hidup Hindu/Buddha kepada cara hidup Islam secara beransur-ansur. Kebijaksanaan seperti inilah digunakan penjajah Inggeris dalam menyebarkan budaya mereka sehingga orang Melayu boleh menerimanya dan tidak ramai yang menentangnya, walaupun budaya penjajah bertentangan dengan budaya Melayu dan Islam.
Pada hari ini keruntuhan orang Melayu dari segi agama dan budaya berlaku satu demi satu. Jika tidak bangkit gerakan penyelamat, mungkin Islam dan Melayu hanya tinggal nama sahaja sebagaimana kebanyakan masyarakat Islam di Selatan Thailand dahulu. Mereka hanya tahu bahawa Islam mengharamkan memakan babi sahaja, sedangkan budaya dan amalan agama mereka telah hilang. Mereka 100% mengikut cara hidup orang Siam walaupun mereka bukan penganut Budhha.
Apakah erti Islam kepada penganutnya jika amalan Islam sendiri tidak diketahui. Dari pengamatan yang dibuat sebenarnya kita juga telah mengalami buta agama dan budaya di kalangan generasi muda hari ini. Mereka langsung tidak memahami agama melainkan dalam perkara tertentu sahaja seperti wajib sembahyang, puasa, zakat dan haji. Itupun seperti yang didakwa oleh Dato’ Dr. Fadhilah Kamsah, hanya 20% sahaja yang menunaikan sembahyang cukup 5 kali sehari. Yang kita takut ialah budaya Barat yang membawa mesej untuk menyesatkan umat Islam itu diterima dengan rasa megah dan akhirnya meruntuhkan amalan Islam di Malaysia dan bangkitnya budaya Barat, walaupun pemerintah dan rakyatnya ramai di kalangan orang Islam. Akhirnya kita tersungkur jatuh akibat rancangan Yahudi dan Nasrani tanpa setitik darah syuhada. Kesimpulan yang boleh dibuat ialah orang Melayu adalah bangsa yang begitu mudah mengikut apa jua yang dibentangkan jika kena caranya.
Jika difikirkan, pihak penjajah sepatutnya lebih sukar menundukkan orang Melayu kerana mereka membawa suatu budaya yang bertentangan dangan agama dan budaya orang Melayu seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, budaya minum arak dalam majlis pembesar, wanita tidak malu membuka aurat. Namun kerana kebijaksanaan mereka membaca kelemahan orang Melayu, rancangan mereka berjaya walaupun menghadapi kesukaran.
Sehingga kini budaya mereka menjadi amalan kelompok masayarakat besar terutamanya di Pantai Barat. Amalan Islam semakin terpinggir malah menjadi dagang (asing). Yang membimbangkan, bila runtuhnya satu demi satu amalan Islam dan budaya Melayu, akhirnya tertanggal pula akidah Islam, maka hancurlah bangsa ini dan menjadi hina di sisi Allah. Walaupun kita mohon Allah jauhkan hal ini berlaku di negara kita yang tercinta ini, tapi tiada mustahil Allah menurunkan balanya seperti yang ditimpakan ke atas Palestin, Bosnia dan Iraq.
Tiada masa lagi sebenarnya untuk kita leka. Semangat cintakan agama, bangsa dan negara akan membangkitkan kekuatan untuk kita bangkit sebagai penyelamat ummah. Saya melihat tiada sebab orang Melayu tidak boleh menerima Islam dan kembali berpegang teguh dengan ajarannya jika para pendakwah pandai mengolahkannya. Ini kerana mereka adalah bangsa yang lembut jiwa dan mudah dibentuk jika kena cara mendekatinya.
Dengan kehebatan ilmu, fikrah dan gerak kerja ulama, para pendakwah dan para pemikir moden di seluruh dunia yang kita ambil untuk membangunkan dakwah di sini, alangkah baiknya juga kita menoleh kepada kehebatan ulama-ulama silam dan kejayaan mereka merubah dan membentuk jatidiri orang Melayu dari golongan istana sehingga golongan bawahan. Sehingga kini tiada dapat kita nafikan mereka lebih dekat dengan orang Melayu berbanding ulama zaman kini. Nama dan kitab mereka terus menjadi rujukan utama orang Melayu, diajar di surau dan masjid. Kenapa pula kita terlalu melihat kepara pendakwah di luar negara sehingga melupakan para pendakwah di sini. Kita perlu mengkaji kembali ilmu, amalan, akhlak, pemikiran, dakwah, politik dan budaya yang mereka bawa sehingga runtuhnya kerajaan Hindu di Tanah Melayu dan Indonesia. Jika kita dapat adunkan kehebatan pendakwah silam dan masa kini, insya Allah kita boleh berjaya dalam usaha kita.
Tiga asas penting yang telah dibina oleh ulama dahulu di Nusantara ini ialah akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang berasaskan pegangan Imam Abu Hasan al-Asya’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi; feqah mazhab Imam Syafie dan tarekah tasawuf aliran Imam al-Ghazali. Ini dapat kita lihat pada kitab-kitab mereka yang ada di tangan kita hari ini. Tiga asas ini adalah pegangan majoriti umat Islam Nusantara. Jika gerakan dakwah tidak menghormati asas-asas ini, mereka bagaikan menentang arus yang besar. Dakwah mereka akan terpinggir walaupun mereka dikatakan golongan muda yang ingin membawa perubahan dalam amal-amal Islam.
Pegangan ini sudah sebati dengan jiwa orang Melayu. Walaupun kita memiliki gelaran Phd. sekalipun, kita tak mampu merombak kasih sayang dan kepercayaan orang Melayu terhadap keilmuan dan kehebatan ulama tradisional Melayu. Cerita Tok Kenali dapat menjawab persoalan-persoalan yang membingungkan ulama-ulama Arab di zamannya, sehingga keilmuan beliau dikagumi di Mesir dan ini amat membanggakan orang Melayu.
Begitu juga dengan Syeikh Ahmad a-Fathani, guru kepada Tok Kenali. Beliau adalah ulama yang diiktiraf sebagai guru di Masjidil Haram, Mekah, yang mana ia menjadi pusat pengajian Islam bagi seluruh umat Islam di pelusuk dunia ketika itu. Syeikh Ahmad juga dipanggil menjadi orang tengah untuk menyelesaikan beberapa permasalahan ilmu yang timbul. Ketinggian ilmu Syeikh Ahmad al-Fathani dapat dilihat pada kitab-kitabnya yang menjadi rujukan ulama di seluruh dunia dan dijadikan pengajian di madrasah-madrasah ilmu Alam Melayu dan Nusantara. Sehingga kini tiada lagi ulama moden di negara kita yang mana kitabnya menjadi rujukan di serata dunia atau pengajian kepada seluruh Nusantara.
No comments:
Post a Comment