Ajaran Dan Pemikiran Sesat Dalam Konteks Islam
Oleh:
Muhammad ‘Uthman El-Muhammady
UEM-2011Ajaran atau pemikiran sesat yang terkait dengan agama Islam boleh menyentuh bidang akidah, hidup kerohanian atau ibadat, akhlak dan hukum. Kalau disebut dari segi bidangnya, maka ianya menyentuh usul al-din, fiqh dan akhlak atau tasawwuf. Insha Allah dalam nota ringkas ini akan disebutkan beberapa aspek kesesatan dalam bidang-bidang berkenaan dengan beberapa cirinya, juga faktor-faktor yang memungkinnya; sebagai tambahan akan disebutkan juga pemikiran-pemikiran sesat dari kacamata Islam demi untuk menjadi panduan dalam hidup beragama.
Kesesatan
“Sesat” dalam “Kamus Dewan” memaksudkan “tidak mengikut jalan yang betul, tersalah, tersilap (jalan), tersalah, terkeliru (perbuatan, kepercayaan dll), menyimpang dari jalan yang benar”.
Dalam kitab “al-Mufradat fi Ghara’ib al-Qur’an” oleh al-Isfahani rh[1] dinyatakan dengan agak panjang maksud istilah “al-dalal” iaitu: keadaan terseleweng daripada jalan yang benar (at-tariq al-mustaqim) dan berlawanan dengan bimbingan hidayah Ilahi. Dinyatakan bahawa keadaan “dalal” ialah tiap-tiap keadaan terseleweng daripada perjalanan yang betul (al-manhaj) baik dengan sengaja atau dengan terlupa, banyak atau sedikit. Dinyatakan dalam hubungan dengan ini bahawa jalan yang benar (at-tariq al-mustaqim) yang berupa jalan yang diredhai itu sangat sukar.
Dalam kitab yang sama dinyatakan bahawa dari segi lain kesesatan (“dalal”) ada dua bahagian, iaitu kesesatan dalam ilmu nazari – ilmu yang bersifat teori – seperti kesesatan dalam hubungan dengan pengenalan atau ma’rifat terhadap Allah dan KeesaanNya, pengenalan terhadap kenabian dan hal-hal yang sepertinya; ini sebagaimana yang diisyaratkan dalam ayat:
ومن يكفر بالله و ملائكته وكتبه ورسله واليوم الاخر فقد ضل ضلالا بعيدا
Yang bermaksud “Dan sesiapa yang kufur terhadap Allah dan para malaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, dan Hari Akhirat, maka sesatlah ia dengan kesesatan yang sejauhnya (dari kebenaran)[2]
Dan keduanya kesesatan dalam ilmu-ilmu amaliah seperti ilmu tentang hukum-hukum syara’ berkenaan dengan amalan-amalan ibadat.
Dan “kesesatan yang jauh” (“al-dalal al-ba’id”) isyarat kepada kekufuran seperti yang tersebut dalam ayat yang di atas itu “sesiapa yang kufur”, dan ayat yang satu lagi ialah ayat:
في العذاب و الضلال البعيد
Yang bermaksud: “Mereka itu berada dalam azab (di akhirat) dan kesesatan yang sejauhnya (di dunia)”[3]
Dan ayat yang satu lagi ialah:
ان انتم الا في ضلال كبير
[Yang bermaksud: “Kamu tidak lain melainkan berada dalam kesesatan yang besar.”[4]
قد ضلوا من قبل واضلوا كتيرا وضلوا عن سواء السبيل
Yang bermaksud:
Mereka telah sesat dahulunya dan menyesatkan ramai (orang lain) dan mereka itu tersesat daripada jalan yang betul.”[5]
Kalau difahamkan bahawa kesesatan itu terdiri daripada dua jenis ini (bahagian ilmu nazari dan ilmu ‘amali) maka kita boleh cerakinkan lagi kesesatan itu kepada bahagian-bahagian seperti: akidah, ibadat, akhlak, dan hukum. Dan nampaknya kesesatan itu ada kalanya menyentuh akidah sampai kepada kekufuran (na’udhu billahi min dhalik), dan ada yang sampai kepada had sesat tanpa membawa kepada kekufuran.
Tanpa menyentuh agama-agama lain selain daripada Islam, dengan memahami Islam yang memandang dirinya sebagai agama sebenarnya dari Allah, maka kesesatan yang dikaitkan dengan Islam, atau pemeluknya asalnya Islam, dalam teks-teks klasik seperti “al-Farqun bainal-Firaq” oleh ‘Abd al-Qahir al-Baghdadi rh, “Maqalat al-Islamiyyin” oleh Abul-Hasan al-Asy’ari rd, “al-Milal wan-Nihal” oleh al-Syahrastani rh, termasuk juga Ibn Khaldun rh dalam ‘al-Muqaddimah”nya, ada beberapa jenis yang besar iaitu:
Mu’tazilah
Jabariah
Khawarij
Murji’ah
Syi’ah Rafidhah
Batiniah
Tanpa berpanjang kalam tentang golongan-golongan ini, kita boleh katakan bahawa kebanyakan daripada firkah-firkah ini sekarang tinggal namanya sahaja, dan ianya tidak berkembang; yang masih ada dengan namanya dan doktrinnya ialah Syiah Imamiah dan juga pecahan-pecahan Syiah yang ghuluw atau pelampau.
Bagaimanapun trend-trend pemikiran firkah-firkah ini masih terdapat masakini yang boleh mengancam akidah Ahlis-Sunnah wal-Jamaah. Akidah yang terjamin benar dan pemikiran yang terjamin benar adalah akidah Ahlis-Sunnah wal-Jamaah dan pemikiran yang berkembang dalam “perimeter”nya secara selamat. Oleh itu maka pengecaman tentang akidah Ahlis-Sunnah wal-Jamaah secara jelas dan nyata serta pemikiran yang terasuh di dalam kawalannya sahaja yang boleh menjamin seseorang daripada terjebak ke dalam kesesatan dari segi fahaman dan juga amalan dan nilai-nilainya.
Mu’tazilah
mengajarkan bahawa hamba pencipta amalannya sendiri secara bebas merdeka, dan ia diberikan ganjaran mengikut amalannya. (berbeza daripada Ahlis-Sunnah yang mengajarkan manusia mengusahakan perbuatannya, atas usahanya itu ia diberi balasan, dan manusia tertakluk kepada Qada dan Qadar)
mengajarkan kita tidak boleh berpegang kepada ijma’ ulama
mengajarkan sikap tidak mementingkan hadith (aliran anti hadith adalah percikan pengaruh Mu’tazila)
mengajarkan sikap terlalu “rasional” dalam pendekatan agama (Ahlis-Sunnah pun bersikap rasional dalam batasan-batasannya) tetapi bukan “terlampau sebagaimana golongan Mu’tazilah.
tentang Tuhan mereka mengajarkan Allah melihat dengan ZatNya, berilmu dengan ZatNya, mendengar dengan ZatNya demikian seterusnya (berlainan dengan Ahlis-Sunnah yang mengajarkan Allah melihat dengan sifat melihatNya, berilmu dengan sifat IlmuNya, mendengar dengan sifat mendengarNya demikian seterusnya).
Mengajarkan Tuhan tidak boleh dilihat dengan mata kepala di akhirat (berlainan daripada Ahlis-Sunnah yang mengajarkan Tuhan dilihat dengan mata kepala oleh mu’minin di akhirat).
Jabariah
mengajarkan manusia tidak ada usaha dan ikhtiar
manusia seperti bulu ditiup angin (berbeza daripada Ahlis-Sunnah yang mengajarkan manusia ada usaha bukan di”paksa” melakukan sesuatu. Ia diberi balasan mengikut usahanya; yang “menjadikan” amalan perbuatannya ialah Allah; yang “mengusahakan” amalan itu ialah manusia).
Khawarij
orang yang melakukan dosa menjadi kafir (berbeza daripada Ahlis-Sunnah yang mengajarkan manusia menjadi fasik dengan melakukan dosa, bukan kafir, kecuali ia mengharuskan dosa).
menganggap semua golongan selain daripada mereka halal darahnya.
Murji’ah
yang mengajarkan bahawa bila manusia beriman perbuatan dosanya tidak memberi kesan (berbeza daripada Ahlis-Sunnah yang mengajarkan perbuatan itu memberi kesan melemahkan iman)
Syiah
Syiah banyak cawangannya; semuanya berpunca daripada pendewaan mereka yang melampau melebihi batas terhadap Ali rd. Antara akidah Syiah Imamiah yang paling berpengaruh sekarang ini ialah:
ajaran mereka tentang imam maksum; bahawa dalam kalangan mereka ada 12 orang imam yang sirinya bermula dengan Ali rd, Hasan dan Husain rd dan seterusnya sampailah kepada Hasanal-Askari dan Muhammad bin Hasan al-Askari yang mereka percaya maksum semuanya dan melebihi nabi dan rasul dari segi darjatnya. (Pada Ahlis-Sunnah yang maksum hanya nabi dan rasul bukan imam-imam).
ajaran tentang Mushaf Fatimah – iaitu Quran yang dikatakan mereka diwahyukan kepada Fatimah selepas wafat Rasulullah s.a.w. dan Ali rd menjadi tukang tulisnya. Isinya dikatakan tiga kali ganda besarnya daripada Mushaf Uthman rd. (Ijma’ dalam Ahlis-Sunnah bahawa tidak ada Quran lain selain daripada Quran yang ada sekarang yang terjamin dan terkawal oleh Allah sendiri seperti yang tersebut dalam ayat yang bermaksud “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Quran yang memberi peringatan dan sesungguhnya Kamilah Yang menjaganya”[6]) Ajaran ini menyebabkan seseorang terkeluar daripada ajaran Islam.
ajaran mereka bahawa para sahabat rd menjadi murtad selepas wafat Rasulullah s.a.w melainkan empat orang sahaja atau selebihnya tidak sampai sepuluh orang. (Ini berlawanan dengan ajaran Ahlis-Sunnah yang mengajarkan para sahabat rd orang-orang yang adil semuanya, dan mana-mana yang ada melakukan kesilapan di kalangan mereka diampunkan, seperti yang diisyaratkan dalam hadith sahih tentang ahli Badar dan juga hadith-hadith lain, selain daripara ayat Quran yang menyebut “as-sabiqun al-awalun” terdiri daripada Muhajirin dan Ansar).
ajaran mereka tentang ar-raj’ah iaitu manusia dihidupkan semula sebelum kiamat untuk menerima balasan daripada imam mereka kemudian selepas itu baharu mereka mati semula, lepas itu baharulah berdiri kiamat. (Tidak ada akidah demikian dalam ajaran Ahlis-Sunnah wal-Jamaah).
ajaran mereka tentang taqiyyah, iaitu kepura-puraan sehingga dikatakan ada riwayat di kalangan mereka bahawa Jaafar Sadiq ada menyatakan “Taqiyyah adalah dari agamaku dan agama datuk nenekku” – iaitu dari Nabi Muhammad s.a.w. – na’udhu billlahi mindhalik). (Dalam Ahlis-Sunnah diajarkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersifat dengan sifat sidik, amanah, tabligh dan fatanah, dan bukannya sifat taqiyyah yang bermakna kepura-puraan.
mereka mengajarkan nikah mut’ah diharuskan, dengan ada kelebihan-kelebihannya. Nikah mut’ah ialah nikah seseorang dengan seseorang perempuan dengan had masa tertentu, tanpa wali atau saksi. Ini dilarang dengan ijma’ dalam umat ini dan ianya pernah berlaku beberapa waktu kemudian diharamkan oleh Nabi s.a.w.
Batiniyah
Secara amnya golongan yang mengajarkan bahawa bentuk-bentuk amalan lahir dan hukum lahir seperti sembahyang, puasa, haji dan seterusnya tidak mempunyai makna apa-apa, boleh dilanggar, yang penting ialah hakikat batinnya. (Ini berlawanan dengan Quran dan Sunnah serta ijma’ yang mementingkan lahir batin kedua-duanya sekali).
Orang yang berpegang kepada ajaran yang membatalkan Syara’ ini terkeluar daripada agama Islam, na’udhu billahi min dhalik. Imam al-Ghazali rd menyebut dalam“al-Ihya’” bahawa golongan yang sedemikian lebih berat daripada kafir asli.
Ajaran-ajaran dan pemikiran-pemikiran sesat yang dikaitkan dengan tasawwuf:
Antaranya yang timbul dalam konteks Malaysia:
Ajaran Tuhan dalam diri berdasarkan kepada hadith qudsi “Dalam sirr itu Aku” dan penafsirannya yang zindik (banding dengan hadith dalam “Ihya’” yang menyebut “Tuhan dalam hatikamu”.
Ajaran bahawa manusia itu Tuhan, “dia Tuhan, kamu Tuhan, aku Tuhan, semua Tuhan” dikatakannya itu hakikat.
Ajaran bahawa yang dilihat oleh mata ini “Tuhan belaka” didakwa kononnya itu tasawwuf tinggi, ilmu hakikat.
Ajaran yang mengajarkan Syurga Neraka dalam diri, bahkan semua alam dalam diri, tidak ada Syurga Neraka, tidak ada Arasy Kursi, dan lainnya.
Tidak ada kiamat, sebab takkan Tuhan bodoh hendak menghapuskan semua ini selepas dijadikanNya.
Ajaran yang menyebut hukum Syara’ itu “kulit” tidak perlu dipatuhi oleh orang muntahi yang “sampai kepada hakikat”. Dengan itu sembahyang, puasa, haji dan sebagainya dan juga hukum haram halalnya tidak perlu diamal. Na’udhu billahi min dhalik.
Ajaran yang mengajarkan Quran yang ada ini kertas sahaja, Quran sebenar Quran hakikat dalam hati manusia.
Yang mengajarkan bila dalam suluk tidak wajib sembahyang Jumuat, sebab “penyakit hati lebih berat daripada penyakit jasmani”.
Ajaran yang menyebarkan bahawa makna Quran yang sebenar ialah yang batin, makna dalam tafsir seperti “Jalalain” tidak perlu dipakai, ijma’ ulama tidak perlu dipakai. (Quran memang ada takwilnya sebagaimana yang disebut dalam “Lataif al-Isyarat” oleh al-Qusyairi r.d. dan dalam “al-Ihya’” bab bacaan Quran oleh Imam al-Ghazali r.d., tetapi maknanya yang ada dalam tafsir-tafsir yang diakui seperti “Jalalain”, “Baidhawi”, “al-Jamal” dan lainnya wajib dipakai dalam perkara-perkara yang wajib dan mesti diterima pakai.
Ajaran yang menyebarkan bahawa guru yang berkenaan seperti Khidhir, seperti Musa mesti taat kepadanya maka murid mesti taat kepada “yang seperti Khidhir” ini.
Ajaran yang menyebarkan bahawa kata-kata guru tertentu seperti Quran, kalau melanggarnya seperti melanggar wahyu Quran.
Ajaran yang menyebarkan guru tertentu itu “bayangan Mahadi”, atau “akan menjadi Mahadi”.
Ajaran yang menyebarkan bahawa kumpulan tertentu “jamaah sebenar” seperti “jamaah Rasulullah” dan di dalamnya ada “orang-orang seperti sahabat-sahabat Nabi” dan di dalamnya ada orang “seperti Abu Bakar”.
Ajaran yang menyebarkan ada orang tertentu yang ilmunya “seperti Nabi Yusuf” mengetahui takwil tentang apa-apa yang berlaku.
Ajaran yang menyebarkan bahawa jamaah tertentu kalau orang keluar daripadanya “akan mati murtad”, atau “mati munafiqin”, na’udhu billahi min dhalik.
Ajaran yang menyebarkan bahawa kalau seseorang balik ke kampung daripada berada dalam sesuatu jamaah maka orang itu “murtad secara rohani”.
Ajaran yang menyebarkan ada di alamnya orang-orang seperti “Nabi Isa”, “Nabi Musa”, “Khidhir” dan sebagainya.
Pemikiran berkaitan dengan Hukum
Ajaran yang menyebarkan bahawa “semua orang boleh berijtihad sendiri tidak wajib ikut mazhab tertentu daripada mazhab-mazhab yang empat” seperti yang tertera dalam kitab “Hal al-Muslim mulzam bi’t-tiba’ al-madhhab al-mu’ayyan mina-Madhahib al-arba’ah” karangan Syaikh Muhammad al-Khojandi al-Ma’sumi.
Ajaran yang menyebarkan bahawa orang yang mengikut mazhab tertentu adalah seperti Yahudi dan Nasara yang menjadikan “rahib-rahib dan pendita-pendita mereka sebagai tuhan-tuhan selain daripada Allah”[7].
Ajaran yang mengajarkan bahawa boleh seseorang melihat/membaca terjemahan Quran dan terjemahan hadith dan kemudian membina hukum sendiri daripadanya tanpa merujuk kepada kitab-kitab hukum Islam, apa lagi dengan ada internet yang boleh didapati terjemahan Quran dan hadith daripadanya dengan mudah.
Ajaran yang menyebarkan bahawa memadai difahami usul al-din daripada terjemahan Quran dan hadith secara bersendirian tanpa mempelajari usul-al-din bahkan bid’ah sebab Nabi s.a.w. dan para Sahabat tidak mengajar usul al-din.
Ajaran yang menyebarkan bahawa amalan-amalan wirid, tahlil beramai-ramai, dan lain-lain sebagainya yang ada dalam mazhab Syafi’i antaranya (disebut Syafi’i sebab ini mazhab di Nusantara) adalah bid’ah dhalalah yang menepati maksud hadith yang bermaksud “semua yang dhalalah dalam Neraka”.
Ajaran yang disebarkan bahawa tasawwuf adalah bid’ah dan tidak ada dalam Islam serta tidak diamalkan oleh Nabi s.a.w. dan para Sahabat dan orang-orang salaf yang soleh.
Ajaran yang disebarkan bahawa orang-orang yang hidup tidak sampai pahala amalannya kepada si mati walaupun diniatkan untuk mereka, kerana ini berlawanan dengan ijma’ sebagaimana yang disebut dalam “Mausu’atul-Ijma’” karangan Sa’di Abu Jaib dan dalam “Majmu’ Fatawal-Kubra” oleh Ibn Taimiyah dalam “kitab al-Jana’iz” jilid 3.
Pemikiran Moden Yang Menyesatkan Dari Perspektif Islam
Sekularisme:yang mengajarkan pemisahan total antara hidup jasmani dan rohani, keagamaan dan keduniaan. Memang ada yang bersifat keduniaan antara kegiatan-kegiatan manusia tetapi semuanya terletak di bawah kawalan hukum agama.
Materialisme: yang mengajarkan hakikat sebenar yang ada hanya benda sama ada dalam erti fisik klasik sesuatu yang bertempat dan ada beratnya atau fisik quantum yang mentakrifkan benda sebagai gelombang (waves) atau zarah (particles). Benda memang ada tetapi hakikat tertinggi adalah bukan bersifat material, seperti Tuhan dan alam ghaib yang memang ada, dan dalam agama ianya lebih realistik daripada alam benda.
Pascamodenisme: yang mengajarkan semuanya nisbi, tidak tetap mutlak dan menentu, meta-naratif dalam bentuk agama-agama besar tidak berguna, dan nilai-nilai baik dan buruk tidak boleh dipakai. Ini menyanggahi akidah Ahlis-Sunnah yang mengajarkan ada ajaran yang mutlak yang tidak berubah-ubah seperti Tauhid, wahyu, kenabian, dan akhirat, ada bentuk-bentuk ibadat yang tetap dan pasti, ada yang baik dan buruk yang tetap dan tentu.
Saintisme: yang mengajarkan hanya teori-teori dan penemuan-penemuan sains sahaja yang boleh dipakai sebagai ilmu yang benar, yang lain yang bercanggah dengannya seperti kenyataan-kenyataan dalam ajaran agama dan teks-teks suci mesti ditolak atas alasan bercanggahan dengan sains dan teori-teorinya. Ini bercanggah dengan epistemologi atau faham ilmu Sunni yang mengajarkan adanya tempat yang wajar untuk sains dalam skemanya tetapi kebenaran-kebenaran yang mutlak dalam agama dan wahyu bukan bidang yang boleh dihakimi oleh sains dan teori-teorinya.
teori-teori tentang asal usul manusia dan agama dalam kaji sosial (sosiologi)– ini yang perlu diawasi.
teori-teori dalam sains seperti evolusi dan yang sepertinya yang perlu diawasi, termasuk kenyataan-kenyataan tentang tenaga (energy), dan benda (matter).
teori-teori psikologi seperti konsep seks yang menentu segala dalam fahaman Sigmund Freud, penafsiran pengalaman jiwa oleh Carl Jung dan yang sepertinya yang perlu diawasi. Kita boleh mempelajarinya untuk bahan bandingan tetapi untuk menjadi pegangan diperlukan pengamatan yang tajam dan kewaspadaan intelektuil yang tinggi.
Empat Wacana Agung Yang Menentukan di Nusantara
Sebagaimana yang saya telah nyatakan dalam pertemuan Dunia Islam Dunia Melayu di Melaka baharu-baharu ini[8], demi untuk menjaga jati diri Sunni Nusantara di kalangan Muslimin rumpun Melayu ini, kebenaran pegangan dan amalan mereka serta keseragaman identiti intelektuil dan aksiologi atau faham nilainya, maka perlu diteruskan tiga wacana agung, dengan tambahan-tambahan seperlunya mengikut suasana yang dihadapi:
Segi akidah semenjak awal lagi kita dipandu oleh wacana intelektuil dan rohani Sunni dengan ajaran Imam Abul-Hasan al-Asy’ari rd – dengan tambahan-tambahan seperlunya sesuai dengan perkembangan pengetahuan semasa.
Segi hukumnya kita dipandu oleh wacana ilmu oleh Imam Syafi’I r.d. dengan tambahan-tambahan seperlunya.
Segi kerohanian dan akhlak kita dipandu oleh wacana agung Imam al-Ghazali r.d., dengan tambahan-tambahan seperlunya.
Keempatnya saya hendak menambah sebagai syor, iaitu untuk pemerkasaan hidup budaya dan tamadun kita berusaha untuk dipandu oleh wacana agung Ibn Khaldun r.h. dengan ‘al-Muqaddimah’nya, dengan tambahan-tambahan seperlunya.
Dengan berpandukan Quran dan Sunnah dan wacana-wacana agung ini serta dengan tambahan-tambahan ilmu pengetahuan dan teknologi semasa yang kita pilih untuk kemanfaatan kita, kita akan selamat dalam menjaga kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Allahuma amin.
Cadangan-Cadangan
Perlu disebarkan akidah Ahlis-Sunnah wal-jamaah dengan huraian-huraian yang senang diterima dan berkesan untuk semua golongan sasaran baik di kalangan orang awam dan juga kalangan akademik dan media serta pelajar.
Saluran pendidikan ini ialah melalui sistem pendidikan dan juga media dan pemanfaatan institusi-institusi seperti masjid-masjid dan persatuan-persatuan belia.
Pendedahan epistemologi Sunni atau faham ilmunya secara menyeluruh perlu diberikan dalam seminar-seminar dan yang sepertinya pada peringkat negeri, kebangsaan, bahkan serantau, demi untuk memandu umat ini dalam berpegang
Kesimpulan:
Sebagai kesimpulannya, inilah makna kesesatan dan ciri-ciri ajaran sesat dalam konteks Islam Sunni yang perlu diketahui dan disedari dalam bentuk-bentuk klasik dan modennya. Maka perlu dibentuk kewaspadaan intelektuil yang tinggi di kalangan umat Islam demi untuk menjaga kebenaran dan kesahihan pegangan, amalan dan pemikiran mereka dalam menghadapi hidup yang mencabar termasuk cabaran globalisasi yang bukan sahaja akan mengubahkan wajah hidup kita dalam ekonomi dan pengetahuan tetapi juga dalam masalah akidah dan pegangan kalau tidak dihadapi dengan baik dengan izin Ilahi. Allahumman amin.
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment