Tuesday, 6 January 2015

BAHAYA MENGKAFIRKAN SESAMA ISLAM.

Sifat Iman dan takwa sewajarnya membuatkan seorang individu Muslim itu tidak terburu-buru di dalam masalah mengkafirkan individu Muslim yang lain. Ini kerana implikasinya yang sangat besar dan berat terhadap kedua tertuduh dan yang menuduh.

IMPLIKASI TAKFIR

Bagi TERTUDUH yang dihukum kafir; sekiranya benar dia telah kafir maka Umat Islam yang lain wajib melaknatnya, membencinya, menganggap hatinya terkunci, amalannya tergugur, kehinaan telah menimpanya, dia tidak akan diampunkan dan akan kekal dalam Api Neraka selama-lamanya bersama dengan orang-orang kafir yang lain.

Di samping itu, dia wajib dipisahkan daripada isterinya yang Muslimah, dihukum bunuh kerana murtad, hartanya tidak akan diwarisi keluarganya yang Islam, jenazahnya tidak akan disolatkan dan dia tidak akan dikuburkan di perkuburan orang Islam.

Adapun implikasinya terhadap yang MENUDUH sekiranya tuduhannya tidak benar; tuduhan kafir itu akan terpantul semula kepadanya.

Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:

﴿ أَيَّمَا رَجُلٍ قَالَ لأخِيهِ : يا كَافِر، فَقَدْ بَاءَ بِهَا أحَدَهُمَا إنْ كَانَ كَمَا قَالَ ، وَإلا رَجَعَتْ عَلَيْهِ ﴾

“Barangsiapa berkata kepada saudaranya ‘Wahai kafir’, maka pengkafiran itu akan kembali kepada salah seorang daripada mereka; sama ada ungkapan itu benar atau ia akan kembali kepadanya.”[1]

Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:

﴿ لا يَرْمِي رَجُلٌ رَجُلا بِالفُسُوقِ ، وَلا يَرْمِيهِ بِالكُفْرِ إلا ارْتَدَّتْ عَلَيْهِ ، إنْ لَمْ يَكُنْ صَاحِبُهُ كَذَلِكَ ﴾

“Tidaklah seseorang itu menuduh seorang yang lain sebagai fasik atau mengkafirkannya melainkan ia akan terpantul semula kepadanya sekiranya saudaranya tidak sebegitu.”[2]

Demi menjaga maruah sesama saudara seIslam, memelihara kesatuan Umat serta mengelak daripada berlakunya fitnah tuduh menuduh, Syariat Islam sangat bertegas dalam masalah mengkafirkan seseorang Muslim.

Hukuman kafir tidak boleh diambil mudah apatah lagi dilakukan secara terburu-buru, mengikut emosi, kerana perbezaan pendapat, pandangan politik dan seumpamanya.

Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:

﴿ مَنْ حَلَفَ بِمِلَّةِ غَيْرِ الاسْلامِ كَاذِبًا فَهُوَ كَمَا قَالَ ، وَمَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِشَيْءٍ عُذِّبَ بِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ ، وَلَعْنُ المُؤمِنِ كَقَتْلِهِ ، وَمَنْ رَمَى مُؤْمِنًا بِكُفْرٍ فَهُوَ كَقَتْلِهِ ﴾

“Barangsiapa bersumpah dengan selain Islam (dengan tujuan) untuk berbohong (dalam sumpah itu) maka dia adalah seperti itu (terkeluar daripada Islam) dan barangsiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu (alat) itu maka dia akan diseksa dalam Api Neraka dengan (alat) itu juga; mencela orang yang beriman adalah umpama membunuhnya sebagaimana menuduh orang yang beriman sebagai kafir juga adalah umpama membunuhnya.”[3]

PENJELASAN PARA ULAMA TENTANG TAKFIR

Berkata Imam Al-Ghazali, “Apa yang wajar dihindari adalah perbuatan mengkafirkan orang lain sedaya yang mungkin. Ini kerana perbuatan menghalalkan darah dan harta orang yang solat mengadap kiblat yang secara jelas mengucapkan ‘La ilaha illa Allah, Muhammad Rasulullah’ adalah satu kesalahan. Dan kesalahan membiarkan seribu orang kafir hidup jauh lebih mudah daripada menumpahkan darah seorang Muslim.”[4]

Berkata Ibnu Abi Al-Izz Al-Hanafi, “Adalah sangat melampau untuk bersaksi ke atas seorang individu bahawa Allah tidak akan mengampuninya mahupun merahmatinya, dan Allah akan mengekalkannya terus dalam Api Neraka. Ini kerana hukuman ini khas buat orang kafir sahaja sesudah dia mati.”[5]

Berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, “Tidak patut bagi seseorang untuk mengkafirkan orang Islam yang lain walaupun setelah dia melakukan kesalahan dan kesilapan melainkan dengan menegakkan hujjah terhadapnya terlebih dahulu serta memberi penjelasan kepadanya. Barangsiapa yang telah masuk Islam secara pasti, keIslamannya sama sekali tidak boleh ditarik balik dengan suatu yang diragui. KeIslamannya hanya akan gugur setelah hujjah ditegakkan dan syubhat dihapuskan.”[6]

Berkata Imam Al-Syaukani, “Ketahuilah bahawa seseorang Muslim itu tidak patut menghukum seseorang Muslim yang lain sebagai terkeluar daripada Islam dan menjadi kafir melainkan dengan dalil jelas yang lebih jelas daripada matahari.”[7]

MENEGAKKAN HUJJAH

Syarak menuntut supaya kita yakin dan pasti ketika menjatuhkan apa jua hukum. Sama sekali tidak boleh bertindak atas prasangka dan tanggapan semata-mata tanpa mendapat kepastian terlebih dahulu. Apatah lagi di dalam masalah yang berat seperti mengkafirkan orang.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

﴿ وَمَاكُنَّا مُعَذَّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولاً‘ ﴾

“Dan tiadalah Kami (akan) mengazabkan sesiapapun melainkan setelah Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah agar hujjah dapat ditegakkan).”[8]

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam Surah Al-Hujurat ayat 12:

﴿يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمُُ ﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa.”

Oleh itu, demi memperoleh keyakinan dan memastikan keadilan, hujjah perlu ditegakkan dan penjelasan perlu diberikan ke atas seseorang yang melakukan perbuatan yang jelas boleh membuatkannya jatuh kafir.

Tiga syarat perlu dipastikan terlebih dahulu pada orang tersebut:

Orang itu TAHU dan bukan JAHIL bahawa perbuatannya itu kufur;
Dia SEDAR dan bukan TIDAK SEDAR;
Dia RELA dan bukan TERPAKSA.
Dalil Syarat Pertama: Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, “Seorang lelaki yang telah lalai selama hidupnya[9] ketika sedang nazak dia berkata kepada anak-anaknya, “Setelah aku mati nanti bakarlah jasadku, setelah itu hancur lumatkan jasadku dan lemparkan debunya ke udara. Demi Allah, sekiranya aku berdepan dengan Allah nanti aku akan diseksa dengan azab yang tidak terperi sakitnya.” Setelah dia mati, wasiatnya pun ditunaikan. Allah memerintahkan bumi menghimpunkannya semula dan tatkala lelaki itu dibawa ke hadapanNya, Allah bertanya kepadanya: Mengapa engkau berwasiat sedemikian? Jawabnya, “Kerana takut terhadapMu.” Maka Allah mengampuninya.[10]

Tanggapan bahawa Allah tidak akan mampu menghidupkan semula jasad yang telah dibakar dan ditebarkan ke udara setelah dihancur-lumatkan jelas kufur. Lelaki itu beranggapan sebegitu kerana dia jahil tetapi dalam masa yang sama dia beriman dengan Allah. Bahkan perasaan takutnya terhadap seksaan Allah lah yang telah membuatnya bertindak sedemikian. Atas sebab itu Allah mengampuninya.

Dalil Syarat Kedua: Kisah seorang lelaki yang keseorangan ketika dia kehilangan haiwan tunggangannya yang membawa makan minumnya di tengah padang pasir. Setelah berputus asa mencarinya dia baring terlelap di bawah teduhan sebuah pokoh. Dan tatkala dia bangun dia mendapati tunggangannya berdiri dihadapannya. Akibat terlalu gembira dia berkata, “Ya Allah! Engkau hambaku dan aku tuhanmu!”[11]

Kata-kata kufur ini sebagaimana dijelaskan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dimaafkan kerana ia dituturkan tanpa disedari oleh lelaki itu di kala dia terlalu gembira bertemu semula dengan tunggangannya.

Dalil Syarat Ketiga: Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

﴿ مَن كَفَرَ بِاللهِ مِن بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلاَّ مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِاْلإِيمَانِ ﴾

“Sesiapa yang kufur terhadap Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab daripada Allah), kecuali mereka yang dipaksa (melakukan kufur) sedangkan hatinya tenang tenteram dengan iman.”[12]

Perlu difahami bahawa tertegaknya hujah bukan hanya dengan menyampaikan hujah dan dalil semata-mata tetapi hendaklah dalam masa yang sama dipastikan bahawa individu itu memahami hujah dan dalil yang disampaikan itu.

Berkata Ibnu Taimiyah rahimahullah, “Begitulah halnya dengan kata-kata yang membawa kepada kekufuran. Barangkali individu yang mengucapnya tidak tahu itu adalah kufur. Barangkali penjelasan telahpun diberikan kepadanya tetapi masih belum dapat meyakinkannya atau dia tidak memahami penjelasan itu. Barangkali individu itu juga masih mempunyai syubhat-syubhat yang belum terjawab yang boleh dimaafkan oleh Allah.”[13]

MENGKAFIRKAN SESEBUAH MASYARAKAT ISLAM SECARA UMUM

Sekiranya Syarak menetapkan bahawa hujjah perlu ditegakkan terlebih dahulu sebelum hukuman kafir dapat dijatuhkan ke atas seseorang individu Muslim, maka jelaslah bahawa perbuatan mengkafirkan sesebuah kelompok masyarakat Islam secara pukul rata tanpa mengira sama ada:

Mereka jahil atau berilmu;
Mereka sedar atau tidak sedar;
Mereka terpaksa atau rela;
adalah salah dan menyimpang daripada fahaman Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah.

Ini berdasarkan kepada perinsip dan dasar Ahli Sunnah Wal Jamaah yang membezakan antara:

1. Pelaku Perbuatan Kufur, dan;

2. Perbuatan Kufur itu sendiri.

Barangkali PERBUATANNYA KUFUR TETAPI PELAKUNYA BELUM TENTU LAGI kecuali setelah ditegakkan hujjah terhadapnya.

وَصلَّى الله عَلى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّم

No comments:

Post a Comment